Rabu, 18 Mei 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Subsidi: Hapus dulu ‘candu besar’ sebelum sasar ‘candu kecil’

Posted: 18 May 2011 12:43 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Mei — DAP menasihatkan pentadbiran  Najib agar menghapuskan "candu besar" -  pemberian subsidi bernilai RM19 bilion kepada Pengeluar-pengeluar Tenaga Bebas (IPP) daripada menekan rakyat dengan memotong subsidi keperluan mereka.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Putrajaya sepatutnya menghapuskan pemberian subsidi gas kepada IPP terlebih dahulu daripada menghapuskan subsidi yang hanya akan membebankan rakyat.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) seharusnya menghapuskan terlebih dahulu candu besar pemberian RM19 bilion subsidi gas kepada IPP dan sektor komersial sebelum menghapuskan 'candu kecil' subsidi gula, diesel dan petrol untuk rakyat.

"DAP menentang sekeras-kerasnya penarikan subsidi diesel sejak 1 Jun 2011 tanpa terlebih dahulu menghapuskan subsidi gas kepada IPP yang telah menyebabkan inflasi yang teruk kepada peniaga dan pengguna," kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan.

Tegas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, pentadbiran Najib sepatutnya menghapuskan "candu besar" itu yang telah menyebabkan kerugian minimum sebanyak RM28 bilion setahun dengan anggaran beberapa lagi kerugian mencecah AS$100 bilion (RM303.06 billion) sejak 1980.

"Mengapa 27 juta penduduk Malaysia terpaksa menanggung kenaikan harga ketika beberapa syarikat raksasa dalam IPP tidak sedikitpun berasa terbeban walau satu sen dengan pemotongan subsidi tersebut? Penghapusan subsidi kepada masyarakat miskin menambah derita berikutan upah yang rendah sementara keuntungan IPP meningkat.

"Justeru kerajaan harus memadamkan candu besar dari subsidi gas yang sepatutnya boleh diselamatkan puluhan bilion ringgit setahun sebelum menghapuskan candu kecil yang hanya menjimatkan ratusan juta ringgit," katanya.

Dalam ucapannya di London kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, subsidi bahan api ibarat "candu" kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya telah memperuntukkan subsidi bernilai RM11 bilion tahun ini tetapi paras itu telah mengalami kenaikan, sehingga mencecah RM18 bilion ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang begitu tinggi.

"Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik," kata beliau di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford.

Bagaimanapun pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan BN sebenarnya telah gagal mengatasi ketagihan subsidi menerusi pendekatan-pendekatan alternatif sambil mencela pentadbiran Najib hanya menyalurkan "candu subsidi" yang memanfaatkan kroninya.

Mereka juga mendakwa kos hidup semakin meningkat sedangkan kadar upah tidak bergerak telah menyebabkan rakyat terpaksa bergantung pada subsidi.

Malah, mereka juga memberi amaran bahawa tindakan menarik balik subsidi akan menyebabkan rakyat muflis, sebaliknya kerajaan perlu menggalakkan daya saing dan mengatasi manipulasi harga barangan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Presiden NUJ: Saya kekal berkecuali, tidak sokong mana-mana parti

Posted: 18 May 2011 12:20 AM PDT

Hata berkata beliau tidak memihak dengan mana-mana parti politik. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Hata Wahari menegaskan beliau terus bersikap berkecuali dan tidak memihak mana-mana parti politik sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.

Sebaliknya jelas, Hata, beliau hanya menggunakan platform yang ditawarkan parti politik hanya untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa media dalam negara ini masih dikongkong dan dikuasai oleh parti-parti politik yang perlu dibebaskan.

"Saya sentiasa bersikap berkecuali, saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik... itu adalah intipati perjuangan saya selama ini dan dalam forum-forum yang saya sertai saya tidak minta orang ramai agar sokong Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional.

"Sebagai Presiden NUJ, saya tidak memihak mana-mana parti politik, saya hanya gunakan forum yang ditawarkan untuk memberitahu orang ramai bahawa media kita masih dikongkong... ini perjuangan saya, bukan untuk parti-parti politik, saya hanya cakap media kita harus dibebaskan baru kita boleh beri khidmat yang adil kepada parti-parti politik," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegas mempertahankan pendirian itu, Hata berkata, dakwaan mengatakan beliau memihak kepada Pakatan Rakyat adalah tidak benar sama sekali.

"Kalau anda datang ke forum saya, saya tidak suruh orang ramai sokong PAS, PKR atau Umno, saya hanya tuntut kebebasan media agar tidak dikongkong parti politik.

"Ini adalah prinsip saya, saya tidak sokong Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional dan saya mempunyai pendirian dan berkecuali dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Setiausaha Agung NUJ V. Anbalagan akhir minggu lalu, yang meminta agar bekas wartawan kanan Utusan Malaysia itu mematuhi pendirian kesatuan itu untuk bersikap berkecuali dengan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Kata Anbalagan, sebagai kesatuan mewakili 1,400 ahli, bukan dasar kesatuan untuk cenderung menyokong mana-mana parti di negara ini.

"Majlis Eksekutif NUJ telah menjelaskan pendirian kesatuan untuk pengetahuan Hata pada mesyuarat Sabtu lalu.

"Kalau dia masih lagi bercakap atas platform pembangkang, terpulang kepada Majlis Eksekutif untuk menentukan kedudukannya kerana (perbuatan) Hata boleh menjejaskan imej NUJ," katanya.

Difahamkan, NUJ "kurang senang" dengan beberapa tindakan Hata yang dilihat cenderung menyokong pembangkang antaranya memberi kenyataan kepada portal-portal propembangkang.

Terbaru, Hata tampil berceramah di pentas PAS bagi menyatakan pandangannya terhadap Utusan Melayu.

Anbalagan berkata, pihak kesatuan telah meminta pandangan dan nasihat Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja mengenai kedudukan Hata sebagai Presiden NUJ memandangkan beliau telah dipecat oleh majikannya.

Jelas Hata, beliau bersedia untuk menyertai mana-mana platform atau jemputan untuk menyampaikan ceramah oleh mana-mana parti politik demi memastikan media dibebaskan dari kongkongan parti politik.

"Perjuangan saya adalah menuntut kebebasan media secara keseluruhan termasuk bebas dari parti-parti politik. Sebagai contoh mana-mana pihak yang mahu terbitkan akhbar tidak perlukan permit.

"Tapi masalah yang ada sekarang jika akhbar itu menyokong Pakatan Rakyat nak dapatkan permit pun susah, itu sebab media ini tidak boleh dikongkong dengan parti politik, biar ia bergerak sendiri.

"Sekiranya mana-mana parti politik termasuk Umno sediakan platform kepada saya untuk bercakap perkara ini, saya tiada masalah," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen