Jumaat, 7 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Kemelut 420 nelayan bakal diatasi

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Hasan Rahman (tengah) bersama beberapa nelayan meninjau kawasan menangkap ikan yang terjejas akibat kapal-kapal berlabuh di perairan Selat Melaka sekitar Klebang hingga ke Tanjung Kling, Melaka, semalam.

MELAKA 6 Jun - Kemelut 420 nelayan yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat kawasan menangkap ikan diganggu kapal-kapal berlabuh di perairan Selat Melaka antara Klebang dan Tanjung Kling akan diatasi tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, sebuah Jawatankuasa Menangani Isu-Isu Nelayan telah ditubuhkan bagi mengatasi masalah tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa itu dianggotai agensi berkaitan seperti Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka, Jabatan Laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan.

''Kerajaan negeri menerima banyak rungutan daripada nelayan terbabit di Kampung Hailam, Balik Bukit dan Tanjung Kling kerana kapal-kapal berlabuh terlalu dekat dengan pantai.

''Ini menyebabkan nelayan pesisir pantai tidak dapat melabuhkan jaring dan kadang kala jaring mereka dilanggar kapal yang berlabuh," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan nelayan di sekitar Tanjung Kling di sini hari ini.

Menurus Hasan, rungutan nelayan akan dibincangkan melalui jawatankuasa ditubuhkan bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan kemelut yang berlaku sejak sekian lama tersebut.

Pada dasarnya, kata beliau, cadangan akan dikemukakan kepada Jabatan Laut untuk meminta semua kapal di perairan Selat Melaka berlabuh pada jarak lima batu nautika dari pantai.

Mengenai projek pembinaan terminal gas asli cecair (LNG) pertama Malaysia di Sungai Udang yang turut dikaitkan menjejaskan pendapatan nelayan, Hasan berkata, nelayan perlu akur dengan arahan pihak berkuasa agar tidak menangkap ikan berhampiran kawasan tersebut.

Buat masa ini katanya, nelayan di Tanjung Kling dan Pantai Londang perlu mencari kawasan di luar projek tersebut untuk menangkap ikan.

Projek LNG itu dibangunkan sayap pemprosesan dan transmisi gas Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) iaitu Petronas Gas Bhd. (PetGas).

Pakar Senawang tiada sambutan

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh ARHIZA AHMAD
utusanN9@utusan.com.my

Manshor Abu menunjukkan gerai beliau di Pasar Komuniti dan Karavan Senawang yang masih tidak mendapat sambutan walaupun menjual juadah istimewa.

SEREMBAN 6 Jun - Peniaga di Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) Senawang dekat sini, meminta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mempergiat usaha promosi memperkenal lagi pusat penjaja itu kepada orang ramai.

Perkara itu memandangkan sejak tiga bulan berniaga di kawasan tersebut sumber pendapatan mereka terjejas kerana kurang mendapat sambutan pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Peniaga Pakar, Manshor Abu berkata, walaupun kurang mendapat sambutan mereka bernasib baik kerana FAMA tidak mengenakan sewaan kepada peniaga di kawasan berkenaan.

"Kini terdapat 30 peniaga di sini dan mula berniaga sejak awal pagi hingga larut malam tetapi masih tidak membantu.

"Saya tidak nafikan FAMA sememangnya mengadakan promosi tetapi harus diperhebat lagi bagi menarik orang mengunjungi Pakar," katanya.

Peniaga, Mohd. Kamal Mokhtar, 45, berkata, promosi yang dijalankan bagi menghebahkan kewujudan Pakar tidak sampai kepada orang ramai.

Tambahnya, pelbagai cara dilakukan bagi menarik orang ramai seperti menggunakan van, mengedar risalah dan mengadakan aktiviti di Pakar namun masih tidak memadai.

"Saya sudah berniaga di sini genap tiga bulan, apa yang berlaku sememangnya mencabar ketahanan diri dan mental.

"Kami difahamkan FAMA akan membawa pasar tani di kawasan ini untuk berniaga seminggu sekali dan diharapkan membawa perubahan kepada Pakar," katanya.

Mohd. Kamal berkata, jawatankuasa juga bercadang mengadakan Bazar Ramadan sempena bulan puasa tahun ini sebagai langkah menarik pengunjung.

"Kami berniaga enam hari seminggu dan sambutan yang diperoleh hanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, itu pun pada sebelah malam.

"Sememangnya pendapatan kami terjejas tetapi kami tetap bertahan dan mengharapkan tempat berniaga bagi golongan bumiputera ini terus maju," katanya.

Sementara itu, peniaga, Norsham Jaafar, 48, melahirkan rasa kecewa kerana pendapatannya terjejas ekoran tiada pengunjung.

"Saya pernah berniaga di beberapa tempat lain dan mendapat pendapatan yang tinggi, kini untuk mendapat RM300 sebulan pun amat susah.

"Walau bagaimanapun, saya harus bersabar kerana ini mungkin dugaan kami, tetapi amat berharap pihak berwajib mengambil berat tentang kami," katanya yang berniaga kuih tradisional.

Norsham berkata, sebagai ahli jawatankuasa peniaga di situ mereka tidak boleh berputus asa dan sentiasa memikirkan langkah meningkatkan perniagaan.

"Kami bersyukur walaupun hasilnya tidak seberapa tetapi masih mempunyai sumber pendapatan dan FAMA tidak mengenakan bayaran," katanya.

JKM negeri mahu kaji semula permohonan penerima bantuan

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

SEBAHAGIAN kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menghadiri Perhimpunan JKM negeri di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka, semalam.

MELAKA 6 Jun - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan mengkaji semula permohonan sumbangan kebajikan kepada para penerima bantuan yang telah melepasi paras garis kemiskinan.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar berkata, proses kaji semula permohonan itu akan dijalankan secara berperingkat dalam usaha mengurangkan jumlah penerima yang meningkat setiap tahun.

"Proses pemutihan ini perlu dilakukan segera kerana terdapat penerima yang telah melepasi garis kemiskinan tetapi masih menerima bantuan daripada kementerian serta jabatan lain termasuk bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Perhimpunan Pagi JKM negeri di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Klebang, di sini hari ini.

Yang hadir sama, bekas Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Datuk Daud Arbah dan Timbalan Pengarah JKM negeri, Che Azman Che Haron.

Menurut Latipah, antara aspek yang akan dikaji semula termasuk jumlah peningkatan pendapatan yang mana mungkin terdapat ibu bapa atau anak- anak yang sudah boleh membantu penerima bantuan berkenaan.

"Selain itu, terdapat skim bantuan yang diperkenal bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk meningkatkan ekonomi mereka termasuk bantuan Azam Niaga dan Azam Tani," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga berhasrat mengurangkan permohonan bantuan kebajikan itu memandangkan Melaka kini sudah melangkah ke arah negeri maju fasa kedua.

"Diharap permohonan daripada orang ramai kepada JKM dapat dikurangkan sejajar dengan pemantauan berkala oleh setiap jabatan di peringkat daerah," katanya.

Tahun lalu, secara keseluruhan sebanyak RM88 juta diperuntuk kepada sebanyak 29,186 penerima di seluruh negeri ini meliputi peruntukan sebanyak RM74.7 juta daripada Kerajaan Persekutuan manakala selebihnya sebanyak RM13.4 juta daripada kerajaan negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan