Selasa, 17 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Belajar daripada kesilapan

Posted:

Belajar daripada kesilapan

Belajar daripada kesilapan


Raja Dr. Nazrin Shah bertitah pada majlis penutup Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011 sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak ke-83 di Ipoh, semalam. - BERNAMA


PADA 2 Mei 2011, Osama bin Ladin, dilaporkan telah dibunuh oleh komando SEAL tentera laut Amerika Syarikat dalam operasi ketenteraan di bandar Abbottabat, Pakistan.

Osama telah menjadi sasaran utama pemburuan Amerika Syarikat sejak berlakunya serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001. Ketika mengumumkan kejayaan operasi ketenteraan itu, Presiden Obama menyatakan bahawa "Keadilan Telah Ditegakkan".

Presiden Rusia, Dmitry Medvedev menyambut berita kematian Osama dengan menyatakan, "Kremlin mengalu-alukan kejayaan besar Amerika Syarikat dalam peperangan menentang keganasan".

Perdana Menteri Israel, Benyamin Netanyahu menganggap berita kematian Osama sebagai satu kejayaan menegakkan keadilan, kebebasan dan nilai-nilai yang dikongsi semua negara demokratik yang berjuang memerangi keganasan.

Perdana Menteri Britain, David Cameron menyifatkan kematian Osama melegakan penduduk dunia, bahawa operasi Amerika Syarikat itu merupakan satu kejayaan besar dalam kempen memerangi keganasan.

Sementara itu, Ismail Haniyeh, pemimpin kanan Hamas mengutuk pembunuhan Osama dengan menyifatkan pemimpin al-Qaeda itu sebagai pahlawan suci Arab. Jurucakap Pihak Berkuasa Palestin, Ghassan Khatib pula, mengingatkan bahawa pembunuhan Osama adalah baik bagi keamanan dunia, tetapi apa yang penting sekarang adalah untuk menyekat pendekatan keganasan yang diwujudkan atau yang digalakkan oleh Osama di seluruh dunia. Demikian antara pelbagai reaksi berikutan berita pembunuhan Osama.

Seorang Osama telah ditamatkan hayatnya. Apakah jaminan bahawa tidak akan muncul Osama yang baru, meskipun berlainan nama dan berlainan paras rupa, tetapi berpegang kepada kaedah perjuangan yang sama dengan kaedah yang dipelopori oleh Osama?

Dunia Barat dan bumi Arab turut menjadi penyebab dalam menyemai dan menyemarakkan perasaan kebencian yang ekstrem terhadap Barat, perasaan menentang status quo yang ekstrem dan perasaan memberontak yang ekstrem dalam jiwa seorang manusia bernama Osama, malah dalam jiwa ramai lagi sekutu dan rakan Osama di serata dunia.

Adakah kematian Osama memberi jaminan bahawa keganasan akan berakhir dan keamanan akan terjamin? Sebenarnya, adalah lebih penting bagi dunia untuk menyelami faktor-faktor yang telah mendorong kepada pembentukan watak ekstrem seorang Osama dan adalah lebih penting untuk dunia dapat memahami faktor-faktor yang membolehkan ideologi ekstrem yang dijaguhkan oleh Osama mendapat sokongan meluas.

Osama telah dibunuh. Jasad Osama telah terbenam di dasar lautan, namun keganasan dan hasrat meneruskan keganasan masih subur menjalar di muka bumi. Pada 13 Mei 2011, sebelas hari selepas Osama dibunuh, dua pengebom meletupkan diri di sebuah akademi polis separa tentera di kawasan Shabqadar, di utara Peshawar, Pakistan sebagai tindak balas pertama untuk membalas dendam. Akibat tragedi tersebut, sekurang-kurangnya 89 orang dilaporkan terbunuh sementara 140 orang lagi mengalami kecederaan.

Osama yang dibunuh pada 2 Mei, beragama Islam; dua pengebom dalam tragedi 13 Mei, beragama Islam; mangsa pengeboman tragedi di Shahqadar, beragama Islam. Apakah keuntungan kepada umat dan dunia Islam dari satu lagi tragedi ganas ini? Apakah yang mahu dicapai dan apakah kejayaan yang telah dicapai dalam perjuangan yang didakwa dilakukan atas nama Islam dan atas nama keadilan? Apakah pandangan dunia terhadap Islam berikutan satu lagi tragedi ganas ini?

Ancaman militan dari kegiatan ganas ketara belum berakhir dan tidak semudah untuk berakhir dengan kematian seorang Osama. Dunia wajib merenungi kepada pemikiran yang lebih lateral lagi konstruktif untuk menghindarkan kelahiran lebih ramai Osama baru di muka bumi ini. Langkah preventif untuk menghindar dari terbentuknya lebih ramai Osama wajib diberikan perhatian.

Kemiskinan, ketidakseimbangan agihan kekayaan negara, amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin, tadbir urus negara yang lemah, kemudahan pendidikan yang tidak setanding dengan keperluan semasa, kemudahan sosial dan infrastruktur yang daif, di samping masalah politik di Asia Barat terutamanya isu Palestin yang berpanjangan, adalah isu-isu kritikal yang wajib diberikan perhatian.

Selagi isu-isu kritikal ini tidak segera diselesaikan, selagi itu dunia tidak akan aman dan api keganasan akan terus membara.

Selepas berakhirnya penjajahan Jepun dan ketika negara baru mencapai kemerdekaan, negara kita turut mengalami ancaman keganasan dari Parti Komunis Malaya, meskipun pada skala yang berbeza, berasaskan teknologi persenjataan dan teknologi komunikasi ketika itu yang masih belum secanggih sekarang.

Namun ia tidak menghalang Parti Komunis Malaya dari mendapat sokongan moral dan sokongan material dari Pertubuhan Komunis Antarabangsa termasuk mendapat naungan dari negara tertentu.

Negara telah memilih pendekatan bijak ketika menangani ancaman keganasan dengan memberi keutamaan untuk memenangi hati rakyat, lalu mengambil langkah melaksanakan program-program pembangunan prasarana, pembangunan sosial, pembangunan pendidikan dan mentadbir urus negara secara cekap lagi produktif, memastikan ekonomi berkembang dalam hasrat mahu membasmi kemiskinan rakyat.

Kewangan negara diutamakan untuk perbelanjaan membina rumah, sekolah, jambatan, jalan raya, klinik kesihatan serta dibelanjakan untuk membangunkan ladang dan membina tali air daripada dibelanjakan untuk membesarkan angkatan bersenjata atau membeli senjata.

Kegiatan perisikan dan kegiatan ketenteraan untuk menangkap Chin Peng dan para pemimpin Parti Komunis Malaya dilakukan, namun negara tidak taksub dengan hasrat tersebut sehingga terlepas pandang kepada pendekatan kemanusiaan yang lebih berkesan untuk memenangi hati rakyat. Akhirnya Chin Peng semakin terpinggir dan gagal mengembangkan pengaruh.

Alhamdulillah, negara kita berjaya mengatasi keganasan, kawasan hitam dapat diputihkan dan darurat berakhir pada tahun 1960. Jika kejayaan negara, walaupun pada skala yang berbeza dapat dijadikan pengajaran, maka pengalaman kejayaan ini wajarlah dijadikan pedoman dalam usaha dunia mahu menangani keganasan di peringkat antarabangsa.

Selagi pendekatan yang berkesan tidak segera diperkenalkan dengan segala kesungguhan, selagi itu keganasan akan tumbuh subur, merebak dari satu madrasah ke satu madrasah, dari satu perkampungan ke satu perkampungan, dari satu wilayah ke satu wilayah. Akibatnya kos perisikan, kos intipan dan kos ketenteraan akan terus meningkat, kemusnahan terus berlaku dan semakin banyak nyawa akan terkorban.

Belajarlah dari kesilapan, janganlah terlalu taksub dengan pendekatan punitif atas rasa dendam, kerana setiap perbuatan membalas dendam akan membiakkan dendam yang baru. Laksanakan secara serius lagi bersepadu, pendekatan preventif untuk memadamkan rasa benci dan menghilangkan rasa bermusuh di kalangan insan terutama di kalangan generasi muda.

Binalah rasa kasih - rasa sayang sesama insan tanpa mengira agama - tanpa mengira bangsa, dan bantulah mereka supaya dapat keluar dari penderitaan kemiskinan, supaya dapat bebas dari penindasan hidup, dengan memenuhi keperluan asasi mereka dari segi perumahan, makanan dan perubatan serta memenuhi keperluan sosioekonomi mereka dari segi pelajaran, kemahiran dan peluang pekerjaan.

Dunia akan lebih aman, jika kemiskinan semakin dapat dikurangkan, jika lebih ramai warga dunia dapat dilengkapkan dengan pelajaran dan kemahiran yang dapat memberikan nilai tambah yang relevan dengan keperluan dunia semasa.

Dunia akan lebih sejahtera, jika pemerintahan lebih adil dan saksama dapat diamalkan, jika kekayaan negara lebih seimbang pengagihannya, jika amalan rasuah ditegah secara tegas, jika tadbir urus negara dilaksanakan secara jujur, amanah dan telus.

Era beretorik telah begitu lama berlalu - suara retorik telah begitu lama bergema. Tanggung jawab fardu kifayah membantu membina dunia yang lebih aman adalah tanggung jawab bersama, bermula dengan sikap menyemaikan rasa kasih - rasa sayang sesama manusia, bermula dengan rasa belas - rasa simpati terhadap insan yang berada dalam kemiskinan dan kesusahan, bermula dari perasaan kemanusiaan dan keinsanan yang menghargai setiap nyawa dan setiap kehidupan.

Bersamalah menggemakan suara perdamaian; bersamalah menggerakkan usaha perdamaian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peluang terbaik Anwar membela diri di hadapan hakim

Posted:

Peluang terbaik Anwar membela diri di hadapan hakim

Peluang terbaik Anwar membela diri di hadapan hakim

JIKA Datuk Seri Anwar Ibrahim bijak orangnya, beliau boleh pergunakan hari-hari perbicaraan mulai 6 hingga 30 Jun ini untuk membela dirinya daripada tuduhan liwat.

Hari-hari itu amat penting dimanfaatkan sepenuhnya untuk menafikan tuduhan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Sejak kes liwat itu terbongkar pada Jun 2008, pelbagai cerita dan persepsi disebarkan melalui mulut ke mulut dan alam siber.

Rakyat sudah mendengar kenyataan dakwaan daripada Mohd Saiful perihal dia diliwat oleh pemimpin pembangkang itu sewaktu perbicaraan yang kerap diganggu dengan penangguhan demi penangguhan.

Kini masanya untuk Anwar menceritakan kisah sebenar dakwaan petuduh itu.

Anwar ada barisan peguam bela yang diketuai Karpal Singh dan pakar-pakar perubatan yang hebat serta saksi-saksi yang mungkin dapat membantunya sebagai pihak yang tidak bersalah.

Terpulang kepada pasukan pembela Anwar untuk membuktikan bahawa dakwaan ini cuma diada-adakan.

Pun begitu, mahkamah ketika memanggil Anwar untuk membela diri kelmarin, mendapati keterangan Mohd Saiful boleh dipercayai dan selaras dengan saksi-saksi pakar bahawa perbuatan liwat telah berlaku ke atas dirinya.

Kes liwat melibatkan Anwar ini adalah yang kedua. Dan tuduhan kes itu cukup serius kerana ia dibicara mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Pada 2000, Anwar dituduh meliwat pemandu kepada isterinya, Azizan Abu Bakar. Beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara.

Dalam perbicaraan membela diri kali ini, apa yang dikatakan oleh pembangkang sebagai dalang akan terjawab kelak.

Yang pasti, kes liwat ini dibawa sendiri oleh Mohd Saiful. Maka ia kes peribadi di antara Anwar dengan Mohd Saiful. Ia tiada kaitan dengan kerajaan ataupun UMNO.

Mahkamah adalah tempat Anwar mencari keadilan. Beliau sendiri sudah banyak diberi layanan yang tidak pernah diberi kepada tertuduh biasa. Tidak perlulah beliau berdolak dalih lagi. Berilah keterangan sebenar supayanya menjadi jelas. Dan hakim dapat memberi keadilan kepada yang berhak.

Para penyokong Anwar pula boleh datang ke mahkamah untuk mendengar atau memberi sokongan moral tetapi usah buat kecoh. Biarlah barisan peguam bela dan pendakwa berhujah dan hakim membuat pertimbangannya.

Kita mengharapkan proses perbicaraan kes liwat ini berjalan dalam suasana baik dan aman. Tidak perlu ada provokasi dan kekecohan di jalan-jalan raya oleh penyokong Anwar. Tidak perlu juga satu pasukan polis yang terpaksa berkawal sekitar mahkamah dan ibu kota.

Anwar tidak perlu rasa takut mahupun gentar jika yakin berada di pihak yang benar. Jika Penasihat PKR itu yakin beliau tidak bersalah, maka tidak perlu kes hampir tiga tahun ini ditangguhkan lagi. Kita tidak mahu lagi melihat mahkamah seolah-olah dipersendakan.

Di dalam mahkamah nanti, inilah peluang Anwar membuktikan bahawa kes liwat itu tidak pernah terjadi dan jelas ada konspirasi untuk menjatuhkannya. Tetapi kena tunjukkan bukti dan bukan sekadar melontar kata-kata sahaja.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen