Sabtu, 14 Mei 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kristian-Islam: Razali mungkin ‘dipaksa’, kata DAP

Posted: 13 May 2011 11:50 PM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Mei — DAP percaya ahli parti itu, Mohamed Razali Abdul Rahman kemungkinan besar telah "dipaksa" untuk membuat laporan polis — yang semalam PDRM menyifatkan ada "variasi" berbanding laporan sebelum ini berhubung konspirasi yang didakwa membincangkan agenda menjadikan Kristian agama rasmi negara.

Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi (gambar) menegaskan kemungkinan Razali, ahli jawatankuasa DAP cawangan Bukit Tumba telah dipujuk oleh saudaranya yang bekerja sebagai seorang polis cawangan khas yang lazimnya memantau kegiatan politik di Jelutong.

"Kami diberitahu Mohamed Razali ada pertalian keluarga dengan seorang anggota polis dan anggota itu yang dikatakan berperanan membantu Utusan Malaysia mendapatkan berita itu.

"Saya harap polis juga boleh mula siasat dari sudut ini dan adil serta bebas dalam siasatan kes berkenaan," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

"Kami berharap Mohamed Razali mengulangi apa yang dilaporkannya kepada polis supaya kami boleh mengambl tindakan undang-undang jika kenyataannya mengancam kedudukan DAP dan masyarakat Kristian," katanya lagi.

Jelas beliau, Razali yang setia kepada parti itu tidak akan melakukan perkara yang boleh menjejaskan parti.

Tambah Ooi, beliau turut terkejut dengan tindakan Razali selepas masing-masing sebelum ini membantah laporan tindakan Utusan Malaysia itu.

"Sebelum ini dia membantah laporan Utusan Malaysia tetapi secara tiba-tiba dia membuat laporan polis.

"Malah sebelum ini Mohamad Razali yang meminta saya untuk buat laporan polis tapi sekarang selepas seminggu dia pula yang buat laporan polis," katanya lagi.

"Saya agak sedih dan terkejut, mungkin dia dipaksa tapi saya tidak tahu... sebab itu kita mahukan penjelasan itu," katanya.

"Kita tidak tahu motif atau niatnya membuat laporan polis lima hari setelah kami membuat laporan polis menafikan dakwaan yang dibuat di Utusan... (yang) juga diiringi oleh Mohamed Razali," tambah Ooi, yang telah membuat laporan polis sehari selepas Utusan Malaysia bertarikh 7 Mei lalu mendakwa wujudnya perbincangan itu.

Utusan Malaysia juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun kumpulan Kristian dan DAP menafikan dengan keras dakwaan itu sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia itu "pembohongan yang merbahaya."

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan kandungan laporan polis yang dibuat oleh pihak tertentu di Pulau Pinang berhubung usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi adalah "variasi lain" dari laporan sebelum ini.

Bagaimanapun Khalid enggan mendedahkan kandungan laporan tersebut dan identiti pengadu yang membuat laporan.

Pagi semalam, Razali membuat laporan polis Balai Polis Jalan Patani, Pulau Pinang berhubung pertemuan itu itu.

Razali mengakui dia ada pada pertemuan itu yang diadakan di sebuah hotel di Jalan Macalister.

Dia bagaimanapun tidak mendedahkan kandungan laporan itu kepada media.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jangan guna harga barang alasan kecam kerajaan, kata Muhyiddin

Posted: 13 May 2011 11:31 PM PDT

KUANTAN, 14 Mei — Kerajaan memahami kesusahan yang ditanggung rakyat berikutan kenaikan harga barangan dan sentiasa mencari langkah untuk mengurangkan bebanan itu, kata Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tidak wajar pihak-pihak tertentu menggunakan alasan kenaikan harga barang untuk mempersalahkan kerajaan.

Dipetik Bernama Online, katanya, Malaysia merupakan satunya-satunya negara yang mengawal harga barangan dengan memberi subsidi bagi mengurangkan beban ditanggung rakyat.

"Kenaikan harga barangan yang berlaku tidak boleh dijadikan alasan untuk menuduh kerajaan tidak bertanggungjawab atau tidak buat sesuatu untuk kepentingan rakyat.

"Tidak ada kerajaan lain yang kawal harga, kalau negara lain, mereka bayar dengan harga pasaran sebenar," kata Muhyiddin (gambar) ketika berucap pada majlis Sarapan Pagi 1 Malaysia di Kampung Sungai Ular sempena lawatan kerja sehari di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Muhyiddin turut beramah mesra dengan penduduk kampung berkenaan walaupun dalam keadaan hujan lebat. 

Muhyiddin berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Isnin ini untuk membincangkan langkah jangka panjang menambah bekalan makanan dalam negara. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, kenaikan harga barangan berlaku disebabkan faktor global termasuk perubahan iklim yang menjejaskan negara pengeluar bahan makanan selain pengeluaran minyak dunia yang berkurangan sehingga dirasai semua negara.

"Harga kentang, bawang dan lada kering yang kita import naik, harga gula juga naik dan kita tidak jadi negara pembekal gula, tetapi kerajaan bagi subsidi yang membolehkan kita membayar bukan pada harga sebenar," katanya.

Bagaimanapun katanya, sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan langkah transformasi kerajaan dan ekonomi, pertumbuhan ekonomi negara semakin baik dan pelabur asing melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menguntungkan.

"Walaupun berlaku kenaikan harga barangan, rakyat dapat menikmati limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan yang ada ekoran kemasukan pelaburan asing," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM4.4 juta untuk mendirikan masjid baru bagi kemudahan penduduk di Kampung Sungai Ular.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan