Ahad, 1 Mei 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Rekod Pahang dipindah

Posted:

Rekod Pahang dipindah

Rekod Pahang dipindah

Oleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL
utusanpahang@utusan.com.my


Samsiah Muhamad (kanan) melihat dokumen lama dari Arkib Negara Cawangan Terengganu yang dipindahkan ke pejabat Arkib Negara Malaysia Cawangan Pahang di Kuantan, semalam. - utusan/Mahathir Ali


KUANTAN 1 Mei - Sebanyak 122,518 fail yang mengandungi rekod kerajaan Negeri Pahang dalam simpanan Arkib Negara Malaysia (ANM) Cawangan Timur di Terengganu dipindahkan ke ANM cawangan Pahang di sini, semalam.

Rekod berusia seawal 1911 yang terdiri daripada kategori terperingkat iaitu Rahsia Besar, Rahsia Sulit dan Terbuka itu berada di cawangan Terengganu sejak 1978.

Ketua Pengarah ANM, Dr. Shamsiah Muhamad berkata, operasi pemindahan rekod yang dikenali sebagai Operasi Sirih Pulang ke Gagang itu membabitkan tujuh lori tiba di ANM cawangan Pahang kira-kira 1.15 tengah hari.

Menurut beliau, pemindahan rekod terbabit dilakukan apabila bangunan ANM cawangan negeri ini yang siap dibina dengan kos sebanyak RM25.2 juta di atas tapak seluas dua hektar beroperasi sejak Januari lalu.

''Dengan adanya cawangan baru di sini, kita tidak perlu lagi menumpang untuk menyimpan rekod di Terengganu kerana kemudahan di bangunan baru ini mencukupi untuk menyimpan semua rekod di negeri ini.

''Selama ini, semua rekod di negeri-negeri Pantai Timur disimpan di Terengganu, namun pada 1988 rekod di Kelantan mula dipindahkan, diikuti Pahang pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan kerja-kerja pemindahan itu di ANM cawangan Pahang hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah ANM, Azemi Abdul Aziz; Pengarah ANM Pahang, Ahmad Shukri Abdul Kadir dan Pengarah ANM Terengganu, Mohd. Nasir Ismail.

Shamsiah memberitahu, operasi pemindahan itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan fail-fail berkenaan selamat tiba ke destinasi.

Menurutnya, operasi pemindahan rekod tersebut membabitkan rekod Pejabat Sultan Pahang (1911-1974); Pejabat Istana Sultan (Tengku Arif Bendahara) dari tahun 1938 hingga 1960; Pejabat Menteri Besar Pahang (1950-1981); Pejabat Timbalan Menteri Besar Pahang (1961-1978); Pejabat SUK Pahang (1940-1993) dan jabatan serta agensi kerajaan lain.

"Pemindahan tersebut tidak termasuk rekod-rekod pelbagai seperti warta kerajaan, bahan audio visual, terbitan, laporan dan bahan bukan fail lain," katanya.

Menurut beliau, rekod bagi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang yang masih berada di ANM Kuala Lumpur tidak dipindahkan ke sini namun penyelidik boleh mengakses bahan tersebut menggunakan sistem compass apabila ANM Pahang beroperasi sepenuhnya.

Tambahnya, bangunan ANM cawangan Pahang setinggi empat tingkat yang dilengkapi kemudahan pusat sumber dan pusat penyelidikan itu akan dirasmikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 23 Jun ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Contohi kaum Cina kuasai ekonomi

Posted:

Contohi kaum Cina kuasai ekonomi

Contohi kaum Cina kuasai ekonomi

RAUB 1 Mei - Umat Islam mampu maju dalam bidang ekonomi jika mengikis perasaan malu untuk mencontohi kaum Cina yang berjaya menguasai bidang itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, kerajaan menyediakan pelbagai peluang ekonomi membabitkan yang perlu dimanfaatkan oleh umat Islam di negara ini.

"Kekuatan sesuatu bangsa atau kaum itu bukan setakat bersatu padu dan ketahanan diri dari segi fizikal serta mental tetapi perlu menceburi bidang ekonomi untuk jaminan hidup dan kekuatan ummah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan tilawah al-Quran peringkat daerah di sini, malam tadi.

Shahiruddin menegaskan, bagi menguasai bidang ekonomi, umat Islam perlu mempertingkatkan perpaduan jika mahu menjadi bangsa yang maju dan disegani masyarakat lain.

Tegasnya, kegagalan meningkatkan perpaduan dan integriti akan menyukarkan umat Islam menguasai ekonomi dan bersaing dengan kaum lain.

Katanya, kegagalan umat Islam bersatu padu menyebabkan kejayaan menguasai ilmu sains dan teknologi hanya menjadi sejarah.

"Pada masa ini umat Islam mundur dan tidak lagi mampu bersaing kerana tidak lagi berpegang kepada ajaran Islam sebenar .

"Kemunduran umat Islam hari ini berpunca daripada sikap iri hati dan tidak lagi mementingkan ikatan silaturahim tetapi berpecah belah sehingga sering menyebabkan kita dihina dan diserang oleh bukan Islam," katanya.

Bagaimanapun tegasnya, umat Islam di negara ini amat bertuah apabila kerajaan meletakkan agama itu di tempat istimewa dengan memelihara kesuciannya menerusi Perlembagaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sarex pertingkatkan misi penyelamat

Posted:

Sarex pertingkatkan misi penyelamat

Sarex pertingkatkan misi penyelamat

BAYANGKAN jika anda menyaksikan sebuah feri yang membawa ratusan penumpang mengalami kebakaran dan hampir tenggelam di tengah lautan ketika dalam perjalanan dari Mersing ke Pulau Tioman.

Apakah yang patut dilakukan? Siapa yang perlu dihubungi? Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atau Jabatan Bomba dan Penyelamat?

Sekiranya anda menghubungi salah satu agensi berkenaan, tindakan tersebut adalah tepat kerana mereka adalah agensi yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) apabila berlaku kejadian sedemikian.

Tentu anda tertanya, bagaimana sebegitu banyak agensi dapat bekerjasama untuk menyelamat para penumpang terbabit.

Justeru, bagi memastikan kelancaran operasi mencari dan menyelamat jika insiden seumpama itu berlaku, satu bentuk latihan dikenali Eksesais Mencari dan Menyelamat (Sarex) diadakan di perairan Pahang baru-baru ini,

Kira-kira 320 peserta dari 17 agensi kerajaan dari Pahang dan Johor serta melibatkan 16 aset menyertai Sarex di perairan Pulau Tioman dari 26 hingga 30 April lalu.

Menurut Pengarah Cawangan Carilamat dan Bantuan Bencana Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd. Rashid Harun, Sarex dijalankan melibatkan tiga fasa.

Menurut beliau, latihan itu bertujuan melatih dan meningkatkan tahap kecekapan serta kelicinan koordinasi agensi terlibat dalam aspek mencari dan menyelamat.

Latihan itu juga jelasnya, bagi mengenal pasti dan menangani punca masalah yang sering timbul dalam operasi seperti komunikasi antara agensi-agensi terlibat.

Katanya, komunikasi yang berbeza antara agensi terbabit menyukarkan perjalanan bagi operasi menyelamat dijalankan.

"Perhubungan itu penting bagi membolehkan bantuan dapat dihantar dengan segera, lagi pun ia melibatkan nyawa. Untuk itu, perkara ini diteliti dan kami akan menetapkan satu prosedur tetap serta boleh digunakan oleh agensi penyelamat yang terlibat.

"Kita mempunyai 19 agensi yang terlibat dalam operasi penyelamat dari darat dan laut sekiranya berlaku sesuatu kemalangan di laut.

"Namun tidak kesemua agensi terlibat itu akan menyertai operasi menyelamat sekiranya kemalangan berlaku dan ia bergantung kepada keperluan masing-masing," katanya.

Sesungguhnya eksesais sedemikian perlu dilakukan lebih kerap memandangkan perairan Pantai Timur sering diceroboh nelayan asing selain lanun.

Kerjasama daripada semua pihak termasuk orang awam dan nelayan tempatan amat diperlukan untuk menjadi 'mata dan telinga' pihak berkuasa bagi menangani anasir yang boleh menggugat keselamatan negara.

Di sebalik itu, kita tidak mahu ada pihak yang menjadi 'duri dalam daging' atau 'gunting dalam lipatan' yang menjadi tali barut kepada penjenayah di samudera.

Kita juga tidak lagi mahu dengar lebih ramai pegawai di barisan hadapan ditahan gara-gara gelap mata dengan wang yang ditaburkan oleh pihak yang mahu menceroboh negara ini.

Mungkin apa yang berlaku di Kastam Diraja Malaysia itu merupakan yang pertama dan terakhir.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan