Jumaat, 7 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Kedah jamin urus kewangan berhemah

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 6 Jun - Kerajaan negeri akan mengamalkan pendekatan berhemah dalam menguruskan kewangannya tanpa menjejaskan tanggungjawab untuk membangunkan Kedah dan meningkatkan kehidupan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, setiap wang yang dibelanjakan mesti memberi pulangan ekonomi kepada rakyat dan negeri ini semula ketika usaha menjayakan segala rancangan transformasi dilaksanakan kelak.

Katanya, beliau tidak mahu kerajaan negeri sekadar berbelanja umpama mencurah air ke daun keladi sebaliknya perbelanjaan negeri mesti mempunyai keberhasilan tinggi kepada rakyat sekali gus menyumbang ke arah penjanaan pendapatan negeri.

"Oleh itu kerajaan negeri sangat-sangat berhemah untuk menguruskan kewangannya. Seperti sedia maklum, Kedah tidak mempunyai sumber pendapatan yang terlalu besar namun kita mempunyai cita-cita tinggi untuk membangunkan negeri.

"Kesemua perbelanjaan, setiap ringgit yang dikeluarkan mesti menjana hasil," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah yang baharu di Istana Anak Bukit di sini semalam.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali dilantik sebagai SUK Kedah yang baharu berkuat kuasa Jumaat ini menggantikan Datuk Rasli Basir yang bersara manakala Timbalan SUK (Pembangunan), Datuk Khazali Din mengisi jawatan dikosongkan itu.

Majlis pengurniaan tauliah pelantikan kedua-dua jawatan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Yang berangkat sama ialah Tunku Temenggung Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Mukhriz berkata, dalam menguruskan kewangan, amat penting menetapkan setiap program atau projek yang hendak dilaksanakan berbaloi dan memberi manfaat secara menyeluruh dan bukannya menambah beban negeri.

Beliau memberi contoh pembinaan kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil bernilai RM330 juta yang semasa zaman pentadbiran kerajaan Pas Kedah tidak menjana pendapatan kepada negeri malah terpaksa pula membayar hutang sebanyak RM46 juta setahun.

"Itu bukan jenis pelaburan yang hendak kita buat," tegas beliau.

Menurut Mukhriz, dalam usaha melaksanakan beberapa program dan projek pembangunan untuk manfaat rakyat, kerajaan negeri akan mendapatkan bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan pada peringkat awal sebelum mereka boleh berdiri sendiri.

Katanya, hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat sangat penting jika ingin melihat segala perancangan yang diatur berjalan lancar dan berjaya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai projek yang dirancang kerajaan negeri pada masa ini kerana dalam proses perbincangan dan perlu penelitian di peringkat negeri terlebih dahulu.

"Dalam jangka masa pertengahan dan panjang, saya melihat penglibatan Kerajaan Persekutuan sangat penting tetapi kita tidak akan bergantung sampai bila-bila dengan sokongan atau bantuan kewangan daripada mereka.

"Cuma di peringkat awal sahaja dengan tujuan akhirnya kerajaan negeri dapat berdiri sendiri dan menjana pendapatan yang berpanjangan," ujar beliau.

Mengenai pelantikan Mohd. Puat dan Khazali, Mukhriz yakin mereka dapat membantu kerajaan negeri dalam usaha menjayakan pelbagai rancangan transformasi di negeri ini.

Hindraf gesa kerajaan negeri percepat kelulusan tanah

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

P. Parameswari (kiri) menerima memorandum untuk pembangunan Sekolah Tamil Batu Kawan daripada A. Govindasamy (tengah) sambil diperhatikan K. Kalayselvam (dua, kiri) di Komtar, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 6 Jun - Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) negeri dan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Sekolah Tamil Batu Kawan menggesa kerajaan negeri menyegerakan kelulusan tambahan tanah bagi pembangunan sebuah sekolah tamil di Batu Kawan dekat sini.

Pengerusi Hindraf negeri, K. Kalayselvam berkata, kelulusan itu perlu disegerakan supaya projek pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Kawan dapat dimulakan demi keselesaan murid-muridnya.

"Kita tidak faham mengapa Ketua Menteri, Lim Guan Eng terus berdiam diri dan tidak mahu berjumpa serta berbincang dengan kami sedangkan kelulusan tanah ini amat diperlukan.

"Sebelum ini, kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) meluluskan tanah seluas 0.80 hektar berhadapan Stadium Negeri Batu Kawan untuk membangunkan semula SJKT Ladang Batu Kawan yang terbakar, namun tapak berkenaan tidak mencukupi untuk pembinaan infrastruktur tambahan seperti padang dan dewan sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar memorandum ketiga kepada Ketua Menteri di Pejabat Kerajaan Negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, memorandum berkenaan hanya diterima wakil Pejabat Ketua Menteri, P. Paramesrawi.

Beliau dalam pada itu menambah, pihaknya kesal dan kecewa dengan sikap Guan Eng yang terus berdiam diri walaupun Hindraf sebelum ini menghantar dua memorandum sama pada November 2010 dan Januari 2011.

"Kami berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan pemberian kelulusan tanah tambahan seluas seluas 1.21 hektar yang terletak bersebelahan tapak baharu sekolah ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bertindak Ibu Bapa Sekolah Tamil Batu Kawan, A. Govindasamy berkata, kerja-kerja menaik taraf sekolah berkenaan sudah bermula kira-kira 30 peratus dan kerajaan negeri tidak boleh berlengah memberi kelulusan tanah tambahan yang diminta.

"Kita bimbang perkara ini jika dilengahkan memberi kesan kepada pembelajaran murid kerana mereka terpaksa belajar dengan keadaan kurang selesa akibat infrastruktur yang tidak memuaskan," katanya.

161 usahawan sertai Kursus Transformasi Minda

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

SEBAHAGIAN daripada peserta siap sedia untuk melafaz ikrar mematuhi prinsip perniagaan sempena Kursus Transformasi Minda 2013 di Sungai Petani, baru-baru ini.

SUNGAI PETANI 6 Jun - Sebanyak 161 usahawan dari Perak menyertai Kursus Transformasi Minda 2013 selama enam hari di Hotel Emerald Puteri Taman Sejati, di sini baru-baru ini.

Kursus itu dianjurkan Persatuan Profesional Melayu Malaysia (PPMM) Petaling Jaya, Selangor bagi memantapkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan ibu tunggal, remaja, belia dan usahawan bumiputera.

Pengarah program itu, Mohamad Khomizal Ismail berkata, perniagaan mereka akan bertambah baik jika setiap peserta mempunyai ilmu bagi mengurus dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

"Apa yang kita harap mereka tidak akan lagi terpinggir atau terus berada dalam kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas kursus itu.

Peserta, Zainal Salleh, 45, dari Rapat Setia Ipoh, berkata, dia gembira kerana pihak berkenaan memilihnya bagi mengikuti kursus itu.

"Ceramah diberikan boleh dijadikan panduan memajukan diri dan perbincangan sesama rakan juga boleh membaiki perniagaan yang dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, selepas mengikuti ceramah, timbul semangat baharu untuk membaiki bidang perniagaan yang bakal diuruskan nanti.

Peserta, Anis Safiena Amran, 24, dari Pengkalan, Ipoh berkata, dia gembira kerana pihak kerajaan sanggup memberi pelbagai peralatan niaga kepadanya berjumlah hampir RM5,000 selepas ini.

"Saya yakin bidang perniagaan seperti membuat biskut dan kek akan mendapat sambutan baik mulai Jun ini," katanya.

Menurutnya, ketika ini tidak mudah bagi sesiapa sahaja mendapat bantuan perniagaan sebanyak itu daripada kerajaan.

Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Kemiskinan Bandar Kementerian Wilayah Persekutuan, Adi Azlan Ahmad Othman ketika berucap menutup kursus itu berkata, program itu akan diperluas kepada usahawan dari negeri ini Jun ini.

''Saya harap mereka dapat buka minda jika ingin berjaya dalam bidang perniagaan, jika orang lain berjaya melakukannya, kita juga boleh berbuat demikian," katanya.

Menurutnya, hanya mereka yang cekal hati dan bersemangat tinggi sahaja berupaya berjaya dalam bidang perniagaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan