Rabu, 5 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


32 premis makanan diarah tutup

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 4 Jun - Sebanyak 32 premis menjual makanan di sekitar kawasan Nilai diarahkan tutup kerana gagal menepati kriteria kebersihan yang ditetapkan sepanjang tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Abd. Halim Abd. Latif berkata, arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak mencapai tahap kualiti kebersihan ditetapkan.

"Kesemua premis terbabit memperoleh gred D dan E atas pelbagai faktor termasuk kedai terlalu kotor serta tidak mengamalkan etika kebersihan dalam penyediaan dan penjagaan makanan.

"Inisiatif ini wajar dilakukan bagi melindungi pengguna sekali gus mengelak orang ramai mengalami keracunan makanan," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Jelasnya, pihaknya bertindak tegas terhadap pemilik serta pengusaha terbabit dengan menarik balik lesen perniagaan mereka serta-merta.

"Mereka ini adalah antara 262 premis yang diperiksa sepanjang tahun lalu di kawasan Nilai.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 51 pengusaha menerima gred A, 76 gred B dan 103 memperoleh gred C manakala selebihnya yang gagal mematuhi peraturan kebersihan menerima gerd D dan E," ujarnya.

Walau bagaimanapun, tambah Halim, bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini hanya tiga premis diarahkan tutup kerana tergolong dalam kategori gred D dan E.

"Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 26 premis menerima gred A disusuli 33 gred B dan 27 gred C.

"Pihak kami akan memantau perkembangan ini dan pemeriksaan dari semasa ke semasa turut akan dijalankan pihak penguatkuasa Jabatan Kesihatan," ujarnya.

Jawatankuasa tangani isu pesawah padi ditubuh

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

MELAKA 4 Jun - Kerajaan negeri di bawah portfolio Pertanian dan Pembangunan Usahawan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi membantu menangani isu pesawah padi di seluruh negeri.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan berikutan beberapa isu yang dibangkitkan para pesawah yang mahukan tindakan serta pembelaan sewajarnya oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke peringkat Exco kerajaan negeri untuk dibincangkan supaya isu-isu berbangkit berkaitan pesawah padi dapat diselesai dengan segera.

"Penubuhan jawatankuasa ini amat penting kerana sawah-sawah padi di negeri ini semakin terjejas disebabkan faktor pembangunan yang berkembang kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa itu di Wisma Negeri, Ayer Keroh, di sini semalam.

Jelas Hasan, beberapa perkara yang dibangkitkan pesawah padi di negeri ini termasuk masalah kekurangan air sawah di Kampung Stulang Daing, Bukit Rambai di sini, hingga menyebabkan kawasan itu kering kontang dan tanahnya merekah akibat sistem saliran yang terganggu disebabkan pembangunan.

"Masalah yang telah berlanjutan selama sebulan ini bakal menjejaskan tanaman padi yang sedang menghijau disebabkan kekurangan air," ujarnya.

Katanya, masalah itu disebabkan peruntukan sebanyak RM6 juta yang sepatutnya disalurkan Kementerian Pertanian untuk membina rumah pam bagi mengisi kapasiti air di kawasan sawah seluas 520 hektar itu tertangguh sejak 2010.

"Peruntukan itu sepatutnya sudah disalurkan bagi membina sebanyak tiga pam air bagi mengepam air masuk ke kawasan sawah yang dapat mengelakkan masalah kekurangan air seperti yang berlaku sekarang.

"Oleh itu, kerajaan negeri berharap kementerian dapat menyegerakan peruntukan tersebut bagi mengatasi masalah yang dihadapi," jelasnya.

Tambahnya, tender bagi melaksanakan projek tersebut juga dicadang diberi kepada agensi kerajaan di peringkat negeri seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang lebih memahami isu tempatan.

12,103 harta intelek didaftar dalam lima bulan

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

MELAKA 4 Jun - Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mendaftarkan sebanyak 12,103 harta intelek daripada sejumlah 14,634 permohonan yang diterima bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan harta intelek yang didaftarkan sejak 2008 sebanyak 140,113 daripada keseluruhan 191,835 permohonan yang diterima.

Pengerusinya, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, daripada jumlah itu, permohonan dan pendaftaran bagi cap dagangan adalah yang terbanyak diterima.

"Bagi tempoh Januari hingga 15 Mei lalu, sebanyak 10,529 cap dagangan didaftarkan daripada sejumlah 11,339 permohonan yang telah diterima.

"Jumlah tersebut meliputi 5,144 permohonan tempatan manakala 6,195 lagi adalah permohonan daripada pihak asing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Malam Media MyIPO di Banda Hilir, di sini semalam.

Menurutnya, bagi paten dan pembaharuan utiliti, sebanyak 968 daripada 2,569 permohonan didaftarkan manakala bagi reka bentuk perindustrian pula sebanyak 606 daripada 721 permohonan telah didaftarkan bagi tempoh.

Katanya, tiada pendaftaran dilakukan bagi petunjuk geografi sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini walaupun sebanyak lima permohonan diterima.

Dalam pada itu, kata beliau, MyIPO kini dalam usaha bertemu dan mendekati para usahawan supaya dapat mendaftarkan paten atau cap dagangan.

Katanya, tumpuan akan lebih diberikan kepada petunjuk geografi kerana mahu dikenali dalam kalangan usahawan.

Abdul Manan berkata, antara 2008 hingga tahun lalu sebanyak 17 produk didaftarkan di bawah petunjuk geografi daripada sejumlah 35 permohonan yang diterima.

Antara yang telah didaftarkan termasuk Sarawak Pepper, Sabah Tea, Borneo Virgin Coconut Oil, Buah Limau Barli Sungai Gedong, Tambunan Ginger, Langkawi Cheese dan Perlis Harum Manis Mangga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan