Selasa, 7 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Naib presiden KAFA, Datuk Othman Zakaria meninggal dunia

Posted: 07 Feb 2012 01:46 AM PST

KOTA BHARU: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Othman Zakaria, 63, meninggal dunia di rumahnya di Kubang Kerian di sini hari ini dipercayai akibat serangan jantung.

Isterinya, Datin Mahani Daud berkata beliau menyedari mengenai kematian suaminya kira-kira pukul 9 pagi tadi ketika mahu mengejutkan arwah daripada tidur.

"Kali terakhir saya melihat arwah ialah pada pukul 2 pagi ketika masuk ke bilik untuk tidur.

"Bagaimanapun kira-kira pukul 9 pagi, ketika saya mahu mengejutkan beliau, saya melihat mukanya berbeza daripada biasa, lalu saya memanggil anak-anak untuk melihat keadaannya," katanya.


Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Stan dekat sini selepas solat Asar. -- BERNAMA



Kementerian akan pohon bantuan ihsan untuk padi diserang penyakit: Johari Baharom

Posted: 07 Feb 2012 01:22 AM PST

JITRA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memohon agar bantuan ihsan diberi kepada petani yang menanggung kerugian akibat tanaman padinya diserang serangga perosak atau penyakit.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mohd Johari Baharom berkata pada masa ini bantuan tersebut hanya diberi kepada petani yang ditimpa bencana seperti banjir.

"...kali ini kita akan rayu kerajaan agar menimbang bantuan akibat penyakit kerana ada padi yang hampir masak musnah 100 peratus," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai serangan ulat ratus atau nama saintifiknya 'spodoptera mauritia' ke atas kawasan sawah seluas 275 hektar di daerah Kubang Pasu yang mengakibatkan 100 petani kerugian lebih RM150,000.


Mohd Johari berkata beliau akan meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menyediakan laporan untuk dibawa pada mesyuarat pascakabinet bagi mendapatkan bantuan ihsan tersebut.


Katanya Mada juga telah diminta memberi nasihat dan penerangan kepada petani terbabit mengenai kaedah sesuai untuk menangani serangan ulat ratus tersebut. -- BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan