Jumaat, 6 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Membakar semangat juang baru

Posted:

Membakar semangat juang baru

Membakar semangat juang baru


Najib Tun Razak beramah mesra dengan sebahagian ahli veteran UMNO di Majlis Program Pemimpin Bersama Rakyat – Rakyat Didahulukan di Pusat Konvensyen Shah Alam. Turut hadir Pengerusi Veteran UMNO Malaysia (Selangor) Datuk Abd Samad Maharuddin (dua kiri) dan Penaung Veteran UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.


Izinkan saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Pengerusi Veteran UMNO Malaysia (Selangor), Datuk Abd. Samad Maharuddin serta ahli-ahlinya yang berjaya mengadakan majlis jamuan yang selain bertujuan menghargai peranan ahli-ahli veteran, juga terdapat mesej yang ingin disampaikan. Iaitu para veteran dalam konteks perjuangan tidak ada noktahnya, selagi nyawa dikandung badan dan selagi Allah SWT memberi kudrat kepada kita, selama itulah wajib kita teruskan perjuangan kita.

Pada majlis malam ini, saya mahu nyatakan bahawa kita banyak terhutang budi kepada ahli-ahli veteran di Selangor. Lagi besarnya nilai semangat daripada veteran UMNO di Selangor ialah bahawa melalui kepimpinan mereka selama ini telah menjadikan Selangor sebagai negeri yang paling maju.

Apa yang kita dapat saksikan dan kecapi hari ini bukan hasil daripada kepimpinan negeri hari ini, tetapi daripada kepimpinan UMNO selama ini yang telah menabur jasa dan membuat begitu besar sumbangan yang tidak ternilai kepada pembangunan dan kejayaan negeri Selangor.

Sebagai sebuah parti politik yang wujud dalam sistem demokrasi yang kita selalu sebut sebagai demokrasi berparlimen, maka kejayaan atau kegagalan sesebuah parti politik itu boleh diukur dari beberapa segi atau dimensi.

Pertama, sama ada parti tersebut mampu memenangi pilihan raya dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan. Ini merupakan pengukur yang mutlak. Kita boleh berbangga dengan ukuran lain seperti banyak mana bilangan ahlinya, banyak mana program dan banyak mana yang telah kita sumbangkan.

Tetapi penyudahnya, sama ada kita boleh membentuk kerajaan atau tidak, itulah yang akan menjadi penilaian mutlak. Setelah kita membentuk sebuah kerajaan, kita tidak terlepas daripada penilaian lain pula. Iaitu sama ada kita mampu merealisasikan janji-janji yang telah dibuat semasa kita berusaha memenangi keyakinan pengundi.

Ini juga merupakan satu pengukur kerana kegagalan memenuhi janji akan menyebabkan apabila sampai pusingan (pilihan raya) yang akan datang, ia akan menentukan kelangsungan kuasa sebagai sebuah kerajaan.

Seterusnya jika kita berjaya menunaikan janji, kita juga akan dinilai kemampuan sebagai sebuah kerajaan yang mentadbir. Keberkesanan kita dalam erti kata untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini.

Kalau inilah perasaan di kalangan pengundi, maka kita akan dilihat sebagai sebuah kerajaan yang dapat memenuhi jangkaan dan inspirasi rakyat.

Biarpun memerintah sekian lama serta banyak jasa yang ditabur, ia tidak menjanjikan sokongan berterusan. Sejauh mana jasa selama ini, kalau pun setinggi gunung, tidak menjanjikan kuasa yang berterusan.

Hakikat ini perlu disedari yang mana dalam sistem demokrasi terbuka, terlalu banyak contoh betapa gemilang sekali pun sejarah kita, ia tidak menjamin kelangsungan kuasa. Ini dapat dilihat misalnya, kalau dapat saya berikan contoh apa yang berlaku dalam politik negara lain.

Pada tahun 1991, ketika Presiden Amerika Syarikat, George Bush memenangi Perang Teluk pertama, rating penerimaannya di kalangan rakyat melebihi 90 peratus. Tetapi pada pemilihan Presiden tahun berikutnya, beliau kalah kepada seorang Gabenor dari negeri kecil iaitu dari Arkansas, Bill Clinton.

Ini kerana Bush gagal merasai denyut nadi rakyat yang bimbangkan keadaan ekonomi. Ini bermaksud, bukan Perang Teluk yang menjadi ukuran tetapi ekonomi dan penyediaan pekerjaan yang sebenarnya dituntut oleh rakyat.

Contoh kedua ialah apabila berakhirnya Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, Perdana Menteri Britain ketika itu, Sir Winston Churchill telah memimpin United Kingdom dalam keadaan yang begitu tertekan.

Tetapi beliau merupakan seorang wira yang menaikkan semangat rakyat British yang pada mulanya berasakan tidak ada peluang menentang Jerman yang dipimpin oleh Adolf Hitler. Tetapi pada pilihan raya tidak lama selepas itu, beliau akhirnya kalah.

Ini kerana pengundi menganggap beliau sebagai pemimpin perang yang hebat tetapi kurang sesuai untuk memimpin pasca dunia selepas Perang Dunia Kedua. Kita seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah ini.

Politik seperti yang sering saya sebutkan ialah satu bentuk game yang berkisar kepada jumlah dan persepsi. Maksudnya kita perlu kepada bilangan tetapi jika kita hanya mempunyai bilangan dan tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya secara strategik, maka bilangan yang ramai sekali pun tidak membawa kepada kesan yang diharapkan.

Misalnya dalam sesebuah negeri yang mana orang Melayu itu merupakan golongan majoriti, tetapi apabila orang Melayu tidak bersatu, maka jumlah majoriti yang besar sekali pun tidak membawa kesan seperti mana yang kita harapkan.

Dari segi persepsi pula bererti kalau kita tidak berpijak di atas bumi yang nyata dan tidak dapat menilai realiti, maka kita hilang sentuhan dengan pengundi.

Berbalik kepada kisah Clinton yang disebutkan tadi, jika kita mengkaji sejarahnya, beliau pernah mengalami keperitan akibat kekalahan pada pemilihan Gabenor Arkansas dua tahun selepas terpilih kerana dasar-dasarnya yang tidak popular.

Apa yang menyebabkan beliau berjaya kemudiannya ialah dia tidak berada dalam keadaan penantian dan menyalahkan orang lain. Sebaliknya beliau melihat punca dan sebab-sebab kegagalannya.

Apabila mengetahui mengenai sebab-sebab itu, beliau meminta maaf kepada pengundi dan seterusnya cuba memperbaiki imej dan kepimpinannya. Akhirnya beliau berjaya menjadi Gabenor semula dan kesudahannya menjadi Presiden AS.

Saya sebutkan kisah Clinton ini sebagai contoh kerana ia sedikit sebanyak mungkin ada kaitannya dengan kita, maknanya di negeri Selangor. Kita tak biasa menjadi pembangkang.

Kali terakhir kita bersifat menentang kerajaan ialah ketika menentang Malayan Union pada 1946 hingga 1955. Tidak pernah selepas itu kita menjadi pembangkang.

Jadi apabila timbul pengalaman 2008 yang saya anggap sebagai mimpi ngeri, kita agak sukar untuk menerima realiti dan keadaan. Namun masanya sudah hampir tiba untuk kita kembali kepada rakyat.

Oleh itu kita perlu membuang perasaan selama ini dan menggantikan dengan satu bentuk keinsafan dan keazaman yang baru. Kita tidak boleh terbawa-bawa dengan kesedihan dan tidak boleh berterusan dengan perasan kehilangan keyakinan. Tetapi kita sebaliknya mesti berusaha bersungguh-sungguh, membakar lagi iltizam dan semangat juang dan bangkit semula dengan penuh semangat untuk menebus semula kekalahan.

Saya minta ahli-ahli veteran tunjukkanlah semangat ini kepada kita. Kepada yang muda dan pertengahan, tunjukkanlah juga semangat ini. Jika British kalah kepada kita kerana kita bersatu dan berjuang habis-habisan, takkan UMNO Selangor tidak boleh bangkit.

Oleh itu sama-samalah kita pada malam ini, selain menyingkap semula sejarah, segala kelemahan kerajaan negeri dan segala kezaliman yang dilakukan kerajaan negeri hari ini di Selangor mesti kita perbetulkan bila sampai masanya.

Jangan biarkan maruah kita tercemar dan tercalar. Kuasa wajib kita kembalikan ke tangan UMNO sebagai parti keramat kita. Itulah yang saya harapkan dan semua senjata perlu kita gunakan agar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti UMNO boleh berjaya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengawalan inflasi atau pertumbuhan?

Posted:

Pengawalan inflasi atau pertumbuhan?

Pengawalan inflasi atau pertumbuhan?

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

MINGGU ini kita dikejutkan dengan keputusan Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate) 25 mata asas kepada 3 peratus dan Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement -SRR) dinaikkan 1 peratus.

Dengan keputusan ini terdapat pelbagai reaksi. Ada yang menyatakan bahawa keputusan ini menunjukkan kebimbangan Bank Negara lebih kepada kenaikan inflasi daripada pertumbuhan.

Kenaikan SRR bertujuan mengurangkan kecairan dalam pasaran supaya tidak menyemarakkan lagi inflasi. Semua negara di rantau ini termasuk China bimbang akan kenaikan inflasi dan telah mengambil langkah-langkah untuk membendung gejala ini.

Kenaikan harga makanan menjadi bualan utama di mana saja. Kita juga tidak terlepas daripada masalah kenaikan harga makanan. Tanyalah saja suri rumah yang pergi ke pasar dan mereka akan memberitahu betapa harga barang-barang makanan naik melambung, seolah-olah tiada sesiapa boleh berbuat sesuatu untuk mengawal keadaan.

Peniaga tidak payah memberi alasan yang munasabah untuk menaikkan harga barang-barang makanan, mereka boleh melakukannya sesuka hati dan meletakkan kesalahan kepada pembekal dan seterusnya.

Kalau dipercayai kadar inflasi kita memanglah tidak tinggi, 3 peratus tetapi adakah itu yang kita lihat berlaku dengan kenaikan harga barang-barang makanan.

Pengguna seolah-olah sudah tidak ada pilihan, suka tak suka kena beli juga. Keadaan begini bukannya sesuatu yang tidak pernah berlaku. Malangnya pengguna nampaknya tidak dapat berbuat apa-apa.

Dengan kenaikan harga barang-barang makanan, kos sara hidup akan terus meningkat sedangkan gaji dan upah masih di takuk lama.

Baru-baru ini Persatuan Pembeli-pembeli Rumah membuat kenyataan tentang keadaan yang mana orang muda hari ini tidak akan mampu untuk membeli rumah kerana adanya pihak-pihak seperti pemaju dan bank yang bersekongkol menaikkan harga rumah.

Rumah jadi bahan spekulasi berleluasa juga dengan tiada kawalan oleh pihak berkuasa. Nisbah pinjaman susulan yang direndahkan tidak dapat membendung spekulasi dan mungkin lebih murah membeli hartanah di luar negara daripada negara kita sendiri.

Susulan kenaikan kadar faedah semalaman ini akan mengurangkan pertumbuhan kerana ahli perniagaan akan mengurangkan pendedahan mereka kepada pinjaman.

Jadi, pandangan sesetengah pihak inflasi lebih penting daripada pertumbuhan. Angka pertumbuhan untuk 2011 yang diuar-uarkan oleh pakar-pakar ekonomi seperti Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff ialah 5.5 peratus untuk tahun ini dan 5.2 peratus untuk 2012.

Tetapi kita memerlukan sekurang-kurangnya 6 peratus sehingga 2020 untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi iaitu AS$15,000 seorang.

Ada juga pihak yang bersetuju kadar faedah ini dinaikkan kerana inilah langkah yang terbaik untuk mengekalkan kedudukan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika.

Kita telah menyaksikan pengukuhan mata wang ringgit sehingga RM2.97 berbanding 1 Dolar Amerika. Pengukuhan ini membantu kita ketika mengimport peralatan dan perkakasan untuk prasarana negara.

Berita terkini yang kita diberitahu, pemulihan ekonomi di Amerika masih lagi tidak menentu dengan angka pengangguran terakhir tertinggi dalam masa lapan bulan.

Keadaan di Eropah pun tidak juga baik dengan Portugal pula memerlukan bantuan kewangan. Jadi di Eropah sudah ramai "orang sakit" mereka yang dari segi eksport kita pun tidak boleh mengharapkan sangat untuk mendatangkan sesuatu perubahan yang lebih baik.

Semalam harga minyak di New York jatuh di bawah paras AS$100 setong dan banyak pasaran saham di Asia yang jatuh ekoran harga komoditi yang jatuh.

Begitulah keadaan ekonomi dunia. Yang pasti ialah ketidakpastian.

Sementara itu kumpulan kerja Majlis Ekonomi yang telah berbincang menyarankan tumpuan semula ke arah Model Baru Ekonomi daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk membangun asas berdaya saing.

Keputusan mereka ialah ekonomi kita dianggap kurang prestasinya dan pelabur dalam dan luar negara perlu diyakinkan dengan keupayaan kita. Masalah modal insan menjadi agenda utama ke arah pembangunan asas daya saing yang kukuh.

Banyak faktor yang perlu dirombak untuk mewujudkan suatu suasana yang berdaya saing termasuklah keupayaan institusi-institusi kita dan insentif yang kita berikan kepada sektor swasta kita.

Misalnya cukai korporat kita berbanding negara-negara di rantau ini masih tinggi dan ini perlu dilihat dengan segera. Begitu juga dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kita teragak-agak melaksanakannya sedangkan 225 negara lain sudah pun melakukanya.

Suasana urus tadbir di pihak awam dan swasta juga perlukan perubahan untuk menjayakan transformasi yang dihajatkan. Kedua-dua sektor ini perlu bergerak dengan kadar yang berpuluh kali ganda daripada biasa.

Tuduhan ketidakadilan sosial yang diberikan oleh Bank Dunia sebagai salah satu sebab penghijrahan rakyat Malaysia ke luar negara dengan sendirinya melenyapkan lain-lain sebab penting yang menyebabkan ramai yang berhijrah keluar.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan