Selasa, 21 Disember 2010

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Mansor akui serangan Umno-BN jejas sokongan Melayu Pulau Pinang

Posted: 21 Dec 2010 01:28 AM PST

GEORGE TOWN, 21 Dis – Pakatan Rakyat (PR) mengakui perikatan tiga parti itu berhadapan dengan kemerosotan sokongan orang Melayu berbanding situasi dua tahun lalu, ekoran serangan bertubi-tubi Umno-Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan bandar, kata Datuk Mansor Othman.

Menurut timbalan ketua menteri itu (gambar), serangan berterusan media dikuasai Umno khususnya Utusan Malaysia telah mengalih aliran sokongan daripada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng, yang menguasai 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Baki 11 kerusi dipegang oleh Umno.

Mengambil kira persekitaran itu kata beliau, pihaknya sedang memfokus usaha peringkat kedua untuk memperbaiki keadaan menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Sokongan orang Melayu menurun, ada kajian bebas dikendalikan beberapa ketika dulu, yang menunjukkan sokongan pengundi Melayu di Pulau Pinang menurun, dijalankan oleh Merdeka Center... bagi saya, ia kesan serangan berterusan, diserang oleh media, media arus perdana.

"Jika anda berbohong sekali, dua kali orang tidak akan percaya anda.

"Tetapi jika anda berbohong 20 kali, mereka akan terpengaruh," kata Mansor dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider di sini baru-baru ini.

Timbalan ketua menteri dari PKR ini menyenaraikan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri yang memperlihatrkan peralihan signifikan dalam sokongan orang Melayu, yang kembali kepada Umno.

Antaranya ialah Seberang Jaya dan Bayan Lepas, yang kedua-duanya dimenangi Umno.

Kerusi DUN Seberang Jaya terletak dalam bahagian Parlimen, yang wakilnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini adalah kerusi-kerusi Umno yang kami bimbang kerana ini adalah kerusi yang PKR bertanding.

"Saya bimbang dengan kerusi-kerusi (yang diperuntukkan) kepada PKR dan PAS, bukannya kerusi ditanding DAP.

"(Pun begitu) kerusi-kerusi (ditandingi) DAP juga perlu diberi perhatian, misalnya Sungai Pinang, yang majoritnya orang Melayu," kata Mansor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.

Daripada 29 kerusi dipegang oleh Pakatan Rakyat, DAP menguasai 19 manakala PKR sembilan dan PAS satu.

Mansor yang bulan lalu dipilih sebagai naib presiden PKR berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak risau sangat mengenai sokongan pengundi Melayu di kawasan luar bandar, yang lazimnya merupakan penyokong tradisi Umno.

"Kali ini kami perlu menangani isu perkauman, isu perkauman yang dimainkan (secara besar-besaran), ia sangat bahaya di sini... di Pulau Pinang khususnya apabila mereka memainkan elemen tiga 'R' iaitu kaum, agama dan raja ('race, religion and raja').

"Kami risau mengenai sokongan pengundi (Melayu) bandar beralih kepada Melayu, selepas datang kepada kami pada 2008. Kini sokongan kelihatan beralih semula (kepada mereka)," katanya lagi.

Semalam, sehari selepas Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di Kepala Batas, Pulau Pinang, Utusan Malaysia memberi liputan besar-besaran kepada pemimpin-pemimpin Umno, yang antara lain memanggil DAP sebagai "raja perkauman."

Dalam serangan terbaru itu, akhbar tersebut menyenaraikan rencana bertajuk "Kebiadapan Guan Eng" dengan menyenaraikan tindakan-tindakan mendakwa antiorang Melayu.

Lim dalam responsnya berkata akan menyaman Utusan Malaysia selepas ia kelmarin menyifatkan DAP sebagai alat kerajaan asing dan meminta parti itu diharamkan.

Ekoran perkembangan itu, Mansor memberitahu The Malaysian Insider bahawa Pakatan Rakyat perlu menangani siri pembohongan dan kerajaan negeri akan memfokus pada skim atau program yang akan memanfaatkan masyarakat Melayu.

"Apa yang kami perlu lakukan ialah bukan saja menyangkal pembohongan-pembohongan ini, tetapi juga memfokus pada usaha-usaha kami. Projek pembaharuan bandar, memfokus ke atas kawasan-kawasan setinggan tanpa mengira kaum, tetapi memberi fokus lebih ke atas kawasan-kawasan bandar, yang didiami orang Melayu... ada kawasan-kawasan penempatan orang Melayu di bandar seperti Tanjong Tokong, dan Bukit Jelutong.

"Kami harus memberi lebih fokus untuk mengatasi isu-isu ini, perlu diadakan skim perumahan mampu dimiliki.

"Kami telah membuktikan bahawa kami ada kerajaan yang baik (berbanding kerajaan negeri sebelum 2008 pimpinan BN), tetapi ia tidak cukup. Perlu ada projek pembangunan fizikal untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kami memang melakukan sesuatu, beberapa projek pendidikan yang konkrit, pelancongan," kata beliau.

Mansor juga menolak serangan Utusan Malaysia ke atas Lim dan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan menyifatkannya sebagai tindakan tidak logik dan bermotifkan "politik semata-mata."

"Apabila kami membuka tender, kami telah mendedahkan bahawa kesemua projek JPS bagi tahun 2010, seratus peratus diberikan kepada orang Melayu... di JKR, 98 peratus projek diberikan kepada orang Melayu.

"Kami telah menunjukkan orang Melayu juga berdaya saing. Jika mereka tidak boleh berdaya saing, bagaimana mereka boleh memperoleh tender-tender ini? Jadi, mereka menggunakan soal perkauman," kata Mansor.

Sehubungan itu, Mansor menekankan, kerajaan negeri perlu mempertingkatkan usaha untuk menangani isu-isu yang dibangktikan supaya dapat dikawal menjelang pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun kata beliau, ini kali pertama kerajaan negeri, khususnya di bawah Pakatan Rakyat, ada inisiatif untuk membantu orang Melayu.

Katanya, pada masa-masa lalu projek seumpama itu datang daripada kerajaan persekutuan seperti menerusi agensi Perda dan Jabatan Kemajuan Persekutuan.

"Tetapi apa yang hendak saya katakan ialah ada inisiatif (oleh kerajaan negeri semasa). Kerajaan negeri masa lalu tiada inisiatif, tetapi kami (kerajaan negeri Pakatan) lakukan," kata beliau.

Kerajaan negeri Pulau Pinang menjanjikan kakitangan awam akan diberikan ganjaran lebih baik sekiranya mereka memperbaiki prestasi mereka.

Baru-baru ini kerajaan negeri mengumumkan bayaran imbuhan tambahan, lebih baik berbanding kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bayaran khas Maal Hijrah sebanyak RM100 kepada semua 1,376 guru Kelas Agama Fardu Ain sempena perayaan Maal Hijrah dan bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri.

Penerimaan RM800 oleh anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang adalah melebihi RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam persekutuan.

Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pianng telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Guan Eng nafi pertikai taraf kerakyatan sesiapa

Posted: 21 Dec 2010 01:21 AM PST

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak pernah mempersoalkan atau mempertikaikan taraf kewarganegaraan mana-mana rakyat negara ini, kata pegawainya hari ini.

Sehubungan itu setiausaha akhbarnya Cheong Yin Fan menyifatkan tindakan Utusan Malaysia dan pemimpin Umno yang memutarbelitkan perkara itu sebagai jahat dengan niat menabur fitnah.

"Jelas, Utusan Malaysia dan pemimpin Umno Pulau Pinang seperti Dr Novandri Hasan Bari sekali lagi bertindak jahat menabur fitnah dengan menggembar-gemburkan kononnya Ketua Menteri mahu kerakyatan warga Malaysia dipersoalkan.

"Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri, rakyat Malaysia  yang sebenarnya adalah rakyat biasa yang pentingkan hak ekonomi dan masa depan agar kehidupan mereka bukan sahaja lebih senang tetapi masa depan untuk anak-anak adalah lebih cerah dan baik. Rakyat Malaysia sebenar mahukan sebuah masayarkat aman, tenteram dan penyayang serta menyokong prinsip keadilan, kebenaran, kebebasan, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan.

"Yang bukan rakyat Malaysia sebenar adalah yang hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman eskstrimis baik aspek kaum, jantina mahupun agama, yang tamak haloba di mana demi godaan wang rasuah atau yang lain rela menjualkan segala-galanya serta kaki fitnah dan tohmah. Yang kesemua ini bukan rakyat Malaysia sebenar, mereka ini Malaysia Celup atau 'pseudo-Malaysians'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cheong turut mengemukakan salinan ucapan Lim yang juga Setiausaha Agung DAP ketika Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala Batas kelmarin.

Cheong juga menyarankan supaya teks ucapan bertajuk "Kerajaan Berjiwa Rakyat Untuk Rakyat Malaysia Sebenar" itu dibaca oleh pihak-pihak berkenaan.

Antara intipati ucapan Lim adalah:

"Akan tetapi Program 100 Hari bukanlah untuk semua orang. Bukan untuk orang yang menentang konsep kerajaan berjiwa rakyat, melawan martabatkan rakyat dan memusuhi ketuanan rakyat. Program 100 Hari ini adalah untuk rakyat Malaysia sebenar, tulin dan watan – 'the real Malaysians'.

"Siapa rakyat Malaysia sebenar ini yang sering dilupakan oleh media massa dan kerajaan BN? Sebelum mengenal pasti mereka, kita harus dulu menyatakan siapa yang bukan Malaysia sebenarnya. 'Who are not the real Malaysians'?

"Saya ingin mula dengan mereka yang hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman eskstrimis baik aspek kaum, jantina mahupun agama.

"Golongan yang hanya tahu mendiskriminasi, menganiayai dan merendahkan orang lain malah meraikan peristiwa berdarah 13 Mei bukanlah rakyat Malaysia sebenar.

"Kebanyakan mereka pendokong dan peminat Utusan Malaysia dan BN yang hanya peralatkan isu 3R ('race, religion dan raja').

"Satu lagi gologan ialah yang bukan "real Malaysians" adalah yang tamak haloba di mana demi godaan wang rasuah atau yang lain rela menjual segala-galanya.

"Tambah pula kaki fitnah dan tohmah, golongan mata duitan, materialisme dan penipu ini bukan juga rakyat Malaysia sebenar. Kita tidak boleh pertimbangkan suatu lagi golongan yang hanya mahu syok sendiri atau suka tunjuk pandai. Kalau tak diberikan tempat atau ikut nafsu jahat mereka, maka mereka akan lompat atau belah sahaja.

"Yang kesemua ini bukan rakyat Malaysia sebenar, mereka ini Malaysia Celup atau 'pseudo-Malaysians'.

"Rakyat Malaysia yang sebenarnya adalah rakyat biasa yang pentingkan hak ekonomi dan masa depan agar kehidupan mereka bukan sahaja lebih senang tetapi masa depan untuk anak-anak adalah lebih cerah dan baik. Inilah rakyat Malaysia sebenar yang kita di PR harus tumpukan.

"Saya percaya rakyat Malaysia sebenar mahukan sebuah masayarkat aman, tenteram dan penyayang serta menyokong prinsip keadilan, kebenaran, kebebasan, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan. PR harus fokuskan perhatian dan usaha gigih kita ke atas golongan pertengahan ini yang merupakan majoriti terbesar dan sering dilupai oleh media massa dan BN.

"Rakyat Malaysia sebenar mahukan keadilan dan kedaulatan undang-undang agar kita dilayani secara sama rata. Yang mereka akan lebih sanjung bukanlah pemimpin individu yang berwibawa tetapi sistem yang berkesan. Sistem yang membolehkan sesiapa yang ingin jalankan urusan kerajaan boleh lakukannya tanpa menerusi pihak ketiga atau kenal orang tengah, hanya kenal undang-undang dah cukup – itulah sistem kedaulatan undang-undang yang rakyat Malaysia sebenar mahukan.

"Rakyat Malaysia sebenar mahukan kebenaran supaya masyarakat dan anak-anak kita tidak akan hancur. Dalam agama Islam pun dinyatakan fitnah adalah lebih dasyat daripada bunuh, takkan lagi nak percaya Satu Malaysia yang bertopengkan One Israel dan Tipu Malaysia.

 "Rakyat Malaysia sebenar mahukan kebebasan, kebebasan daripada penyalahgunaan kuasa yang rakus, amalan rasuah dan ancaman atau kebebasan daripada ketakutan. Hanya dengan kebebasan hak asasi manusia baru kita boleh mendapat peluang sama rata untuk merealisasikan potensi modal insan.

"Rakyat Malaysia sebenar mahukan kebajikan sebenar agar golongan daif, asnaf, miskin, kurang upaya dan lemah dapat terus dibela. Kemiskinan akan dilawan berhabis-habisan supaya semua dapat kecapi hasil kejayaan ekonomi.

"Rakyat Malaysia juga hendak bertakwa kepada Tuhan agar kita menjadi insan baik yang takut kepada Tuhan dan bukan taksub kepada pemimpin dan isteri mereka," katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Chong berkata Lim menyaman akhbar Utusan Malaysia kerana didakwa mengeluarkan fitnah dan tohmahan ke atasnya dalam laporan berita yang dikeluarkan.

Cheong mendakwa akhbar milik Umno itu banyak memfitnah Lim, seperti dalam isu perarakan Maulud Nabi, perobohan kampung Melayu dan pasar Ramadan Komtar.

"Oleh kerana Utusan tidak memberikan hak menjawab kepada ketua menteri, maka tidak ada pilihan lain kecuali untuk memfailkan saman malu di mahkamah demi kebenaran dan keadilan," kata Cheong.

Menurutnya, saman itu akan diuruskan oleh firma guaman Karpal Singh & co.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan pihak tertentu agar tidak mempertikaikan taraf kewarganegaraan mana-mana rakyat negara ini tidak kira sama ada mereka adalah penyokong Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya.

Beliau berkata semua rakyat dalam negara ini harus tahu menjaga sensitivti dan isu kewarganegaraan tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan permainan.

"Siapa kita untuk tentukan semua ini? Permainkan isu warganegara ini adalah tidak wajar sama sekali dan ini harus dihentikan," katanya di Balik Pulau.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan