Jumaat, 6 Mei 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


RM300 untuk bawa pulang

Posted: 05 May 2011 12:26 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dengan bayaran RM300 hingga RM500 semalam, pelanggan sebuah kelab malam boleh membawa pulang pelayan pelanggan (GRO) kesukaan mereka untuk mengadakan hubungan sejenis.

Itulah perkhidmatan 'khas' disediakan 32 GRO warga China di sebuah pusat hiburan berlesen di Plaza Puchong Bandar Kinrara, di sini, malam kelmarin.


Kumpulan wanita itu pada mulanya akan melayan pelanggan dalam 15 bilik khas di tingkat satu pusat hiburan itu dengan bayaran RM20 sejam.

Mereka akan menemani pelanggan untuk minum sambil berkaraoke dan pada masa sama dibenarkan membuat 'aksi' ringan.


Perkhidmatan mereka tidak berhenti di situ sahaja sebaliknya bagi pelanggan yang berminat membawa wanita itu keluar dan melakukan seks, proses perundingan seterusnya boleh dibuat.


Sekiranya pelanggan dan bapa ayam setuju dengan harga ditetapkan, GRO itu akan dibenarkan dibawa keluar.

Difahamkan, kelab malam itu dipercayai menjadi sarang popular sindiket pelacuran wanita warga asing dari China. Kebanyakan wanita warga asing itu masuk ke negara ini menggunakan pasport dan visa lawatan sementara.


Bagaimanapun, kegiatan itu dapat dihidu pihak berkuasa apabila Unit Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman melakukan serbuan mengejut ke premis itu, malam kelmarin. Dalam serbuan kira-kira jam 9.10 malam itu, semua 32 wanita warga China yang bekerja sebagai GRO berusia antara 20 dan 30 tahun ditahan.

Ketua Unit D7 Bukit Aman, Asisten Superintendan Shahrul Nizam Jaafar, berkata serbuan itu dilakukan selepas menerima maklumat kelab malam berkenaan menggaji GRO warga asing.


"Siasatan awal mendapati 30 wanita terbabit memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial manakala dua daripada mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri.


"Kelab malam itu didapati turut menawarkan perkhidmatan 'khas' di luar pusat hiburan bagi pelanggan yang berminat untuk membawa pulang GRO kesukaan mereka dengan syarat perlu membayar antara RM300 hingga RM500 semalam," katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan. Shahrul Nizam berkata, dalam operasi itu, empat pekerja premis itu turut ditahan bagi membantu siasatan.


Sementara itu, ketika serbuan itu, salah seorang GRO yang tidak memiliki pasport itu cuba melarikan diri, tetapi ditahan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tanah UUM boleh dirampas

Posted: 05 May 2011 12:25 PM PDT

BALING: Universiti Utara Malaysia (UUM), bakal berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal menjelaskan cukai tanah sebanyak RM1.7 juta, selepas kerajaan negeri menolak permohonan universiti itu untuk menyambung semula rebat cukai tanah bernilai RM100,000 setahun.

Sehubungan itu, UUM diberi tempoh hingga 1 Jun depan untuk menjelaskan bayaran berkenaan atau berdepan tindakan denda sebanyak RM91,000 atau tanah mereka akan dirampas. Keputusan itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, selepas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri menolak permohonan UUM untuk menyambung semula rebat cukai tanah universiti itu.


"UUM diberi masa hingga 1 Jun ini untuk menjelaskan cukai tanah sebanyak RM1.7 juta atau dikenakan tindakan denda sebanyak RM91,000.

"Sekiranya mereka gagal bayar, kerajaan negeri boleh merampas tanah mereka (kampus UUM)," katanya pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil, di sini, kelmarin.


Pada 21 April lalu, akhbar melaporkan UUM mengemukakan rayuan kali keenam kepada kerajaan Pas Kedah, bagi mendapatkan rebat cukai tanah yang dikenakan ke atas institusi itu.


Ini berikutan lima permohonan mereka sebelum ini yang dibuat sejak 2009 hingga tahun lalu tidak mendapat maklum balas yang baik daripada kerajaan negeri, termasuk selepas pertemuan Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dengan Azizan pada 25 Julai tahun lalu.

Pada 2009, dua surat rayuan dihantar oleh UUM, iaitu pada 29 April kepada Pengarah Tanah dan Galian negeri dan pada 10 Jun secara terus kepada Menteri Besar, namun jawapan diterima adalah kerajaan negeri tidak dapat meluluskannya.


Tiga lagi surat rayuan dihantar tahun lalu iaitu kepada Menteri Besar pada 25 Julai, Pentadbir Tanah Kubang Pasu pada 19 September dan 22 Disember, namun tiada maklum balas diterima daripada pihak berkaitan.

UUM membuat rayuan itu bagi mendapatkan rebat cukai tanah RM100,000 setahun selama dua tahun bermula 2006 yang tamat tempoh pada 2008. Selepas tempoh itu tamat, UUM terpaksa membayar cukai tanah sebanyak RM1.743 juta setahun.


Sementara itu, Azizan berkata, kadar cukai sebanyak 20 sen bagi setiap kaki persegi tanah UUM jauh lebih rendah berbanding cukai yang dikenakan terhadap universiti lain, misalnya Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang yang dikenakan sebanyak RM2.50 bagi setiap kaki persegi.


"Universiti Teknologi Mara (UiTM) pun bayar 50 sen bagi satu kaki persegi, jadi UUM juga mampu bayar banyak itu dan kalau mereka tak mahu bayar, kerajaan negeri akan menanggung kerugian.


"PTG tidak bersetuju untuk menyambung pemberian rebat cukai tanah untuk tempoh lima tahun lagi kerana kerajaan negeri akan menanggung kerugian pembayaran cukai tanah kira-kira RM8 juta.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan