Selasa, 12 April 2011

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Pengganti Taib sudah ada

Posted: 11 Apr 2011 02:20 PM PDT

MukaDepan

NAJIB dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri Lingga, Semoi Peri bersama pemimpin BN dan melaungkan 1Malaysia  ketika membuat tinjauan mesra di Bandar Sri Aman, semalam. - Foto Shahrizal Md Noor

NAJIB dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri Lingga, Semoi Peri bersama pemimpin BN dan melaungkan 1Malaysia ketika membuat tinjauan mesra di Bandar Sri Aman, semalam. - Foto Shahrizal Md Noor

Persefahaman umum nama ketua menteri pastikan peralihan kuasa negeri lancar: PM

SRI AMAN: Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah mencapai persefahaman berhubung calon pengganti Ketua Menteri Sarawak bagi memastikan kelancaran peralihan kuasa kepemimpinan negeri ini.

Perdana Menteri berkata, mereka akan mendedahkan nama pengganti ketua menteri itu apabila tiba masanya kelak.

"Kita sudah ada persefahaman... kita akan dedahkan (nama pengganti) apabila tiba masanya kelak, tapi peralihan kuasa tetap akan berlaku. "Kita tidak boleh terburu-buru membuat keputusan tanpa mengkaji implikasi kepada perubahan kepemimpinan itu. Ia memerlukan perancangan rapi supaya tidak ada masalah selepas itu, kerana kita tidak mahu parti dan kerajaan menghadapi masalah lain selepas itu," katanya selepas melawat Hospital Sri Aman di sini.

Beliau yang melakukan beberapa siri tinjauan mesra ke Saratok, Beladin dan Spaoh di bahagian ini semalam, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Abdul Taib ialah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Openg dan Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Ditanya sama ada tindakan pembangkang menjadikan Abdul Taib sebagai sasaran, menjadi bebanan kepada kempen Barisan Nasional (BN), Najib yang juga Pengerusi BN menafikannya.
"Tidak... kita ada hubungan baik dengan negeri. Apa yang penting kita mahu memastikan peralihan kepemimpinan di Sarawak berjalan lancar," katanya.

Mengenai kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10 pada 16 April ini, Najib berkata, Sarawak terlalu besar dan beliau tidak boleh berada di semua 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Persaingan kali ini tidak macam dulu. Ia adalah persaingan lebih hebat. BN kena tingkatkan lagi usaha. Ada kawasan masih kelabu, ada kawasan sudah bertambah baik bagi BN. Macam manapun kita kena tingkatkan lagi usaha," katanya.

Mengenai kempen DAP yang menggunakan pendekatan undi BN sama dengan undi Taib, Najib berkata rakyat Sarawak harus faham bahawa apa yang diperlukan ialah kerajaan negeri yang sama dengan Kerajaan Pusat.

"Jika kita tak ada kerajaan negeri sama dengan Pusat, ini akan menyulitkan kerja-kerja membangunkan Sarawak dan kita tahu bahawa hanya BN boleh 'deliver'.
Kita dah tunjukkan dalam masa setahun lebih kita melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sudah banyak projek luar bandar kita laksanakan di Sarawak.

"Saya berazam menyelesaikan agenda pembangunan untuk negeri ini, sebab itu kita perlukan mandat rakyat," katanya.

Sementara itu di MIRI; Abdul Taib memberi jaminan akan mengotakan janjinya untuk melaksanakan perubahan kepemimpinan negeri dan peralihan kuasa jika BN terus diberi kepercayaan memerintah.

Katanya, pendirian itu sudah lama dipegang dan sebagai pemimpin BN, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip parti yang sentiasa menunaikan janji dan tidak sesekali memungkirinya.

"Jangan cakap dulu pasal itu, kerana saya sudah ada pendirian sendiri. Jika tidak, sudah tentu saya akan terus (berterus-terang). Itu semuanya sebagai jaminan peralihan kali ini cukup licin," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Semula Taman Selera Miri di sini, petang semalam.

Sementara itu, Najib ketika mengulas tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guang Eng, yang masih memainkan isu injil dalam kempen mereka berkata, isu berkenaan sudah selesai dan tidak harus dibangkitkan lagi.

"Kita sudah runding perkara ini dengan baik dan Datuk Seri Idris Jala (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) sudah diminta melakukan rundingan, dengan setiap rundingan mendapat restu saya. Ia sudah diselesaikan dengan baik dan keputusan yang kita buat, boleh dipakai secara berterusan," katanya.

Kepada keyakinan pembangkang bahawa mereka akan menang besar dan sebab itu Perdana Menteri terpaksa kerap datang ke Sarawak, Najib berkata, setiap pilihan raya kecil pun dia datang, ini pula pilihan raya negeri dengan 71 kerusi dipertandingkan.

'Tentu sekali kehadiran saya diperlukan di sini, sebab itu saya kena peruntukan masa untuk turun ke Sarawak," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pelajar mengaku salah tumbuk guru

Posted: 11 Apr 2011 02:17 PM PDT

MukaDepan

pix_gal0
KANGAR: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua mengaku salah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana menumbuk seorang guru wanita di sekolahnya sehingga mendatangkan kecederaan dalam satu kejadian di Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, Bukit Keteri, dekat sini, Khamis lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh berusia 14 tahun di hadapan Majistret Nur Shahida Abdul Rahim pada satu prosiding di dalam kamar.

Berdasarkan pertuduhan, pelajar itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Mariati Mat Ail, 37, dengan menumbuk hidung mangsa sehingga menyebabkan tulang hidung guru wanita itu retak. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sabry mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan denda.

Nur Shahida kemudian menetapkan wang jaminan RM3,000 ke atas tertuduh, manakala 4 Mei depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman.

Mahkamah akan membuat keputusan berpandukan kepada Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengambil kira status tertuduh sebagai pesalah juvana.

Dalam kejadian Khamis lalu, seorang guru wanita cedera parah selepas tulang hidungnya dilaporkan retak akibat ditumbuk seorang pelajar Tingkatan Dua di Bukit Keteri. Kejadian berlaku selepas mangsa yang juga guru disiplin sekolah menegur pelajar terbabit yang dikatakan bergaduh di perkarangan sekolah.

Sementara itu, pertuduhan ke atas seorang warden asrama yang menyebabkan kematian Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, di sebuah sekolah agama persendirian, di sini, yang dijadual dilakukan di Mahkamah Majistret 1, di sini, semalam ditangguhkan.

Ia dibuat untuk memberi laluan kepada polis mengemas kini kertas siasatan kes terbabit yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut membenarkan tempoh tahanan reman ke atas suspek, 26, yang berakhir semalam dilanjutkan selama empat hari lagi sehingga 15 April ini.

Saiful Syazani meninggal dunia selepas tiga hari dilaporkan koma, berikutan pendarahan dalam otak atau 'hypoxic seculae' dipercayai akibat dibelasah guru lelaki terbabit kerana disyaki mencuri RM7 di asrama sekolah.

Dalam kejadian 31 Mac lalu itu, mangsa diikat kedua-dua tangan pada tingkap dan dibelasah bertalu-talu sebelum dihempas ke dinding hingga menyebabkannya mengalami pendarahan organ dalaman.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan