Rabu, 4 Mei 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


‘Tak berakal’

Posted: 03 May 2011 03:00 PM PDT

Wilayah

PAPAN tanda jalan sengaja ditampal iklan haram menyukarkan pengguna jalan raya  mencari arah  di sekitar Taman Datuk Harun. - Foto Hafizzul Mohamad

PAPAN tanda jalan sengaja ditampal iklan haram menyukarkan pengguna jalan raya mencari arah di sekitar Taman Datuk Harun. - Foto Hafizzul Mohamad

Tindakan tampal iklan, conteng papan tanda susahkan pengguna

PETALING JAYA: "Kalau ada banyak lagi tempat sebegini rupa, sudah pasti ramai pengguna jalan raya tidak akan sampai ke destinasi," keluh Mohammed Yusoff Abdullah, 64, mengenai kesukarannya mencari rumah saudaranya di Taman Datuk Harun di sini.

Beliau yang menghabiskan masa lebih dua jam sebelum tiba di tempat dituju, kecewa terhadap tindakan sesetengah pihak yang menampal pelbagai bentuk pelekat selain menconteng papan tanda isyarat di kawasan itu sehingga menyukarkan pengguna jalan raya terutama mereka yang datang dari luar kawasan.

"Saya tak sangka susah betul nak cari rumah saudara saya. Ini semua disebabkan kesukaran untuk membaca nama jalan serta hala tuju kerana kebanyakan papan tanda di sekitar Taman Datuk Harun ini sama ada telah ditampal pelekat atau diconteng," katanya yang datang dari Lambor Kiri, Parit, Perak. Beliau yang tidak faham tujuan sebenar perbuatan itu berkata, usahanya untuk bertanyakan penduduk di situ tidak membuahkan hasil kerana hujan lebat menyukarkan beliau untuk keluar masuk dari kenderaannya untuk bertanya arah.

"Malang berganda apabila kereta saudara saya rosak dan tidak dapat menjemput saya dari lokasi di mana saya menunggu. Yang tinggal cuma basikal, jadi takkan nak berkayuh ketika hujan lebat," katanya ketika ditemui Sentral.

Mohammed Yusoff kemudian terus berlegar mencari rumah saudaranya itu sehingga menjumpainya selepas hujan berhenti.

Sementara itu, tinjauan Sentral di sekitar kawasan itu mendapati hampir kesemua papan tanda di situ menjadi medan menampal iklan haram.
Malah, tidak cukup dengan itu, beberapa papan tanda jalan juga didapati diconteng dengan menggunakan cat semburan betul-betul pada bahagian maklumat jalan itu yang perlu diketahui pengguna.

Pengguna jalan raya, Meor Amir Hakim Meor Amir Hamzah, 33, berkata masalah papan tanda jalan yang ditampal pelekat haram itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu dan ia dilihat semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

"Kalau dulu, sasaran golongan yang tidak `berakal' ini untuk menampal pelekat itu adalah di pondok telefon awam dan perhentian bas, kini sikap kurang ajar mereka menjadi-jadi sehingga tergamak menjadikan papan tanda jalan untuk tujuan berkenaan. Ini sudah melampau," katanya.

Pandangan sama turut dikongsi seorang penduduk, Mohamad Jamaluddin Ngah Baharuddin, 58, yang menggesa individu yang hanya memikirkan keuntungan peribadi itu agar menyedari kesan negatif yang dilakukan mereka terhadap masyarakat dan segera menghentikan perbuatan itu.

"Cukuplah dengan menampal pelekat di tembok, pondok telefon dan perhentian bas. Jangan pula dijadikan papan tanda jalan sebagai mangsa. Kesukaran yang dihadapi pengguna jalan raya amat ketara," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Seludup diesel

Posted: 03 May 2011 03:00 PM PDT

Wilayah

Dua awak-awak ditahan di muara Kuala Perlis

LANGKAWI: Dua awak-awak ditahan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Langkawi selepas dikesan menggunakan sebuah bot pukat hanyut untuk menyeludup 2,500 liter diesel subsidi ke negara jiran di muara Kuala Perlis, awal pagi kelmarin.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 21 dan 38 tahun itu ditahan bersama bot pukat hanyut jenis A selepas dikesan belayar dalam keadaan mencurigakan di muara Kuala Perlis kira-kira jam 3 pagi.

Pegawai Pemerintah PGM Wilayah Satu Langkawi, Deputi Superintendan Salehuddin Mat Zaman, berkata pihaknya percaya semua diesel subsidi berkenaan cuba dibawa keluar untuk diseludup ke Thailand. "Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota PGM Langkawi diketuai Asisten Superintendan Rodzi Abu Hassan bersama lima anggota diarah melakukan rondaan di kawasan itu jam 3 pagi.

"Sejurus kemudian, anggota PGM terserempak bot berkenaan lalu mendekati dan mengarahkan awak-awak supaya berpatah balik ke pangkalan PGM di Kuala Perlis untuk melakukan pemeriksaan," katanya di sini, semalam.

Katanya, ketika bot berkenaan merapat ke pangkalan kedua-dua suspek cuba memanjat ke atas jeti untuk melarikan diri tetapi berjaya ditahan anggota PGM.

"Pemeriksaan awal mendapati bot yang berdaftar di Kuala Sanglang, Kedah itu dikesan dilengkapi sebuah tangki besar yang mampu mengisi sehingga 2,500 liter minyak.
"Tangki terbabit dipasang di ruang depan kabin bot yang kebiasaannya digunakan nelayan untuk tujuan berehat, meletak tong menyimpan hasil tangkapan atau peralatan menangkap ikan.

"Berdasarkan siasatan, kita juga percaya bot berkenaan memang digunakan khusus sindiket sebagai transit untuk tujuan penyeludupan diesel subsidi ke negara jiran kerana tangki dan tudung penutupnya sudah lusuh," katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan diesel mencecah RM37,000 dan kes diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana membawa minyak diesel berlebihan tanpa kebenaran dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen