Isnin, 16 Mei 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Janji Jenice pada pilihan raya

Posted:

Janji Jenice pada pilihan raya

Janji Jenice pada pilihan raya

Oleh ANGELINA SINYANG
kota@utusangroup.com.my


Penduduk Flat 700 Pandan Perdana, Ampang mengadakan tunjuk perasaan semalam untuk mendesak pembinaan pagar di kawasan perumahan mereka seperti yang dijanjikan sebelum ini, berikutan semakin banyak kejadian jenayah berlaku di situ. – utusan/Azrul Edham Mohd. Aminuddin


KUALA LUMPUR 15 Mei – Penduduk Flat 700 Pandan Perdana di sini mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Haa supaya menunaikan janji membina pagar di kawasan perumahan mereka seperti dijanjikan pada kempen pilihan raya umum sebelum ini.

Penduduk mendakwa, semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Jenice berjanji akan membina pagar bagi mengelak penjenayah menceroboh ke kawasan perumahan berkenaan sekiranya penduduk mengundi beliau.

Namun, mereka kecewa kerana wakil rakyat DAP itu gagal mengotakan janji tersebut sehingga ke hari ini, malah tidak pernah sekalipun bertanya khabar dan masalah penduduk sejak diisytihar sebagai ADUN di kawasan berkenaan.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penduduk Flat 700 Pandan Perdana, Umar Abdul Rahman berkata, ketiadaan pagar di kawasan perumahan itu menyebabkan ramai penduduk menjadi mangsa jenayah terutama ragut.

"Apabila tiada pagar, sesiapapun boleh masuk dan keluar ke kawasan perumahan ini termasuk penjenayah yang mencari mangsa untuk diragut.

"Memang berlaku banyak kes ragut di sini dan terbaru menjadi mangsa ialah seorang gadis berusia 19 tahun yang diragut semasa mahu ke tempat kerja pada awal pagi," katanya ketika ditemui di kediaman tersebut hari ini.

Seorang lagi AJK persatuan, A. Thiruchelum, 48, berkata, nasib penduduk bertambah malang apabila diabaikan oleh pihak pengurusan perumahan berkenaan.

Thiruchelum mendakwa, sejak pemaju menyerahkan pengurusan kawasan perumahan terbabit kepada syarikat swasta setahun lalu, flat di situ mula tidak disenggara dengan baik.

"Kami dikehendaki membayar yuran penyenggaraan RM35 sebulan dan beberapa lagi yuran lain tetapi tidak berpuas hati dengan cara syarikat terbabit menyenggara kawasan perumahan ini.

"Bayangkan mereka hanya menggaji seorang tukang sapu untuk membersih empat blok bangunan yang menempatkan 700 buah rumah. Ini menyebabkan sampah-sarap tidak disenggara dengan baik," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peniaga dakwa dihalau ADUN DAP

Posted:

Peniaga dakwa dihalau ADUN DAP

Peniaga dakwa dihalau ADUN DAP


Ali Hashim (kiri) dan Mohd. Ridzuan Abdullah menunjukkan notis arahan berpindah oleh MPAJ pada sidang akhbar di Flat 700 Pandan Perdana, Ampang, semalam.


AMPANG 15 Mei - Suasana tegang tercetus di Flat 700, Pandan Perdana di sini hari ini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Haa tanpa belas kasihan menghalau penduduk yang berniaga di tepi jalan di kawasan perumahan berkenaan.

Wakil rakyat DAP itu bersama kira-kira lima pembantunya tiba di perumahan kos rendah itu pada pukul 10 pagi sambil membawa kain rentang berbunyi 'Penjaja Haram' bertujuan menghalau dua penduduk warga emas yang masih berniaga di situ, setelah mereka diberi notis oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), semalam.

Sebelum ini terdapat 23 penduduk mengusahakan perniagaan kedai makan dan runcit di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan yang mempunyai empat blok dengan 700 unit rumah.

Namun, kini hanya dua lelaki warga emas masih kekal berniaga di situ, setelah rakan-rakan peniaga yang lain akur dengan arahan MPAJ agar berpindah atau menutup perniagaan dengan alasan mereka berniaga tanpa lesen di tempat awam.

Seorang peniaga yang menjadi mangsa, Ali Hashim, 67, berkata, dia yang sudah 14 tahun membuka gerai menjual makanan di situ, berkeras meneruskan perniagaan kerana tiada pilihan memandangkan hanya pekerjaan itu sahaja sumber pendapatan untuk menyara diri dan isterinya.

"Sepatutnya, tanggungjawab seorang wakil rakyat adalah membantu penjaja kecil seperti kami untuk mendapatkan lesen tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila kami sudah tiga kali dihalau, manakala lesen berniaga tidak pernah diluluskan walaupun sudah banyak kali membuat permohonan.

"Saya kecewa dengan kepimpinan kerajaan Selangor yang langsung tidak prihatin dengan nasib kaum Melayu kerana semasa Barisan Nasional (BN) memerintah kami tidak pernah diperlakukan begini," katanya ketika ditemui di tapak gerai yang sudah dirobohkan di sini hari ini.

Ahmad Sulong, 70, yang berniaga minuman pula berkata, dia kini buntu memikirkan masa depannya setelah hilang sumber pendapatan apabila tidak lagi dibenarkan berniaga di gerai yang sudah 14 tahun diusahakannya.

Lelaki warga emas yang menghidap penyakit lelah itu memberitahu, dia terpaksa mencuri-curi berniaga di situ pada hujung minggu kerana tidak mampu menyewa tapak perniagaan lain yang mengenakan bayaran mahal.

Bekas pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berkata, tindakan MPAJ merobohkan gerainya menyebabkan dia kini dibelenggu masalah hutang kerana tiada lagi wang untuk membayar rumah dan motosikal yang dibeli.

Bekas pemilik kedai runcit, G. Moorty, 28, berkata, dia bertikam lidah dengan Jenice kerana tidak berpuas hati dengan tindakan ADUN terbabit menghalau para peniaga tanpa berbincang terlebih dahulu.

"ADUN itu tidak membenarkan kami berniaga kerana gerai-gerai di sini tidak membayar sewa," kata Moorty yang kecewa kerana masih gagal mendapatkan semula barang-barang runcit yang disita MPAJ.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, beliau akan meminta kerjasama UMNO dan Pas untuk menyelamatkan peniaga Melayu setelah tidak yakin dengan Gerakan dan MCA.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Persefahaman polis, media tangani jenayah

Posted:

Persefahaman polis, media tangani jenayah

Persefahaman polis, media tangani jenayah


Zulkifli Abdullah beramah mesra dengan wakil media semasa program menembak bersama media di lapang sasar Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 15 Mei - Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, persefahaman antara pengamal media dan polis berupaya membantu menangani masalah jenayah di negara ini.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur itu berkata, pihaknya sedar betapa penting peranan media dalam melaporkan sesuatu isu atau maklumat kepada masyarakat.

Katanya, bidang tugas kedua-dua pihak saling memerlukan antara satu sama lain.

"Media memerlukan polis untuk mendapatkan bahan berita atau maklumat mengenai isu jenayah, manakala polis perlu kerja sama media untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat.

"Jadi, kita harap hubungan polis dan media sentiasa dalam situasi menang-menang," katanya pada sidang akhbar semasa menghadiri program menembak bersama media di lapang sasar Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Zulkifli berkata, hubungan media dengan polis harus sentiasa rapat dan tidak terhad kepada acara rasmi sahaja agar masing-masing memahami tugas antara satu sama lain.

Katanya, acara menembak yang diadakan itu misalnya, membolehkan pengamal media memahami bagaimana polis menjalankan tugas menggunakan senjata api.

"Melalui pengalaman ini, sedikit sebanyak media akan tahu senjata api harus dikendalikan secara berhati-hati dan mengikut undang-undang," ujarnya.

"Sikap berhati-hati dan patuh kepada undang-undang semasa menggunakan senjata api menunjukkan betapa anggota polis menghargai nyawa manusia dan berdisiplin menjalankan tugas," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen