Isnin, 2 Mei 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


RM7j biayai projek di Bukit Tunggal

Posted:

RM7j biayai projek di Bukit Tunggal

RM7j biayai projek di Bukit Tunggal

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 1 Mei - Beberapa prasarana yang diharapkan oleh penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di sini sejak sekian lama bakal menjadi kenyataan dengan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Program Turun Padang semalam.

Pemimpin utama negara itu mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM7 juta bagi membiayai pembangunan beberapa projek bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan buat mereka.

Ini termasuk pembinaan sebuah pasar baru di DUN itu dan jejantas merentasi jalan empat lorong di Kampung Gong Kijang yang keperluannya agak mendesak.

"Saya dimaklumkan penduduk di DUN ini telah lama menantikan sebuah pasar baru di kawasan itu, jadi dengan peruntukan RM4 juta, ia akan didirikan.

"Untuk pembinaan jejantas pula, sebanyak RM3 juta diberikan dan semua ini adalah kerana kita mendengar dan berusaha memenuhi permintaan," kata Najib ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyong di sini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau turut menyampaikan cek bernilai RM159,000 kepada sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan dan RM1.059 juta kepada sebuah badan belia.

Berhubung harapan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri agar Kuala Nerus dijadikan daerah baru yang telah dipersetujui oleh kerajaan negeri dapat dipercepatkan, beliau berkata: "Bagi kerajaan Pusat tiada masalah untuk menubuhkan daerah baru ini asalkan kerajaan negeri bersetuju. Selain itu, kita perlu tengok juga jika kuat 'angin kencang' (sokongan) kepada kita pada pilihan raya akan datang, maka lagi cepat penubuhan daerah Kuala Nerus ini," jelasnya.

Sementara itu, Nasir dalam ucapannya menyatakan rasa bertuah apabila Najib memilih DUN Bukit Tunggal dalam mengisi sebahagian besar waktunya semasa melakukan lawatan kerja kali ini ke negeri ini.

Katanya, kunjungan ke empat lokasi di dalam DUN itu iaitu Batu Enam, Pengkalan Arang, Bukit Tunggal dan Pulau Duyung dalam tempoh sehari amat bermakna buat penduduk di kawasan DUN tersebut.

"Tiga tahun lalu, penduduk DUN Bukit Tunggal pernah menunggu kunjungan Perdana Menteri ke kawasan itu namun tidak kesampaian, bagaimana pun dengan kunjungan beliau ini sudah terbalas 'kempunan' kami," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

25,000 IKS daftar dengan Agri-Bazar

Posted:

25,000 IKS daftar dengan Agri-Bazar

25,000 IKS daftar dengan Agri-Bazar

PASIR PUTEH 1 Mei - Sebanyak 25,000 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dari seluruh negara sudah berdaftar dengan portal Agri-Bazar yang diwujudkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memasarkan produk tempatan ke peringkat antarabangsa.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Hashim Abdullah berkata, sejak dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 April lalu, usahawan IKS tempatan semakin menyedari kepentingan portal tersebut dalam mempromosikan produk mereka.

Katanya, portal berkenaan boleh diakses dengan mudah dan ia memaparkan maklumat lengkap termasuk nama syarikat, kredibiliti usahawan, lokasi perusahaan atau penanaman dan kuantiti pengeluaran yang mampu dihasilkan setiap hari.

"Sebahagian besar kumpulan yang mendaftar dengan Agri-Bazar adalah mereka yang mengusahakan pelbagai jenis makanan ringan termasuk kerepek ubi kayu dari kampung. Terdapat dalam kalangan mereka sudah memiliki sijil halal yang memenuhi piawaian perdagangan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat bengkel milik usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Zainun Salleh, di Kampung Panggong, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat.

Mohd. Hashim berkata, pihak kementerian sentiasa berusaha pengusaha IKS tempatan memasarkan hasil produk mereka sama ada bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata, hubungan diplomatik dengan banyak negara membolehkan produk tempatan dipasarkan dan mendapat permintaan, walaupun terpaksa menghadapi kekangan tertentu.

"Terbaru, China turut membuka peluang perdagangan durian yang akan membolehkan pekebun mengusahakan tanaman durian berkualiti untuk dipasarkan di negara berkenaan dalam kuantiti yang banyak," katanya.

Mohd. Hashim menambah, kementerian turut menubuhkan rangkaian perniagaan dan rakan kongsi di luar negara bagi memudahkan kemasukan produk-produk IKS tempatan negara terbabit.

"Setiap IKS dikehendaki mempunyai pangkalan data masing-masing bagi melicinkan proses pesanan dan penghantaran permintaan menerusi talian terus.

"Namun, apa yang dibimbangkan, usahawan IKS tempatan tidak mampu memenuhi permintaan berskala besar oleh pelanggan di luar negara," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

T-Shoppe dilantik sebagai perunding

Posted:

T-Shoppe dilantik sebagai perunding

T-Shoppe dilantik sebagai perunding

KUALA TERENGGANU 1 Mei - Rangkaian kedai serbaneka 24 jam, T-Shoppe telah dilantik sebagai perunding Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) di negeri ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, T-Shoppe diberi peranan untuk memodenkan operasi kedai runcit tradisional dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.

Menurutnya, peniaga kedai runcit ini akan dibantu dari segi reka bentuk kedai yang menarik, amalan pengurusan yang cekap dan selamat serta aplikasi sepenuhnya sistem maklumat dalam operasi perniagaan.

"Sebagai mentor, T-Shoppe diamanahkan untuk membimbing pengusaha yang disasarkan supaya operasi kedai runcit mereka menjadi lebih berdaya maju dengan identiti tersendiri.

"Kita menyasarkan untuk membentuk 30 kedai runcit dengan imej lebih baik pada tahun ini," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 Dewan Perniagaan Islam Malaysia cawangan Terengganu (DPIMT), di sini kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi DPIMT, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang dan wakil Dewan Perniagaan Islam Malaysia, Datuk Seri Mohd. Yusof Latif.

Program Tukar diperkenalkan oleh KPDNKK membabitkan peruntukan RM30 juta selepas mendengar luahan hati serta masalah yang dihadapi peniaga kedai runcit yang sukar bersaing dengan pasar raya.

Sebanyak 600 kedai runcit tradisional di negara ini bakal dimodenkan menerusi kerjasama kerajaan dengan pasar raya atau outlet terpilih seperti Tesco, Carrefour, Mydin, AEON, Giant dan Econsave secara percuma.

Sementara itu, kata Mohamed, walaupun perniagaan T-Shoppe mencatatkan jualan memuaskan, sasaran untuk menjual 30 peratus produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan masih jauh ketinggalan.

Katanya, T-Shoppe yang kini mempunyai 21 cawangan di seluruh negara hanya mampu menjual sehingga dua peratus produk keluaran IKS tempatan.

"Hasil kajian kita, faktor pelabelan dan pembungkusan serta minda masyarakat yang merasakan produk luar lebih baik turut menjadi masalah kenapa produk ini tidak begitu mendapat sambutan, " katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen