Jumaat, 13 Mei 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kerajaan tidak harus tolak ansur terhadap pihak yang politikkan agama

Posted: 13 May 2011 03:11 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: MCA mahu kerajaan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab menyiarkan artikel berbaur perkauman dalam sebuah akhbar harian tempatan baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, polis perlu melakukan siasatan terperinci mengenai latar belakang berita yang tersiar dalam akhbar itu yang dikatakan melibatkan pihak tertentu yang mahu menggunakan agama demi kepentingan politik mereka.

Jika laporan itu didapati tidak berasas, beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab di akhbar berkenaan perlu dikenakan tindakan digantung sebagai amaran bahawa kerajaan mengambil berat terhadap pihak yang sengaja memainkan isu agama yang boleh mencetuskan huru-hara dan ketegangan dalam negara ini. "Kalau siasatan polis mendapati laporan itu adalah benar, pihak yang bertangggungjawab termasuklah mana-mana parti politik yang sengaja memperalatkan agama demi kepentingan politik mereka dan boleh mencetuskan huru-hara dan suasana tegang di Malaysia, perlu dikenakan tindakan.

"Kita harap dalam isu ini, kerajaan tidak seharusnya bertolak ansur dalam menegakkan keadilan dan menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa perjuangan politik tidaklah seharusnya memperalatkan agama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Chua berkata, MCA akan menandatangani memorandum kerjasama (MOC) dengan tujuh universiti di Taiwan sebagai usaha membantu kerajaan mencapai hasrat meningkatkan bilangan rakyat Malaysia yang menerima pendidikan dalam bidang vokasional.

Beliau berkata, program itu akan dijalankan bersama dengan Universiti Tunku Abdul Rahman, Kolej Tunku Abdul Rahman dan Kojadi. Program itu dijalankan secara berkembar dan pelajar akan mengikuti pengajian di Malaysia dan Taiwan dengan kos pengajian dianggar RM12,000 setahun.
"Kita juga nak berikan gambaran dan persepsi masyarakat khususnya masyarakat Cina yang menganggap aspek pendidikan teknikal tidak mempunyai peluang yang cerah khususnya dalam soal pekerjaan dan gaji.

"Persepsi ini adalah salah. Sebenarnya peluang pekerjaan adalah lebih cerah, potensinya adalah lebih baik. Dengan transformasi ekonomi yang giat dijalankan, peluang pekerjaan memang banyak untuk orang yang mahir," katanya.

Beliau berkata, pembabitan masyarakat Cina dalam bidang vokasional amat rendah iaitu kira-kira satu peratus daripada 86,000 yang mengikuti bidang itu.

"Program pendidikan itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan akan datang dan antara bidang pengajian yang dipilih ialah teknologi maklumat, fesyen dan pertanian," katanya. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lawatan Najib di Qatar dijangka buka banyak peluang perdagangan

Posted: 13 May 2011 03:03 AM PDT

Mutakhir

LAWATAN rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Doha, Qatar selama dua hari bermula esok dijangka membuka lebih banyak peluang perniagaan dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Najib dijangka tiba di sini kira-kira jam 4 petang esok (waktu tempatan atau 9 malam waktu Malaysia) bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau akan mengadakan pertemuan khas dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Jassim Jabr Al-Thani dan Emir Qatar, Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani secara berasingan di kediaman masing-masing. Paling istimewa, Najib dan isteri turut diundang menghadiri majlis makan malam bersama Perdana Menteri Qatar dan isterinya di bilik khas dan peluang ini dianggap satu penghargaan tertinggi, sekali gus memberi mereka peluang berbincang lebih akrab berhubung sebarang cadangan untuk meningkatkan hubungan Malaysia-Qatar.

Duta Besar Malaysia di Qatar, Ahmad Jazri Mohd Johar, berkata lawatan Perdana Menteri kali ini bagi membuka pintu meningkatkan lagi kerjasama perdagangan dan menyediakan peluang serta kemudahan supaya ahli perniagaan dari Qatar dapat berinteraksi dan menjalin hubungan dengan peniaga dan pelabur Malaysia.

Beliau berkata, nilai dagangan antara Qatar dan Malaysia tahun lalu berjumlah RM1.3 bilion dan dijangka meningkat tahun ini berikutan perkembangan ekonomi dunia yang semakin baik.

"Kita mahu mengambil peluang meningkatkan hubungan akrab sedia ada dan membawanya ke tahap lebih baik sebab banyak bidang boleh diteroka di negara ini yang pesat membangun. Paling menarik, Najib dijemput bertemu Perdana Menteri Qatar dan Emir Qatar di kediaman mereka.
"Ini petanda baik sebab bukan semua pembesar negara luar berpeluang menerima pelawaan itu. Sebenarnya, Emir Qatar menerima baik segala dasar dan usaha cuba diketengahkan Malaysia di peringkat dunia, malah Qatar mahu hubungan dan pelaburan antara kedua-dua negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya pada sidang media, di sini semalam.

Terdapat kira-kira 3,000 pedagang Malaysia di Qatar tetapi jumlah itu dianggarkan lebih tinggi mencecah 7,000 orang dan usaha mendaftarkan mereka dengan Kedutaan Malaysia sedang dilakukan.

Beberapa syarikat Malaysia beroperasi di sini dalam bidang pembinaan, kejuruteraan, perkhidmatan dan perdagangan selain berkhidmat dengan syarikat Qatar.

Ahmad Jazri berkata, Malaysia kini menjadi pilihan rakyat Qatar untuk cuti berbulan madu dan kunjungan Perdana Menteri dijangka meningkatkan lagi industri pelancongan negara.

Katanya, Qatar yang mengeksport produk berasaskan minyak, mengimport pelbagai keperluannya dari negara luar dan peluang itu perlu dieksploitasi Malaysia sebaiknya.

"Sekarang kita menumpu kepada sektor pembinaan dan kemudahan infrastruktur di Qatar tetapi banyak bidang lain yang boleh diteroka. Terpulang kepada kita untuk menggunakan peluang ini," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen