Rabu, 5 Jun 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


RM52 juta disalur ke Sik

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

SIK 4 Jun - Kerajaan negeri melaksanakan tiga projek pembinaan infrastruktur bernilai lebih RM52 juta bagi menaik taraf kemudahan asas di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, projek pertama adalah pembinaan jalan pintas yang menghubungkan Kampung Merbau Kudung Batu 5 ke Felda Teloi Timur.

Apabila siap kelak tambahnya, jalan pintas itu akan memendekkan jarak perjalanan kepada sembilan kilometer berbanding 31 kilometer ketika ini.

"Projek ini menelan belanja RM49.7 juta dan kerja pembinaan telah dimulakan Ogos tahun lalu dan dijangka siap pada Januari 2014," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Sik di sini semalam.

Mohd. Tajudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek berkata, projek kedua adalah membaik pulih semula bekalan air Kampung Keda Sungai Senan yang telah siap dan akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir tidak lama lagi.

Menurutnya, projek tersebut bagi mengatasi krisis kekurangan bekalan air bersih dan masalah tekanan air rendah di rumah-rumah penduduk yang terletak di kawasan berbukit.

Katanya, projek ketiga adalah pembinaan semula jambatan sempit Kampung Charuk Tenang bernilai RM3.5 juta yang kini hampir siap.

Laluan jambatan yang dibina sejak 1960-an itu, kata beliau, akan ditambah daripada satu lorong kepada dua lorong untuk keselesaan pengguna jalan raya.

Justeru Mohd. Tajudin berkata, kesemua projek tersebut diharap dapat membantu mencapai sasaran menjadikan daerah Sik sebagai kawasan industri asas tani dan juga pusat agro pelancongan utama di utara tanah air.

"Pelbagai projek naik taraf kemudahan asas yang dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini kepada rakyat Sik telah menunjukkan perkembangan positif dan bakal dinikmati dalam masa terdekat," katanya.

Tiga hospital baharu dibina di Perak

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

RAJA Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim beramah mesra dengan kakitangan Jabatan Kesihatan selepas majlis perasmian Klinik Kesihatan Teluk Intan di Teluk Intan, Perak, semalam. - BERNAMA

TELUK INTAN 4 Jun - Penduduk di sekitar Parit Buntar, Kampar dan Seri Iskandar bakal mendapat perkhidmatan kesihatan lebih baik selepas tiga buah hospital baharu yang dirancang dibina di tiga kawasan tersebut dijangka siap dalam tempoh empat atau lima tahun lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pembinaan Hospital Parit Buntar dijangka menelan kos sebanyak RM150 juta, Kampar (RM120 juta) manakala kos pembinaan Hospital Bandar Seri Iskandar masih dalam proses penilaian.

"Isu peralihan tanah untuk ketiga-tiga hospital ini sudah diselesaikan. Kita sekarang dalam usaha untuk lihat proses-proses lain.

"Kalau semua memberikan peluang, kita boleh meneruskan proses dan saya ingat mungkin dalam empat atau lima tahun, kita akan dapat siapkan ketiga-tiga hospital baharu dalam bandar-bandar tersebut," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas hadir menyaksikan Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Teluk Intan yang disempurnakan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di sini hari ini.

Yang turut berangkat sama, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Menurut Subramaniam, usaha itu selaras komitmen kerajaan meningkatkan taraf kemudahan kesihatan di negara ini bagi membolehkan orang ramai mendapat manfaat perkhidmatan kesihatan terbaik.

"Kita mahu meningkatkan taraf kemudahan kesihatan dalam negara agar setanding dengan taraf perkhidmatan kesihatan antarabangsa. Kita kini sudah menghampiri matlamat itu," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi membina blok baharu untuk menempatkan Unit Kesihatan Ibu Mengandung dan Kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Katanya, langkah itu bertujuan memberi kemudahan perkhidmatan tambahan untuk kesihatan ibu mengandung dan kanak-kanak.

"Proses perolehan dijangka dimulakan dalam masa terdekat dan projek itu dijangka siap dalam tempoh antara empat dan lima tahun dari sekarang," katanya.

Ketiadaan wakil MCA tidak jejas MBI - Datuk Bandar Ipoh

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

IPOH 4 Jun - Ketidakhadiran lapan ahli Majlis Bandaraya Ipoh yang mewakili MCA dalam mesyuarat penuh bulanan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu semalam mencetuskan tanda tanya memandangkan mereka tidak menghantar borang cuti atau surat peletakan jawatan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim (gambar) berkata, pihaknya menjemput semua ahli majlis menghadiri mesyuarat penuh itu yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 namun terpulang kepada mereka untuk hadir atau tidak.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, ketiadaan wakil parti itu tidak menjejaskan jawatankuasa yang diwakili ahli majlis berkenaan.

"Sehingga kini tidak ada arahan berhubung status ahli majlis ini daripada kerajaan negeri dan mereka juga tidak menghantar surat bercuti atau peletakan jawatan.

"Oleh itu, MBI masih menganggap mereka sebagai ahli majlis dan setiap kali mesyuarat, kita akan menjemput mereka sehingga tempoh pelantikan berakhir 31 Disember ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MBI di sini semalam.

Roshidi berkata, walaupun ketidakhadiran ahli majlis MCA itu tidak memberi masalah kepada MBI namun ketiadaan mereka sedikit sebanyak menyukarkan PBT tersebut mendapat input berhubung masalah masyarakat Cina.

"Memang kita tidak ada masalah, cuma kita tidak akan mendapat pandangan menyeluruh daripada masyarakat Cina. Walaupun ada wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun pandangan orang politik mungkin berbeza," katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan kelancaran jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil MCA pihaknya memutuskan menempatkan ahli majlis lain dalam jawatankuasa berkenaan.

Namun, katanya, langkah itu tidak bermakna ahli majlis terlibat disingkirkan sebaliknya MBI menambah bilangan ahli sedia ada terdiri daripada wakil UMNO, Gerakan, Parti Progresif Penduduk (PPP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Sekarang kita mempunyai 11 jawatankuasa dan tempat-tempat ini akan ditambah ahli majlis yang ada sekarang. Ini bermakna mereka akan memikul tugas yang lebih.

"Tetapi ini hanya untuk sementara waktu dan sebarang keputusan akan diputuskan dalam masa terdekat," katanya.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan kelancaran jawatankuasa tersebut tidak terbantut dan pembangunan MBI tidak terhalang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan