Sabtu, 7 Mei 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Ajal bantu murid lemas

Posted: 06 May 2011 03:04 PM PDT

PORT DICKSON: Seorang lelaki menyelamatkan tiga mangsa lemas di Pantai 2 Telok Kemang, di sini, kelmarin, menemui ajal sejurus memberi bantuan pemulihan pernafasan (CPR) kepada seorang mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Zulkifly Hamzah, 43, rebah sebaik selesai memberi bantuan pernafasan kepada seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang lemas ketika mandi di kawasan itu.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, berkata ketika kejadian, pantai berkenaan tiba-tiba dilanda air pasang menyebabkan tiga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Telok Kemang lemas.

"Zulkifly yang kebetulan membantu ibunya berniaga di kawasan pantai mendengar tiga murid lelaki menjerit meminta tolong dan terus terjun ke laut bagi menyelamatkan mereka.


"Pengunjung lain yang menyedari kejadian itu turut berusaha menyelamatkan dua lagi mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, sejurus memberi CPR kepada seorang daripada murid berkenaan, Zulkifly rebah dan tidak sedarkan diri di situ.

Orang ramai yang melihat kejadian bergegas membawanya dan murid yang lemas itu ke Hospital Port Dickson (HPD), namun Zulkfily meninggal dunia dalam perjalanan ke HPD.


Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, ketika Zulkifly memberi bantuan CPR, murid lelaki itu masih tidak sedarkan diri.

"Ketika itulah dia (Zulkifly) memberitahu kami, budak itu sudah tiada, namun selang beberapa lama kemudian ketika dia memberi CPR sekali lagi, budak lelaki itu terjaga dan Zulkifly pula rebah tidak sedarkan diri," katanya.


Ibu Zulkifli, Nyapon Jantan, 63, berkata, anaknya itu berulang kali memberitahu bahawa dia akan pergi jauh.


"Namun, ketika itu saya tidak perasan sebarang perubahan dia kerana beranggapan dia mahu pergi jauh untuk bekerja. "Saya reda menerima berita kematiannya, namun saya tidak menyangka ia berlaku terlalu cepat sekali," katanya.


Menurutnya, sebelum kejadian dia sempat membancuh segelas air teh dan minum petang bersama arwah.


"Dalam perbualan itu, arwah berkata dia akan pergi jauh untuk mencari kerja kerana Aildifitri bakal menjelma tidak lama lagi.


"Kemudian, anak saya dengar tiga budak lelaki terkapai-kapai menjerit meminta tolong di tengah laut lalu terus berlari ke pantai memberi bantuan kepada mereka.


Sepupu Zulkifly, Badiozaman Abu, 43, yang turut sama memberi bantuan kepada tiga budak lelaki itu melihat Zulkifly jatuh pengsan selepas itu.


"Saya terus mengangkat dan membawanya ke kereta untuk mendapat rawatan di HPD. Ketika diberitahu dia sudah meninggal dunia, lemah seluruh anggota badan," katanya.


Zulkifly meninggalkan seorang isteri, Norhayati Ahmad, 39, dan juga tiga anak, Ilyasa Zulkifli, 14, Idham Syah, 9, dan Izuwan Shah, 8.


Sementara itu, tiga murid sekolah itu selamat dan seorang daripada mereka kini mendapat rawatan di HPD.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mimpi Fafau jadi nyata

Posted: 06 May 2011 02:58 PM PDT

PETALING JAYA: "Sepanjang lima tahun bertugas sebagai penyampai radio Hot FM, peluang menemu bual Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah mimpi menjadi kenyataan dalam hidup saya.

"Pada pemerhatian saya, Perdana Menteri seorang yang tenang, kelakar dan pandai mengambil hati pendengar ketika meluahkan pandangannya pada sesi temu bual yang julung kalinya," kata penyampai popular Hot FM, Fara Fauzana mengenai pengalamannya menemu bual Najib, dalam segmen AM Krew, semalam.


Lebih menarik, kata Fara, Perdana Menteri turut berkongsi sisi lain yang tidak diketahui ramai pada temu bual itu iaitu lagu kegemarannya iaitu Kancing Suasa dendangan R Azmi, Nobody (Wonder Girls) dan If Tomorrow Never Comes (Ronan Keating).

"Saya juga kagum kerana beliau tiba di studio seawal jam 7.15 pagi sebelum ke udara. Semua artis patut mencontohi beliau kerana jadualnya sebagai Perdana Menteri sangat ketat," katanya yang mengendalikan sesi temu bual itu bersama dua lagi penyampai Hot FM, Faizal Ismail dan Kieran.


Pada peringkat awal, Fara yang pernah menemu bual bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menerusi telefon turut gementar untuk bertemu ramah dengan Perdana Menteri itu.


"Memang saya sudah berjumpa beliau banyak kali, tapi ini kali pertama menemu bualnya secara langsung. Saya juga risau kerana mengalami masalah suara yang tak keluar bila buat program secara langsung. "Saya juga tak fikir pasal rating naik ke tidak bila buat temu bual ini kerana yang penting kita buat apa yang pendengar mahukan. Kalau rating naik pun mungkin kebetulan saja kerana yang penting peminat dan pendengar Hot FM gembira," katanya. Ditanya bagaimana tercetusnya idea untuk menemubual Najib, kata Fara, semuanya bermula secara spontan saja pada Khamis lalu.

"Saya akui ini memang idea gila, tapi saya ingin bertanding dengan idea bos saya yang juga Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Radio, Media Prima, Seelan Paul dengan mengundang Perdana Menteri ke konti Hot FM dan kalau gagal, saya harus memotong rambut, begitu juga sebaliknya. "Saya terus meluahkan hasrat menemu bual Perdana Menteri menerusi laman twitter, Real Fafau yang mempunyai seramai 45,000 peminat pada 27 April lalu iaitu 'DS Najib Razak, can you come to Hot FM please'. Saya juga meminta peminat di laman twitter menyokong idea ini ternyata mendapat maklum balas positif dari pihaknya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan