Jumaat, 6 Mei 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Mahfuz: Usah samakan isu Umno-PAS bersatu dengan Fatah-Hamas

Posted: 06 May 2011 12:55 AM PDT

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata usaha mahu menyatukan parti mereka dengan Umno, komponen teras BN, tidak boleh disamakan dengan kesediaan Fatah dan Hamas untuk bersatu demi rakyat Palestin.

Kata beliau, kedua-dua Fatah dan Hamas bersatu untuk menghadapi keganasan Israel yang menjajah bumi Palestin.

"Fatah dan Hamas boleh bersatu menentang Israel, mengapa Umno dan PAS tidak dapat bersatu membela umat Melayu?

"Pertamanya, Hamas setuju untuk bersatu dengan Fatah semata-mata atas tujuan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan Israel.

" Penjajahan yang zalim, yang mencengkam kebebasan rakyat Palestin dan penjajahan yang menidakkan keadilan sejati kepada rakyat dan bumi Palestin," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Mahfuz (gambar) memberikan pendirian PAS ini ketika timbul semula isu syor penyatuan Umno-PAS, yang sebenarnya berlarutan sejak pasca-pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Dalam komen balasnya semalam, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mempertahankan kenyataannya sambil berkata, mengapa pemimpin-pemimpin PAS harus melenting apabila beliau mengatakan pihak yang menentang penyatuan Umno dan parti Islam itu sebagai pengkhianat Islam.

"Hairan kenapa ada yang melenting? Ini demokrasi? Saya cakap ikut nas al-Quran dan Hadis. Itu tugas saya," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Malah kata beliau, jika Hamas dan Fatah boleh musalahah-berdamai di Mesir pertengahan minggu ini, "kenapa tidak (PAS-Umno) di Malaysia?"

"Golongan ekstrem dalam dua parti (Umno dan PAS) mesti disekat. Malaysia sedang menuju wajah baru. Lupakan sikap lama yang buruk," katanya lagi.

Selain itu, Juanda menyifatkan Islam di Malaysia memerlukan banyak pembangunan dan PAS boleh menyumbang ke arah pembangunan tersebut.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyoal bagaimana PAS boleh bersatu dengan Umno sedangkan "Umnolah yang menjajah" bumi dan rakyat Malaysia, bertindak zalim terhadap rakyat dan bumi Malaysia, mencengkam kebebasan rakyat dan bertindak tanpa keadilan kepada rakyat dan bumi Malaysia.

Kata beliau, bagaimana boleh "kami PAS bersatu dengan golongan, yakni Umno yang mengamalkan budaya rasuah, yang mempratikkan budaya politik samseng dan mempersendakan hukum Allah s.w.t."

Kata Mahfuz, PAS akan terus memperjuangkan usaha untuk meminda perlembagaan dan undang-undang agar badan keadilan dan perundangan benar-benar bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

Begitu juga Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pendaftar Pertubuhan diletakkan di bawah pengawasan Parlimen.

"Kesimpulannya 'kembalikan 'supremacy' Parliamen yang telah dinodai oleh kerajaan Umno dan BN semenjak merdeka lagi.

"Jika Umno jujur, dia bentangkan pindaan perlembagaan dan undang-undang. Kalau Umno itu ikhlas, maka pulangkan royalti minyak kepada rakyat Kelantan dan Terengganu," katanya.

Kata Mahfuz, PAS menentang Umno bukan kerana ia Umno tetapi kerana mereka "merompak negara dan mereka (parti Umno, bukannya ahli-ahli Umno) adalah musuh nombor satu negara."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tarikh PRU-13 Najib berkait angka 11?

Posted: 06 May 2011 12:09 AM PDT

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencetuskan teka-teki bahang pilihan raya umum ke-13 dengan berkata ia mungkin diadakan pada satu tarikh atau bulan yang mempunyai nombor kegemarannya, 11.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata kesukaannya pada nombor itu menyebabkan ramai pihak meramalkan bahawa pilihan raya umum kali ini akan diadakan pada 11 November ini.

Desas-desus menyebut pilihan raya umum kemungkinan diadakan Ogos atau November ini.

Beliau berkata demikian ketika menjadi jemputan khas program pagi stesen radio Hot.fm di Sri Pentas di sini hari ini.

Ketika ditanya lanjut oleh wartawan selepas program satu jam itu, Najib (gambar) berkata tarikh itu ditimbulkan oleh pihak yang suka membuat teka-teki tarikh pilihan raya "untuk mengisi masa terluang."

"Saya rasa elok diteruskan teka-teki ini," katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Bagaimanapun, Najib menekankan perlunya untuk kerajaan BN terus bekerja melaksanakan program-program transformasi bagi menyakinkan rakyat.

"Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa, tak semestinya pada (bulan) 11 ataupun 11 hari bulan.

"Ini merupakan satu proses, selagi semboyan belum dibunyikan, kita masih buat kerja," kata Perdana Menteri.

Apabila diminta mengulas lanjut sama ada kemungkinan tarikh tersebut besar, Najib berkata: "Tarikh itu ada kaitan dengan hidup saya, tapi sama ada pilihan raya itu... Wallahhualam".

Terdahulu dalam program itu, beliau turut menjelaskan buat pertama kalinya kaitan nombor 11 pada dirinya.

Najib berkata nombor itu timbul dalam beberapa peristiwa penting dalam hidupnya.

Antaranya ialah Allahyarham ayahandanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922, ibunya Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933, hari lahir anak pertama beliau juga pada 11 haribulan, dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986) dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11.

Nombor plat kereta rasmi beliau juga bernombor 11.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen