Selasa, 4 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Beri keutamaan luar bandar

Posted: 03 Jun 2013 11:44 AM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan bersalaman dengan salah seorang kakitangan kerajaan dalam Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Sembilan di pekarangan Wisma Negeri, Seremban, semalam.

SEREMBAN 3 Jun - Kerajaan negeri akan memberi keutamaan dan penekanan di kawasan luar bandar dari segi kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan awam bagi memastikan penduduk mendapat pembelaan terbaik daripada kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, keutamaan dan penekanan yang dimaksudkan bukan berbentuk projek pembangunan tetapi melibatkan peningkatan kualiti kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan awam.

Beliau berkata, perkara itu sekali gus dapat mengurangkan tekanan di kawasan bandar yang dilihat kini terlalu padat dengan penghijrahan penduduk untuk bekerja di sekitar pusat bandar.

"Tambahan pula mereka yang berada diluar bandar adalah penyokong tegar kepada kerajaan dan sudah pastinya kita mahu membalas budi mereka dengan menyediakan pelbagai kemudahan berkualiti untuk mereka.

"Malah, dalam masa sama, ia adalah salah satu perancangan kerajaan dalam mengurangkan tekanan pembangunan yang kini dialami di bandar dengan jumlah migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar yang mendadak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, dekat sini hari ini.

Perhimpunan itu merupakan yang pertama dihadiri Mohamad selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan memperolehi 22 dari 36 kerusi yang dipertandingkan.

Dalam pada itu, Mohamad turut menggesa semua ketua-ketua jabatan di negeri ini melakukan penilaian pelaksanaan kerja sepanjang tempoh enam bulan lalu.

Jelasnya, walaupun enam bulan pertama tahun ini dipenuhi pelbagai agenda dan aktiviti, namun keutamaan pelaksanaan projek selain sistem penyampaian perlu diberi penumpuan supaya prestasi kerja penjawat awam tidak menurun.

Dalam masa sama, selaku Menteri Besar, beliau mahu segala mesej dan amanat yang diberikan untuk membangunkan negeri ini dapat didengari semua penjawat awam agar dapat melonjakkan prestasi kerja penjawat awam.

"Kita mahu supaya semua kakitangan kerajaan baik dari peringkat pegawai sehinggalah kakitangan sokongan dapat bersama-sama supaya bekerja dalam satu pasukan.

"Semua kakitangan harus mainkan peranan dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali. Laksanakanlah tugas dengan penuh tanggungjawab supaya apa yang penting kepuasan rakyat ketika berurusan dengan kita dapat dipenuhi dan diutamakan," katanya.

Kelajuan bot perlu dikurang 20 peratus

Posted: 03 Jun 2013 11:44 AM PDT

Idris Haron mendengar penjelasan seorang pembentang kertas kerja dari Universiti Stuttgart, Jerman, Prof. Dr. Silke Wieprecht dalam Seminar Sungai Antarabangsa Sempena Festival Jemputan Sungai Melaka 2013 di Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 3 Jun - Kelajuan bot-bot yang melalui Sungai Melaka akan dikurangkan sebanyak 20 peratus bagi mengurangkan kadar hentaman air ke tebing sungai.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, pengurangan kelajuan itu bagi menjamin kekukuhan tebing sepanjang sungai tersebut pada masa akan datang.

"Saya melihat pengurangan kelajuan bot-bot sebanyak 20 peratus lagi perlu diambil kira kerana terlalu kuat hentaman air (ombak) terhadap tebing di Sungai Melaka.

"Bagi saya bot-bot yang membawa pengunjung Melaka River Cruise tidak perlu terlalu laju kerana pengunjung mahu melihat pemandangan di sepanjang sungai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Sungai Antarabangsa Sempena Festival Jemputan Sungai Melaka 2013 di Plaza Ramada, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pelbagai perancangan difikirkan kerajaan negeri bagi melonjakkan nama Sungai Melaka di persada dunia.

Kata Idris, selain projek pembangunan sungai fasa kedua yang menelan belanja RM280 juta dan pemanjangan sungai daripada 3.5 kilometer (km) kepada enam km, pelbagai produk pelancongan akan dibangunkan di kiri dan kanan sungai tersebut.

Katanya, pelbagai kaedah terkini juga akan diguna bagi mengurus dan mentadbir Sungai Melaka ke arah mengekalkan tahap kebersihan dengan meminimumkan bau busuk.

Selain itu, Idris berkata, pengisian pelbagai aktiviti sungai akan dirancakkan lagi bagi memastikan Sungai Melaka sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Summer Camp 2 bentuk sahsiah, disiplin pelajar

Posted: 03 Jun 2013 11:44 AM PDT

TELOK KEMANG 3 Jun - Summer Camp 2 Program Remaja Berwawasan yang diadakan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson dekat sini dilihat merupakan salah satu usaha terbaik kerajaan dalam membentuk sahsiah dan disiplin pelajar.

Perkara berkenaan diakui oleh sebahagian peserta daripada lebih 1,200 pelajar yang mengikuti program itu melihat aktiviti dianjurkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan itu benar-benar memberikan impak positif kepada mereka.

Peserta, Abibul Yusuf, 16, berkata, sepanjang program yang berlangsung selama lima hari itu, banyak perkara telah dipelajari antaranya menggunakan dan menghormati masa.

"Peserta didedahkan tentang pentingnya melaksanakan aktiviti berfaedah dan bukan hanya mensesiakan waktu bagi melakukan perkara tidak berfaedah.

"Aktiviti dalam program ini meliputi aspek seperti motivasi, kesukanan dan kerjasama berpasukan bagi memupuk disiplin yang tinggi," ujar peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kempas, Johor ini.

Dia berkata demikian selepas ditemui pemberita semasa majlis berkenaan yang dirasmikan oleh Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, baru-baru ini.

Seorang lagi peserta, T. Naveen, 16, berkata, program itu mempunyai pengisian kerohanian yang boleh membentuk pelajar supaya menjadi manusia yang berjaya kelak.

"Pada mulanya saya tidak berminat walaupun terpilih, tetapi setelah mengikutinya bukan sahaja dapat kenalan baharu malah turut mengenali lebih rapat anggota polis dan tentera.

"Mereka banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar yang memberi kesan mendalam kepada saya," kata peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti 2, Johor itu.

Seorang lagi peserta, Lee Wei Kian, 15, mahu supaya program itu diperluaskan kepada pelajar Cina kerana ia dilihat mampu untuk mendisiplinkan dan membentuk akhlak yang baik.

"Setelah mengikutinya ternyata memberi kesan buat kami dalam mematuhi segala peraturan dan mengikuti setiap arahan para guru serta ibu bapa," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan