Khamis, 5 Mei 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Lesotho mohon Malaysia latih polis

Posted: 05 May 2011 04:04 PM PDT

Nasional

NAJIB menerima kunjungan Mosisili di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

NAJIB menerima kunjungan Mosisili di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

KL sedia beri kerjasama dalam bidang latihan, pembangunan modal insan

PUTRAJAYA: Lesotho sangat berminat untuk terus mendapatkan sokongan Malaysia dalam bidang latihan dan pembangunan modal insannya, dengan mengemukakan permintaan khusus kepada Perdana Menteri semalam supaya negara ini bekerjasama melatih pegawai polis serta diplomat mereka.

Perkara itu disuarakan oleh Perdana Menteri Lesotho, Pakalitha Mosisili, dalam perbincangan dua hala bersama Datuk Seri Najib Razak di Bangunan Perdana Putra di sini, sempena lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Malaysia. Pada sidang media bersama kedua-dua pemimpin berkenaan selepas itu, Najib berkata, Mosisili meminta Malaysia melatih pegawai polis di Lesotho, terutama dalam bidang ketenteraman dan keselamatan awam, sekali gus meningkatkan keupayaan pasukan mereka.

"Saya dengan sukacita memaklumkan Perdana Menteri (Mosisili) bahawa kerajaan Malaysia bersedia untuk menyokong permintaan itu dengan menghantar beberapa jurulatih (polis) kita, dan program latihan ini akan bermula dalam waktu terdekat.

"Perdana Menteri (Mosisili) juga meminta kita (Malaysia) melatih beberapa diplomat mereka. Program latihan di IDFR (Institut Diplomasi dan Hubungan Luar) di Malaysia akan bermula pada Oktober depan dan Lesotho dialu-alukan untuk menghantar beberapa diplomat mereka untuk menyertainya," katanya.

Ini adalah lawatan rasmi Mosisili bersama isteri, Mathato Mosisili, yang pertama kalinya ke Malaysia walaupun beliau pernah menghadiri Dialog Antarabangsa Langkawi sebanyak tiga kali.
Setakat ini, Najib berkata, seramai 94 pegawai dari Lesotho sudah menjalani pelbagai jenis latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan ia akan diteruskan pada masa depan.

Dalam pada itu, beliau berkata, ada dua inisiatif sektor swasta Malaysia dengan Lesotho ketika ini, iaitu penubuhan kampus cawangan Universiti Limkokwing di negara berkenaan serta pelantikan Iris Corporation Bhd yang mempunyai kapasiti menghasilkan pasport dan kad pengenalan canggih.

"Kampus cawangan Universiti Limkokwing di Lesotho bakal dinaik taraf untuk meliputi sebuah pusat digital. Pada masa sama, beberapa pelajar dari Lesotho juga sedang mengikuti pelbagai kursus di Universiti Limkokwing di Malaysia," katanya.

Sambil menyifatkan perbincangan kedua-dua pemimpin itu sebagai amat menarik dan berhasil dengan menerokai bidang baru tertentu kerjasama dua hala, Najib turut berharap sektor swasta Malaysia akan meneliti peluang pelaburan di Lesotho, terutama dalam industri sumber air.

Sementara itu, Mosisili berkata, Lesotho menekankan pembangunan modal insan kerana rakyat adalah sumber terbaik bagi mana-mana negara, justeru aspek berkenaan turut diberi perhatian dalam menjalinkan hubungan persahabatan dan kerjasama yang erat serta kukuh bersama Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya juga kagum dengan kejayaan Malaysia menghadapi cabaran kemelesetan ekonomi global dengan tidak mengalami kesan yang seteruk banyak negara lain di dunia.

"Kami percaya ini adalah atas keupayaan kerajaan dan sektor swasta anda (Malaysia) untuk mengekalkan ekonomi yang berdaya maju serta disiplin. Kami boleh belajar daripada anda," katanya sambil memuji keramahan masyarakat negara ini.

Selain itu, Mosisili berkata, negara berkenaan adalah destinasi pelaburan yang menarik kepada sektor swasta Malaysia, terutama dalam industri sumber air yang disifatkan sebagai 'emas putih' di Lesotho.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

M Ridzman

Hebat Malaysia smpaikan negara lain pon mintak gunakan kepakaran yg kita ada..tp ade jugak segelintir kwn2 kita yg tak percaya dan kadang2 perlekeh keupayaan polis. Jgn kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Syabas kepada PDRM, teruskan dengan kehebatanmu...


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Usaha perangi rasuah jihad

Posted: 05 May 2011 04:02 PM PDT

Nasional

MUHYIDDIN melihat buku terbitan Institut Integriti Malaysia selepas melancarkannya. Turut kelihatan Mohd Sidek (kiri) dan Ketua Pengarah Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh (kanan).

MUHYIDDIN melihat buku terbitan Institut Integriti Malaysia selepas melancarkannya. Turut kelihatan Mohd Sidek (kiri) dan Ketua Pengarah Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh (kanan).

Muhyiddin minta penjawat awam elak terjebak salah guna kuasa

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan usaha memerangi amalan rasuah adalah jihad paling utama setiap kerajaan yang berintegriti terutama berdasarkan kepada perkembangan politik masa kini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam konteks politik semasa, tahap kebolehpercayaan institusi kerajaan pada mata rakyat amat bergantung kepada sejauh mana pemerintah dan penjawat awam dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa. Katanya, dalam sistem demokrasi yang berfungsi, segala tindak tanduk pemerintah dan penjawat awam tidak pernah terlepas daripada pemerhatian masyarakat.

"Ramai pemimpin yang gugur dan kerajaan tersungkur dek terpalit amalan rasuah dan salah guna kuasa. Justeru, memerangi rasuah adalah jihad paling utama bagi setiap kerajaan yang berintegriti," katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana Integriti di Institut Integriti Malaysia (IIM), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi IIM, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi membolehkan negara melangkah ke hadapan dan menjadi bangsa berintegriti serta bermaruah, amalan rasuah mesti diperangi habis-habisan dalam setiap sektor dan lapisan masyarakat.
"Sama ada di kalangan penguasa atau rakyat biasa, usahawan kecil atau peniaga besar, penjawat awam atau pekerja swasta, fokus utama kita ialah melipatgandakan usaha pemantapan dan pembudayaan integriti sebagai satu gerakan pembaharuan sosial menyeluruh dalam masyarakat," katanya.

Namun Muhyiddin berkata, persoalan rasuah tidak boleh dikaitkan dengan nafsu semata-mata, sebaliknya ia membabitkan perbuatan pemberi dan penerima yang rakus serta tamak.

"Pemberi dan penerima rasuah adalah pelaku jenayah terkutuk di sisi undang-undang negara, norma masyarakat dan agama.

"Maka untuk memerangi rasuah secara menyeluruh, sewajarnya gejala ini dibendung sehingga ke akar umbi," katanya.

Menjelas lanjut gerakan pemantapan dan pembudayaan integriti, beliau berkata, gerakan itu berpaksikan kepada tiga tonggak utama iaitu menjadikan integriti sebagai penyataan niat, penetapan matlamat dan perjalanan bertahap.

"Tiga tonggak ini adalah simbol kesatuan hati, matlamat dan amalan setiap warga untuk menjayakannya. Tugas dan amanah besar ini tidak boleh dipikul pemerintah saja, tetapi digalas setiap warga dengan semangat dan jiwa yang kental," katanya.

Sementara itu, Anggota Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia (ICAPP) diminta bekerjasama merangka pelan komprehensif bagi membantu mengurang kesengsaraan rakyat yang terjejas teruk dalam bencana alam terutama di rantau Asia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi pelan yang dirangka secara terancang itu dapat menawarkan bantuan bersepadu bagi membina semula kehidupan rakyat yang terbabit dalam tragedi berkenaan.

"Saya yakin anggota ICAPP yang mewakili kerajaan, pembangkang dan parti politik bebas di rantau Asia berada dalam kedudukan terbaik untuk menyampaikan pandangan mereka berhubung pelbagai isu termasuk wilayah dan kerjasama antarabangsa antara negara Asia.

"Sejak penubuhan pada 2000, ICAPP memainkan peranan penting dalam forum hubungan pelbagai hala untuk anggotanya yang terdiri daripada pelbagai parti politik bagi mempertingkat persefahaman dan kepercayaan antara negara Asia dan rakyat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menyambut ketibaan delegasi ICAPP bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa ICAPP ke-15 dan Persidangan ICAPP mengenai Perlindungan Bencana Alam dan Alam Sekitar, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi ICAPP, Jose De Venecia dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Lebih 100 peserta membabitkan 21 negara termasuk Korea, Filipina, Australia, Jepun, China, Turki, India, Pakistan, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Kazakhstan dan Azerbaijan menghadiri persidangan selama tiga hari berakhir pada Sabtu ini.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan