Ahad, 1 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Pembangkang cemarkan masjid

Posted:

Pembangkang cemarkan masjid

Pembangkang cemarkan masjid

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

APA yang terjadi di Masjid Amru Al-As, Kuala Lumpur, Jumaat lalu apabila sekumpulan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat kecoh bagi menghalang majlis lafaz sumpah laknat dilakukan telah membuktikan bahawa rasa hormat mereka kepada rumah Allah semakin luntur.

Bagi penyokong-penyokong PKR, tidak kira di mana juga hatta di masjid sekali pun jika ada mana-mana pihak hendak menegakkan kebenaran tetapi dilihat akan merugikan politik parti itu, mereka akan bertindak di luar batasan.

Dengan tubuh masih lagi dibasahi wuduk, mereka terpekik terlolong di dalam ruang solat. Ada pula yang cuba menjadi wira dengan menyampaikan ucapan berbaur politik. Tiada langsung rasa hormat bahawa di ruang itulah umat Islam menyerahkan diri kepada Allah SWT demi mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ketaksuban dan keghairahan politik yang melampau telah menutupi pintu hati dan menghilangkan kewarasan puak-puak PKR ini. Akibatnya, seluruh negara menyaksikan bagaimana biadabnya tindakan mereka melakukan huru-hara di dalam rumah Allah itu.

Orang bukan Islam sudah tentulah tertanya-tanya apakah begini sikap umat Islam memelihara kesucian masjid. Sedangkan kita melihat bagaimana golongan bukan Islam di negara ini mempertahankan rumah ibadah mereka habis-habisan. Tetapi bagaimana dengan kita? Apakah kerana berbeza fahaman politik maka masjid juga harus dicemari?

Sekali lagi maruah kita sebagai umat Islam dicalarkan oleh perbuatan biadab penyokong PKR yang seolah-olah sudah ditutup pintu hati mereka untuk berpolitik secara berhemah.

Mungkin sudah ditakdirkan sejak tahun 1998 lagi apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan di dalam kerajaan dan UMNO, masjid seolah-olah menjadi tempat melepaskan geram oleh penyokong-penyokongnya.

Suatu ketika ia menjadi lokasi untuk mereka berdemonstrasi dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila pembangkang berjaya menawan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak (selama 11 bulan) dan mengekalkan kuasa di Kelantan, masjid sudah diseret sama sebagai medan politik.

Di Selangor dan Kedah, contohnya, mimbar masjid menjadi lokasi untuk golongan yang kononnya bergelar ustaz dan ulama memaki hamun pihak kerajaan dan media arus perdana termasuk Utusan Malaysia semata-mata mempertahankan Anwar.

Khutbah Jumaat, tazkirah dan kuliah agama yang sepatutnya menjadi medan untuk memandu umat Islam ke jalan diredai Allah sebaliknya menjadi pentas untuk menyampaikan amanat politik mereka.

Inilah kebiadaban sesetengah pemimpin, ahli dan penyokong pembangkang yang sudah semakin hilang rasa hormat mereka kepada institusi masjid. Walaupun ribuan peringatan dan nasihat diberikan termasuklah oleh sultan-sultan sekalipun namun ia tidak diendahkan.

Anehnya, golongan yang melakukan perbuatan ini adalah kelompok yang kononnya memperjuangkan kebenaran dan keadilan serta ada antara bercakap atas dasar perjuangan Islam.

Tetapi tindak tanduk mereka di rumah Allah bagaikan pelesit yang tidak bertuan seperti mana berlaku di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul. Kalau benar mereka hendak memperjuangkan kebenaran kenapakah perlu menghalang orang yang hendak menegakkan kebenaran?

Wajarkah hanya kerana hendak memperjuangkan nasib seorang individu, masjid juga menjadi gelanggang berdemonstrasi.

Kita memahami PKR ditubuhkan melalui demonstrasi jalanan tetapi ini tidak bermaksud mereka boleh mencemarkan masjid dengan mainan politik jahil mereka melalui cara yang sama.

Begitu juga dengan golongan agama yang amat memahami selok belok agama kenapakah mimbar masjid mahu dicemari dengan kuliah, tazkirah atau khutbah berbaur politik? Bukankah semua umat Islam hanya memasuki masjid dengan satu tujuan sahaja iaitu beribadat kepada Allah SWT?

Kalau mereka berhujah bahawa tindakan Datuk Trio melafaz sumpah laknat juga dianggap mencemari masjid, apakah dalam masa yang sama mereka akan menerima jika lafaz sumpah itu dilakukan bukan di dalam masjid?

Turut menjadi persoalan, apakah alim ulama, para ustaz dan golongan bijak pandai yang berhujah politik di mimbar-mimbar masjid akan menyampaikan khutbah, tazkirah atau kuliah jika sesuatu isu itu berkait dengan kesilapan atau kesalahan puak yang mereka sokong? Sudah tentu tidak! Ia kerana mereka berhujah bukan atas dasar kebenaran tetapi atas dasar politik.

Oleh itu jelaslah, sama ada puak yang 'mengila' di Masjid Amru Al-As atau golongan alim ulama yang mencemari mimbar masjid dengan hujah politik, segala-galanya mereka lakukan bukan atas nama kebenaran atau mencari keredaan Allah tetapi kerana ketaksuban kepada pegangan politik yang meracuni pemikiran waras mereka.

Puak-puak seumpama inilah bertanggungjawab bukan sahaja meletakkan umat Islam di dalam kekeliruan tetapi juga berpecah belah akibat mainan politik mereka yang tidak ada batasnya.

Apa pun perbuatan penyokong-penyokong parti pembangkang yang terus mencemari kesucian masjid dengan mainan politik mereka tidak wajar dibiarkan.

Umat Islam di negara ini perlu menolak kelompok seumpama ini yang hanya bercakap soal kebenaran dan keadilan tetapi mereka sendiri bertindak menghalang kebenaran daripada diserlahkan.

Demi memperjuangkan nasib seorang individu segala-galanya mereka langgar dan rempuh, hatta kesucian masjid sekali pun.

Kalau hendak berpolitik, berpolitiklah kerana itulah amalan dalam demokrasi tetapi ia harus ada batas dan hadnya. Jangan sampai kerana kejahilan mereka berpolitik, rumah Allah mahu dicemari.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ibarat memiliki nafsu besar tetapi tenaga kurang

Posted:

Ibarat memiliki nafsu besar tetapi tenaga kurang

Ibarat memiliki nafsu besar tetapi tenaga kurang

Oleh Hassan Mohd. Noor

TAJUK Selak minggu ini tidak ada kena mengena dengan masalah moral atau politik tetapi berkaitan isu pengangkutan awam. Entah kali ke berapa tulisan mengenai isu ini dibangkitkan khususnya melibatkan perkhidmatan komuter.

Tetapi untuk 2011, ini kali pertama. Itu pun disebabkan tidak banyak perubahan terhadap perkhidmatannya kecuali wajah stesen, koc wanita dan beberapa lagi yang di luar keperluan mendesak pengguna iaitu sesak di dalam koc. Memang ada perkembangan positif terhadap kereta api termasuk Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Kuala Lumpur-Ipoh-Kuala Lumpur dan laluan komuter lebih 'panjang'.

Di utara, Tanjong Malim menjadi hentian terakhir manakala di selatan, tidak lama lagi hentian akhirnya di Sungai Gadut, Negeri Sembilan. Menjelang Ogos 2012, landasan kereta api elektrik itu akan siap hingga ke Gemas. Dari Sungai Gadut, penumpang boleh terus ke stesen Rembau, Pulau Sebang (Tampin), Batang Melaka dan Gemas. Kos projek sepanjang 98 kilometer ini dianggarkan RM3.45 bilion. Apabila siap, orang Gemas sama seperti orang Ipoh, boleh berulang alik bekerja di Kuala Lumpur. Orang ramai pastinya mengalu-ngalukan usaha Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ini. Tetapi janganlah seperti kata orang nafsu besar tenaga kurang.

Maksudnya ketika KTMB ghairah meneroka perjalanan lebih jauh janganlah dilupakan perkhidmatan yang ada. Kata orang kalau merenung bintang di langit jangan lupa rumput di bumi. Tolong jenguk sama perkhidmatan komuter yang sering menjadi rungutan. Pengguna dah letih merungut. Kesesakan teruk di dalam koc masih berlaku.

Semalam dan kelmarin penulis berkesempatan mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Komuter jadi pilihan kerana PWTC boleh diakses dengan mudah melalui pengangkutan awam sama ada komuter atau transit aliran ringan (LRT).

Bermula di Bangi, tren sudah penuh, tidak ada tempat duduk. Bermakna berdirilah menempuh perjalanan lebih kurang 50 minit ke stesen Putra. Seperti dijangka, di setiap stesen yang bakal ditempuh kecuali Salak Selatan dan Seputeh, ramai penumpang menunggu iaitu di UKM, Kajang, Serdang, Bandar Tasek Selatan, Mid Valley, KL Sentral dan KL.

Ketika melangkah masuk ke koc sekitar 3.35 petang, dialog ini kedengaran: ''Panas...selalu i kena sesak macam ni''. Itu rungutan seorang pelajar perempuan keturunan Cina sebuah kolej perubatan (berdasarkan pakaian seragam) kepada dua rakannya (sepatutnya mereka memasuki koc wanita yang sudah penuh). Memang panas apabila sistem pendingin hawa tidak berfungsi. Kata pelajar kolej itu lagi: ''Nak jimat elektrik ni''.

Sebenarnya ini bukan soal jimat elektrik tetapi memang rosak. Penumpang terpaksa berkipas. Isu tidak ada air-conditioned atau tidak berfungsi bukanlah masalah baru. Maka dalam keadaan sesak yang teramat sangat, penumpang berpeluh. Ada satu ketika pemandu koc membuat pengumuman meminta penumpang yang panas berpindah ke koc lain. Tetapi apakah pilihannya jika koc lain juga sesak macam ikan sardin dalam tin?

Turut menjadi rungutan ialah sistem tiket. Memang pelbagai inisiatif diambil untuk kemudahan penumpang. Mereka digalakkan menggunakan tiket mingguan, tiket dua hala atau Touch'nGo (TnG). Tetapi berapa ramai yang akan memilih kaedah ini? Lihat sahaja penggunaan TnG di tol. Ada yang memiliki kereta berjenama dan mahal tetapi 'tidak mampu' menyimpan TnG, sanggup beratur di plaza tol. Ini salah satu sikap orang kita yang masih belum berubah.

Rungutan mengenai tiket komuter pula termasuklah kaunter tutup (bukan di KL Sentral), mesin tiket rosak atau berfungsi tetapi hanya menerima jumlah tambang secukupnya. Maknanya kalau tiket RM4.10 maka janganlah masukkan RM1 ke lima untuk menambah 10 sen. Bagaimana jika penumpang tidak ada syiling 10 sen? Bersediakah naik komuter tanpa tiket dan jika dicekup dikenakan denda RM30? Satu kaedah yang boleh dipakai ialah jika stesen yang akan dilalui mempunyai tambang genap contohnya RM2, maka ambillah tiket pada harga itu dan pandailah menjawab jika ditanya pemeriksa tiket. Tiada niat menipu tetapi ini tindakan terbaik daripada terlepas komuter lebih-lebih lagi jika itu komuter terakhir!

Petang kelmarin, di stesen Putra berhampiran PWTC, ramai yang terpaksa beratur panjang untuk membeli tiket di kaunter. Ada tiga mesin tetapi hanya dua berfungsi. Satu kaunter tambahan juga dibuka.

Sekitar pukul 9.10 malam pula, ketika mahu pulang, suasana sudah berubah. Kaunter tiket pun dah tutup. Daripada tiga mesin tiket, hanya satu yang berfungsi.

Dan ini dialog seorang penumpang lelaki keturunan India: ''Belum pukul 10, kaunter dah tutup. inilah public transport kita. Menyusahkan orang''

Beliau menambah: ''Apa salahnya kalau dah tahu ada acara (pesta buku) bukalah kaunter, mudahkan orang. Inilah KTM''.

Penulis hanya tersenyum kerana di tangan penulis dan anak-anak sudah tersedia TnG.

Tetapi bagaimana kalau mesin itu juga ada masalah penerimaan TnG? Pemegang TnG juga belum pasti selamat. Bukan setakat mesin tiket, pada waktu tertentu mesin penerima tiket untuk keluar masuk juga bermasalah. Tidak berfungsi!

Pengalaman perit pengguna komuter sebenarnya tidak dirasai pemimpin politik atau peneraju perkhidmatan ini. Mungkin mereka pernah meninjau dan menaiki komuter tetapi jauh sekali merasai keadaan sebenarnya. Justeru ruangkan sedikit masa mendengar rungutan mereka. Kepada KTMB, tolonglah tengok isu-isu yang masih belum selesai.

l Pengumuman tren lewat, tidak mengikut jadual dan dibatalkan adalah amat menyakitkan. Akibatnya penumpang menunggu lebih lama dan jumlahnya meningkat dalam tempoh itu di setiap stesen. Sediakanlah tren khas untuk menyelamtkan keadaan ini.

l Tempoh menunggu 30 minit terlalu lama. Susun semula jadual pada waktu puncak – sebelah petang hingga ke malam. Begitu juga ketika berlangsung acara tertentu di lokasi berhampiran stesen komuter.

l Menambah jumlah koc dari tiga kepada enam untuk memberi keselesaan kepada penumpang lebih-lebih lagi satu koc hanya khusus untuk wanita.

l Sistem tiket yang sedang diperbaiki diharap lebih mudah dan cekap. Mungkin menggenapkan tambang dapat mengurangkan masalah wang kecil di mesin tiket.

l Penyelenggaraan koc perlu diberi perhatian supaya tren tidak dianggap 'uzur' hanya disebabkan tidak ada pendingin hawa yang benar-benar 'sejuk'.

l Tunjukkan sikap mesra pelanggan. Ada ketikanya tren shuttle berlepas kosong dari stesen akhir hanya kerana tidak ada pengumuman.

Akhirnya pada kesempatan ini, Selak ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada pekerja-pekerja yang saban hari berulang-alik ke tempat kerja menggunakan komuter. Hari ini anda berehat tetapi esok bersedialah untuk 'bertarung' semula dengan sistem pengangkutan awam anda – komuter!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen