Ahad, 1 Mei 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Hari Pekerja: 18 ditahan polis, antaranya MP Sg Siput

Posted: 01 May 2011 12:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Mei — Polis menahan 18 individu dalam perhimpunan sempena Hari Pekerja bagi membantah kenaikan harga barang dan menuntut Akta Gaji Minimum dilaksanakan, di sekitar Maju Junction dan Jalan Chow Kit di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Ibrahim berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

"Mereka ditahan untuk sementara waktu bagi merekodkan keterangan," katanya dipetik Bernama.

Laporan The Star Online menyebut antara yang ditahan ialah Ahli Parlimen Sungai Siput D. Jeyakumar.

Perhimpunan bermula pukul 10.30 pagi disertai hampir 500 pekerja swasta daripada 75 syarikat pelbagai perkhidmatan.

Rata-rata mereka hadir dengan memakai baju berwarna merah dan membawa sepanduk serta kain rentang tertera "kami mahu hak kami", "gaji minimum", "harga barang naik, tapi gaji masih minimum" dan sebagainya.

Suasana pada mulanya terkawal apabila mereka berjalan dari Jalan Chow Kit ke Maju Junction menjadi kecoh apabila mereka yang berhimpun tidak berpuas hati dengan penahanan beberapa rakan mereka, dipercayai ingkar arahan polis supaya bersurai.

Mereka kemudian duduk di pekarangan Menara Tabung Haji sambil membaca protes dan ada yang menyanyikan lagu menuntut hak pekerja.

Selepas selesai melaungkan hak mereka, seorang lelaki dilihat menyampaikan kertas "deklarasi satu Mei 2011" kepada Pesuruhjaya Suhakam James Nagayam, yang berada di lokasi perhimpunan, lapor Bernama.

Nagayam ketika ditemui berkata tuntutan itu akan dibawa ke pihak berkaitan.

Kesemua yang berhimpun bersurai kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dalam pada itu, laporan Bernama Online menyebut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengulangi desakan supaya kerajaan segera melaksanakan enam tuntutan yang diperjuangkan mereka selama ini.

Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam, berkata, tuntutan itu ialah penetapan gaji minimum RM900 sebulan, mengurangkan waktu bekerja kepada 40 jam daripada 48 jam seminggu dan penetapan usia tamat tempoh perkhidmatan kepada 60 tahun.

MTUC juga menuntut supaya kerajaan memberikan faedah persaraan yang dikira berdasarkan kepada sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan pekerja, menghapuskan sistem kerja kontrak dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat termasuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

"Sempena sambutan Hari Pekerja ini, kita minta kerajaan dapat mengambil tindakan segera (terhadap tuntutan ini). Janganlah dilengah-lengahkan terutama mengenai pelaksanaan gaji minimum.

"Ini kerana berdasarkan statistik kerajaan, masih terdapat sebanyak 34 peratus daripada pekerja menerima gaji rendah iaitu di bawah garis kemiskinan," katanya kepada pemberita pada perhimpunan Hari Pekerja anjuran MTUC bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir ialah bekas Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dan Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam.

Balasubramaniam berkata MTUC juga meminta kerajaan mengurangkan pengambilan pekerja asing sebaliknya memberi peluang kepada pekerja tempatan untuk menceburi sektor swasta terutama dalam sektor perkilangan.

"Kita (MTUC) ada terima aduan daripada kesatuan yang menyifatkan majikan mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja tempatan dan mengutamakan pekerja asing," katanya.

Beliau juga berkata hanya sembilan peratus daripada pekerja di negara ini yang menyertai kesatuan pekerja.

"Setakat ini jumlah ahli adalah seramai hampir 620,000 orang dari 272 kesatuan, namun yang aktif adalah seramai 530,000 orang," katanya yang turut meminta majikan menganggap kesatuan adalah rakan kepada syarikat dan bukannya sebagai beban.

Kira-kira 400 orang yang mewakili pelbagai kesatuan sekerja menghadiri perhimpunan berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Asri: Sumpah tak wajib tapi Anwar harus balas elak buruk sangka

Posted: 30 Apr 2011 11:42 PM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Mei — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) berkata sumpah bukan satu paksaan, tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya melakukan sumpah balas untuk menghilangkan sangkaan buruk ekoran tindakan "Datuk T" kelmarin.

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju dengan tindakan ahli perniagaan Datuk Sharyl Eskay Abdullah — salah seorang "Datuk T" melakukan sumpah laknat yang didakwanya hanya bertujuan mendedahkan keaiban orang lain, dalam kes ini Anwar.

"Saya tidak bersetuju Datuk T bersumpah kerana itu hanya bertujuan mendedahkan keaiban orang lain.

"Tapi, oleh kerana mereka dah bersumpah dan menimbulkan buruk sangka kepada pihak yang dituduh, mengapa tidak DSAI (Anwar) bersumpah saja . . . jika beliau tidak salah, apa yang hendak dirisaukan," kata beliau dalam kenyataan ringkas menerusi SMS hari ini.

Pandangan yang hampir sama dilahirkan oleh Mufti Perlis Dr Juanda Jaya semalam.

Asri berkata, melakukan sumpah bukan satu paksaan atau pun kewajiban tetapi dapat mengatasi buruk sangka.

"Sumpah bukan semestinya di mahkamah. Sumpah di mahkamah ada babnya. Sumpah luar mahkamah ada babnya. 

"Jika isteri suruh suami bersumpah bahawa dia tidak curang, adakah berdosa atau Allah menghukum jika suami bersumpah dia tidak buat dan memang dia tidak buat. Sumpah macam itu dapat menghilangkan perbalahan," katanya.

Namun tegas beliau, politik negara ini sudah "jijik dah kotor" ekoran perkembangan terbaru ini.

"Isu aib peribadi cuba dijadikan isu rakyat dan negara. Sangat hina. Jika kita usah layan puak-puak ini pun patut," kata beliau.

Shazryl, yang mendedahkan rakaman video seks yang si pelakunya mirip Anwar pada 21 Mac lalu, melakukan sumpah laknat di Masjid Amru al-As di Bandar Baru Sentul di sini petang kelmarin.

Laporan media semalam menyebut, Anwar memutuskan tidak tampil untuk bersumpah laknat berhubung isu video seks itu dan tidak menyahut cabaran Shazryl selepas mendapat nasihat Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan beberapa tokoh agama lain. 

Anwar berkata, Nik Aziz menasihat beliau supaya tidak melayan desakan untuk bersumpah laknat kerana tuduhan zina yang dikenakan terhadapnya perlu diselesaikan di Mahkamah Syariah. 

"Beberapa bekas mufti seperti bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan bekas Mufti Perlis menasihatkan saya dan menyatakan simpati tuduhan zina yang dikenakan terhadap saya. 

"Malah, saya turut mendapat simpati ulama dari Indonesia atas tuduhan yang dikenakan terhadap saya," katanya ketika berucap di Dewan Kampung Bukit Seputeh dekat Ampang malam kelmarin.

Oleh itu tegas Ketua Pembangkang itu, beliau tidak akan melayan desakan untuk bersumpah laknat sebaliknya akan terus memperjuangkan keadilan dan membantu rakyat.

Dalam kenyataan semalam, Juanda juga berkata beliau amat setuju Anwar segera bersumpah untuk menafikan tuduhn kotor ke atas beliau walaupun pilihan di tangan beliau sendiri. 

"Saya mahu kes ini segera selesai. Ia malukan umat Islam. Saya sekarang di Mekah atas undangan kerajaan (Arab) Saudi dengan mufti-mufti lain," kata beliau.

Juanda menambah, kaedah hukum Islam dalam kes jenayah, pendakwa perlu membawa bukti tuduhan, yang kena dakwa perlu bersumph kalau dia menafikan tuduhan. 

"Datuk Eskay tidak patut bersumpah, yang patut bersumpah adalah yang kena tuduh kalau dia nak nafi tuduhan. 

"Memadai lafaz, wallahi tuduhan itu palsu. Mahkamah Syariah wajib proaktif putuskan hal ini segera untuk tutup aib umat Islam," kata beliau.

Juanda juga berkata badan kehakiman Islam tidak harus menjadi "penonton saja" dalam kes semasa ini dan semua pihak perlu menjaga imej Islam terutama mereka yeng memperjuangkan Islam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan