Jumaat, 13 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Pemimpin muda pelapis negara

Posted:

Pemimpin muda pelapis negara

Pemimpin muda pelapis negara

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

SEMPENA Hari Belia Negara 2011 esok, sekitar satu juta golongan muda dari seluruh negara bakal membanjiri Putrajaya di samping menyertai lebih 200 aktiviti yang diaturkan pelbagai pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dijangka akan merasmikan sambutan Hari Belia Negara tahun ini di Jalan Bukit Bintang pada hari sama bagi menandakan permulaaan sambutan di seluruh negara.

Menyebut tentang belia, mungkin ramai memikirkan hanya melibatkan remaja dan pelajar sekolah tetapi sebenarnya kumpulan ini melibatkan golongan berumur bawah 40 tahun yang merupakan kumpulan paling aktif dalam pelbagai gerakan, aktiviti dan program.

Golongan belia lebih dikenali dengan keterujaan dan semangat dalam melakukan sesuatu terutamanya di usia muda yang penuh dengan tenaga, emosi dan keghairahan.

Dari persatuan, pertubuhan, kumpulan, kesatuan, majlis dan bermacam bentuk gabungan untuk program dan agenda tertentu kebanyakan ahlinya terdiri daripada kumpulan belia.

Tanpa mengira bidang dan aliran, penyertaan belia dilihat sebagai satu kitaran penting dalam melatih dan menyediakan kumpulan pelapis kepada kepimpinan utama kelak, dari peringkat akar umbi sehinggalah ke pentadbiran tertinggi organisasi dan negara.

Di kemuncak usia melakar aspirasi diri, detik-detik belia di dalam sesebuah pertubuhan atau persatuan amat penting dari titik mula penyertaan, peralihan jawatan, memimpin sehinggalah ke tahap mewariskan kepimpinan kepada generasi berikutnya.

Kitaran berangkai ini dapat dilihat dalam semua aspek kehidupan kita bila golongan muda meningkat dewasa, matang dan berkaliber seterusnya melayakkan mereka memimpin dan menentukan arah tuju satu-satu generasi ke arah yang lebih baik atau sebaliknya, sama ada dalam kerjaya, gerakan agenda atau perjuangan.

Menjadi kebiasaan juga bagi kita mendengar rungutan pemimpin yang sudah 'lama' dan berusia kurang berkesan, lambat atau gagal menggerakkan kumpulan ahli yang dipimpinnya ke arah sasaran utama.

Sering dibangkitkan golongan belia sendiri, rungutan sedemikian biasanya membawa kepada peralihan kepimpinan baru dalam semua bentuk organisasi dengan harapan dapat melancar dan menggerakkan program dan aktiviti.

Persoalan bagi semua belia dan akar umbi hari ini, adakah peralihan kepimpinan kepada golongan lebih muda berjaya membawa perubahan dan penambahbaikan seperti yang diharap-harapkan?

Bagaimana pula jika pewaris 'takhta' gagal melangkaui pencapaian pemimpin sebelumnya sama ada akibat kurang pengalaman dan pengetahuan ataupun hasil sifat tamakkan jawatan semata-mata?

Bagi Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim, 12.5 juta orang belia negara perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk turut serta dalam berkongsi kemahiran kepimpinan, keusahawanan dan teknikal melalui organisasi dan aktiviti berpersatuan.

"Kita dapat lihat ada perubahan dalam corak kepimpinan dan penerimaan generasi muda di mana sikap keterbukaan telah membawa belia terus dalam kepimpinan sesebuah organisasi.

"Pemimpin terdahulu memang diperakui kehebatan mereka tetapi golongan belia pelapis juga tidak lemah semangat untuk cuba memimpin," katanya.

Jelasnya, belia juga mahu mendokong transformasi negara termasuk dalam aspek konsep belia itu sendiri.

Tambahnya, MBM juga kini lebih terbuka melalui pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkan organisasi belia masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Pindaan itu memberi ruang warga kolej, maktab dan IPT menyertai dan menjadi pemimpin dalam organisasi belia.

"Ini juga satu transformasi kerana dahulu warga IPT tidak boleh terlibat seterusnya membuka peluang meningkatkan nilai tambah individu apabila mahasiswa beramai-ramai menyertai aktiviti belia," ujarnya.

Menurut Irmohizam, belia di luar bandar juga tidak ketinggalan kerana pertumbuhan aktiviti dan pertubuhan belia terus berlaku melalui ruang sedia ada walaupun terdapat kekangan kewangan.

"Belia luar bandar boleh menyertai aktiviti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau seumpamanya di taman dan kawasan perumahan.

"Ini boleh dianggap anjakan paradigma mentaliti belia yang mengatasi kekangan peruntukan tetapi tetap menjalankan aktiviti berfaedah," jelasnya.

Beliau menegaskan penyertaan belia di setiap peringkat sesebuah organisasi penting dalam mendidik mereka memahami dasar dan polisi negara.

Tambahnya, pemahaman dan pengetahuan itu akan membuka peluang untuk mereka mengubah situasi mengikut kesesuaian keadaan dan pandangan mereka kelak.

"Dari segi pendekatan pula, belia tidak begitu sukakan protokol dan ini telah diamati Perdana Menteri sendiri ketika mendekati para belia. Organisasi belia juga bukan seperti parti politik dan mempunyai cara pergerakannya sendiri.

"Kadang kala aktiviti belia juga kelihatan tidak relevan tapi itu cara mereka menonjolkan kreativiti serta inovasi dan kita perlu beri galakan," tegasnya.

Irmohizam berharap belia dapat terus meningkatkan sahsiah diri melalui penyertaan organisasi dan tidak tercicir dari arus pembangunan negara dalam konteks globalisasi.

"Pembabitan belia dalam aktiviti organisasi kini mengagumkan dan ini satu proses melatih dan menggalakkan aktiviti berkumpulan.

"Walaupun nampak peningkatan, mereka masih perlukan bantuan dan galakan. Mungkin kerajaan dapat beri pengecualian cukai untuk dana dan tajaan aktiviti agar menggalakkan sumbangan dari sektor swasta kelak," cadangnya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim pula berpendapat terlalu awal untuk menilai kesan peralihan kuasa kepada golongan belia berbanding kepimpinan terdahulu.

Namun, beliau merasakan beberapa perubahan sudah dapat dilihat termasuk dalam GPMS sendiri yang mempunyai visi dan misi yang jelas untuk kepimpinan mudanya.

"Perubahan dalam organisasi belia seperti GPMS dan MBM pasti diperhatikan semua pihak terutamanya 'abang-abang' kami yang menilai dan melihat kemampuan kami memimpin sebuah organisasi besar.

"Oleh itu, kami dan para belia lain akan guna segala upaya dalam diri untuk memartabatkan organisasi belia dan negara.

"Secara keseluruhan, semua pertubuhan belia sudah membuat perubahan tapi masih banyak ruang untuk kami terokai dan membuat penambahbaikan supaya setaraf dengan organisasi di negara lain," katanya.

Untuk itu, Jais menyarankan semua anggota organisasi belia terutamanya ahli GPMS sendiri supaya kembali kepada peranan mereka ketika era 1960-an dan 1970-an dahulu.

"Organisasi belia perlu menjadi pendesak kepada isu-isu yang mempunyai kepentingan umum dan masyarakat negara ini.

"Sesebuah organisasi juga hanya menjadi relevan melalui program dan perbincangan intelektual, bukan sekadar komen di dalam akhbar.

"Belia memegang peranan penting dan kerana itu perlu pintar dalam membuat saranan atau desakan agar dasar negara serta gagasan 1Malaysia boleh dijayakan," tegasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peraturan kewangan baru dan yang tertinggal

Posted:

Peraturan kewangan baru dan yang tertinggal

Peraturan kewangan baru dan yang tertinggal

Saranan Salleh

MINGGU ini Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Ben S Bernanke mengatakan bank pusat itu bercadang memperkenalkan peraturan dalam beberapa bulan lagi bagi syarikat yang kegagalan mereka akan mengancam sistem kewangan.

Selepas empat tahun krisis kewangan melanda AS yang menyebabkan institusi kewangan yang besar seperti Bear Sterns dan Lehman Brothers yang wujud beratus tahun muflis, baru kini pihak pengawal selia di AS ingin memperkenalkan peraturan kewangan baru.

Pihak Suruhanjaya Sekuriti mereka sedang menjalankan suatu penilaian meluas tentang pasaran ekuiti untuk menentukan sama ada peraturan sedia ada sejajar dengan pembangunan dalam teknologi dan strategi dagangan. Mereka bercadang memerlukan pedagang besar melaporkan dagangan mereka dan membangun suatu sistem maklumat tergabung untuk pengawasan pasaran.

Seperti kita sedia maklum salah satu sebab keruntuhan sistem kewangan di AS yang merebak ke negara-negara di Eropah adalah kemunculan pelbagai jenis derivatif yang digubal daripada suatu pokok sekuriti yang berasaskan sesuatu yang lemah dikenali dengan nama subprima atau pinjaman yang diberikan kepada mereka yang sudah diketahui tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik.

Pokok keruntuhan ini adalah sifat tamak haloba bank dan institusi kewangan yang mempunyai cawangan dan sekutu di merata dunia. Daripada pokok yang sudah lemah dibentuk pelbagai jenis pakej yang kemudian dijual kepada institusi lain di seluruh dunia. Akhirnya bila yang pokok runtuh, semuanya runtuh.

Dalam blog terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan tentang bagaimana matawang dijadikan komoditi untuk diperdagangkan dan dimanipulasi yang menyebabkan dunia tidak akan bebas daripada spekulator yang boleh merosakkan sesuatu matawang. Dalam usaha mereka memperkenalkan peraturan kewangan baru, nyata dagangan pasaran matawang yang bernilai trilion dolar Amerika sehari tidak disentuh.

Sepatutnya mereka yang terlibat dengan jual beli matawang ini diperlukan membuat laporan seperti yang dicadangkan oleh Dr. Mahathir supaya kita tahu siapa yang short dan siapa yang long. Short bermakna mereka yang menjual sesuatu matawang akan membeli balik bila nilai matawang tersebut jatuh nilainya dan long mereka yang benar-benar memiliki matawang yang hendak dijual. Sejak matawang dijadikan komoditi, huru hara di pasaran kewangan kerap berlaku.

Apa jua senibina kewangan (Financial Architecture) yang heboh kononnya oleh kumpulan G7 selepas krisis kewangan dulu sehingga hari ini belum menampakkan sebarang hasil. Banyak cakap daripada bikin. Kini negara-negara di Eropah masih dilanda krisis Iceland, Greece, Spain dan Portugal semuanya memerlukan bantuan kewangan dan bantuan itu memerlukan suatu disiplin kewangan negara mereka yang ada yang tidak dapat mematuhinya, kerana untuk mengurangkan defisit negara banyak perbelanjaan negara perlu dipotong dan bila sesuatu perkara yang penting dipotong, walau terpaksa, rakyat merusuh merosakkan harta benda seperti yang berlaku di Greece.

Di AS pula sehingga hari ini pemulihan ekonomi belum lagi muncul. Obama tidak akan berbuat sesuatu sehingga pilihan raya presiden untuk penggal keduanya. Dengan pembunuhan Osama Bin Laden rating Obama meningkat dan beliau boleh berdiam diri sekejap tentang masalah ekonomi yang menghantui negara tersebut. Lagipun sekiranya nilai matawang mereka sudah hampir menyamai "kertas tisu" bagi mereka mudah saja kerana boleh mencetak seberapa banyak wang yang diperlukan. Pelabur mereka pergi keluar negara menikmati keuntungan daripada perbezaan kadar faedah di negara-negara lain dengan negara mereka yang kini masih rendah berada di paras antara 0 sehingga 0.25% dan membawa balik keuntungan itu ke negara mereka.

Oleh itu, pasaran-pasaran saham negara Asia menunjukkan prestasi meningkat kerana kemasukan wang daripada pengurus-pengurus dana dari AS ini.

Sebarang kegembiraan tentang kenaikan matawang ringgit dengan dolar Amerika wajar mengambil kira suasana ekonomi di AS yang masih lagi bergelut dengan pelbagai perkara. Ujian sebenar kekukuhan matawang kita adalah apabila dengan matawang negara lain kita pun meningkat bukan dolar Amerika sahaja.

Matawang yang tinggi ada baiknya dan ada buruknya. Baik untuk barang yang diimport dan buruk untuk barang yang kita eksport.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa pelancaran Laporan Produktiviti Tahunan 2010/2011, negara ini dari segi ekonomi tidaklah begitu buruk tetapi masih belum menunjukkan prestasi memuaskan kerana terpaksa "mengejar" negara-negara yang dulunya setanding dengan kita.

Produktiviti setiap penduduk di negara ini masih lagi empat atau lima kali lebih rendah daripada mereka di negara-negara yang kita anggap sudah mencapai taraf negara maju.

Faktor produktiviti sepenuhnya ini yang penting bagi kita untuk meningkat. Tidak guna kalau upah meningkat tetapi produktiviti rendah. Mungkin di sesetengah bahagian penghasilan produktiviti kita mengalami "obes" dan payah bergerak dan sektor produktiviti lain mengidap "angin ahmar" atau "diabetes". KPI diperlukan untuk memastikan produktiviti meningkat baik di sektor awam mahupun di sektor swasta.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen