Khamis, 10 Mac 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Hanya pandai berjanji

Posted:

Hanya pandai berjanji

Hanya pandai berjanji

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
kota@utusan.com.my


Megat Zulkarnain Omardin (tengah) bersama pengusaha-pengusaha gerai makan yang terbakar selepas majlis penyampaian bantuan segera di Gombak, kelmarin.


GOMBAK 10 Mac – "Mereka semua hanya pandai berjanji itu dan ini tetapi selepas itu semuanya menghilangkan diri. "Akhirnya, kami juga yang terpaksa menanggung segala kerugian dan berusaha sendiri membangunkan semula perniagaan kami."

Itulah antara luahan peniaga kedai makan di Bazar Greenwood di sini yang menjadi mangsa kebakaran minggu lalu.

Dalam kebakaran pada 3 Mac lalu itu, 20 buah kedai makan di bazar itu musnah, dipercayai berpunca daripada kejadian litar pintas di salah sebuah kedai.

Pengusaha yang terlibat menganggarkan kerugian mereka bernilai sekitar RM15,000.

Kebakaran yang bermula kira-kira 9.40 malam itu turut merosakkan enam kedai makan lain.

Salah seorang mangsa, Wan Rahim Wan Ahmad, 53, berkata, setakat ini, belum ada makluman mengenai bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan negeri kepada dia dan rakan-rakannya.

Pengusaha kedai nasi ayam itu berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali dan Ahli Parlimen Gombak Setia, Azmin Ali telah datang pada sebelah siang hari kebakaran dan berjanji akan memberikan bantuan segera termasuk menyediakan tapak kedai sementara.

"Namun sehingga kini, kami tidak mendapat sebarang makluman baru. Pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pun tiada datang untuk memaklumkan apa-apa.

"Saya minta ADUN dan Ahli Parlimen kawasan ini agar menyegerakan bantuan seperti tapak berniaga sementara dan mungkin sedikit bantuan modal," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bantuan segera daripada Kerajaan Pusat yang disampaikan oleh Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Gombak, Megat Zulkarnain Omardin di tapak gerai yang terbakar itu semalam.

Wan Rahim turut kesal kerana laporan anak lelakinya kepada balai bomba dan penyelamat paling hampir iaitu di Taman Koperasi Polis tidak mendapat bantuan segera.

"Mereka memberitahu balai itu di luar kawasan Selangor, mereka berada di dalam kawasan Kuala Lumpur.

"Sepatutnya dalam keadaan kecemasan mereka seharusnya membantu tanpa mengambil kira perkara-perkara birokrasi seperti itu. Kalau mereka datang, mungkin tidak banyak kedai yang musnah," ujarnya dengan nada terkilan.

Zaliha Mohamed, 51, yang telah berniaga nasi ayam selama 13 tahun di situ berkata, Hasan telah meminta mereka menyenaraikan kerugian dan berjanji akan menyegerakan bantuan termasuk memberikan tapak sementara, tetapi sehingga kini tiada makluman lanjut.

"Dalam mesyuarat kami dengan MPS pada Jumaat lalu, kami diberitahu kedai sementara akan mula dibina di Taman Berlian pada hari Isnin... tetapi hingga hari ini tidak nampak kerja-kerja dilakukan," dakwanya.

Kawasan tapak yang dijanjikan hanya berada di seberang jalan kawasan kedai makan yang terbakar itu.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, MPS perlu mengambil serius masalah yang dihadapi peniaga-peniaga itu dengan segera menunaikan janji dan menghulurkan bantuan.

"Pihak kami memberikan MPS tempoh satu dua hari lagi. Jika tiada apa-apa bantuan juga, kami akan bertemu mereka untuk membuat desakan kerana ini melibatkan rakyat yang mesti didahulukan.

"Apabila berlaku bencana, rakyat tak boleh tunggu. Kepada wakil rakyat kawasan ini begitu juga, jangan hanya pandai berjanji," tegasnya.

Mengenai bantuan yang disampaikan, beliau berkata, ia bertujuan meringankan sedikit beban peniaga dan juga janji Barisan Nasional pada malam kejadian itu.

"Kami turut memberi bantuan sebanyak RM300 seorang kepada enam pemilik kedai lain yang turut terjejas ," katanya.

Mengenai pembangunan semula kedai yang terbakar, beliau berkata, ia di bawah kuasa kerajaan negeri dan pihaknya hanya boleh mendesak pihak yang berkenaan agar mempercepatkan bantuan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Fikirkan masa depan keluarga

Posted:

Fikirkan masa depan keluarga

Fikirkan masa depan keluarga

Oleh Roslah Othman
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Mac - Baki 39 keluarga di Ladang Bukit Jalil (LBJ) yang masih enggan berpindah diminta melihat sendiri kehidupan yang kini dinikmati oleh 71 keluarga bekas penduduk ladang itu yang kini menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah di Puchong.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M.Saravanan berkata, sejak berpindah ke PPR berkenaan hampir lima tahun lalu, mereka mengakui kehidupan mereka kini lebih selesa.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa masalah terhadap kemudahan awam di PPR tersebut tetapi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa memastikan ia dibaiki segera.

"Sudah tiba masanya mereka (penduduk LBJ) memikirkan masa depan mereka dan anak-anak dengan menerima tawaran yang dibuat," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan 71 keluarga bekas pekerja LBJ di PPR Muhibbah di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL, Sukiman Surahman.

Saravanan berkata, nilai pampasan berjumlah RM922,088 yang ditawarkan kepada 116 bekas pekerja ladang berkenaan juga amat berpatutan dan sepadan dengan perkhidmatan mereka di ladang itu.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan penduduk terbabit bahawa tanah tapak ladang berkenaan bukan akan dibangunkan dengan projek mega tetapi dijadikan tanah perkuburan.

"Saya kurang pasti kenapa pihak-pihak tertentu cuba memanipulasi perkara ini termasuk menggunakan media sedangkan kerajaan berusaha menyelesaikan masalah itu secara berhemah, adil dan saksama," katanya,

Mengenai dakwaan peguam penduduk bahawa notis pindah yang dihantar oleh DBKL bertarikh 1 Mac lalu sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Akta Relif Spesifik 1950, beliau berkata, masih banyak lagi akta yang boleh digunakan termasuk Akta Bangunan.

Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian telah melantik peguam bagi melihat perkara tersebut.

Sementara itu, salah seorang bekas pekerja ladang, P.Suppu Lethumy, 62, berkata, dia gembira kerana sejak berpindah ke PPR Muhhibah kerana kehidupannya kini lebih baik.

Dia yang berasal dari Perak itu mula bekerja di ladang berkenaan sejak awal tahun 70-an.

K. Hemalatha, 29, yang merupakan generasi ketiga pula menganggap tawaran yang diberikan oleh kerajaan itu benar-benar menggembirakan.

Katanya, sejak diarahkan berpindah, dia tidak tinggal bersama ibu bapanya, sebaliknya turut ditawarkan rumah lain di kawasan sama.

"Ia benar-benar selesa berbanding dahulu dan suasana di sini juga ceria," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Balai polis terap konsep balai raya awam

Posted:

Balai polis terap konsep balai raya awam

Balai polis terap konsep balai raya awam

KLANG 10 Mac - Polis Selangor akan menerapkan konsep 'balai raya awam' di setiap balai polis bagi menggalakkan perbincangan serta pertemuan dengan masyarakat dalam usaha membanteras jenayah di kawasan komuniti masing- masing.

Ketua Polis Negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (gambar) berkata, konsep itu dilaksanakan kerana selama ini orang ramai hanya mengunjungi balai polis untuk membuat laporan.

Sedangkan, katanya, balai polis, balai komuniti dan pondok polis mempunyai peranan lebih luas iaitu turut berfungsi mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

"Sekiranya tiada bilik khas di pondok- pondok polis untuk mengadakan perbincangan atau pertemuan, masyarakat boleh menjemput kami mengadakan perbincangan di kawasan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pondok Polis Bandar Parkland bernilai RM1.5 juta di Bukit Tinggi, di sini baru-baru ini.

Balai berkenaan merupakan sumbangan syarikat pemaju perumahan di Bandar Bukit Tinggi, WCT Land Sdn. Bhd. (WCT) dan dijangka siap pada 2013.

Pembinaan balai polis itu merupakan hasil usaha WCT bagi membantu meningkatkan keupayaan dan kecekapan polis dalam memerangi serta mencegah jenayah di kawasan berkenaan yang mempunyai 4,000 unit kediaman.

Tun Hisan memberitahu, konsep balai polis sebagai balai raya awam diyakini akan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap polis.

Dalam pada itu, beliau memuji langkah WCT menyediakan sebuah bilik mesyuarat khas di Pondok Polis Bandar Parkland bagi kegunaan awam dan berharap langkah tersebut turut diikuti pemaju-pemaju lain.

Ketika ini, Selangor mempunyai sebuah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (14 buah), balai polis (77 buah), balai komuniti (57 buah) dan pondok polis (44 buah).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan