Ahad, 2 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Promosi Sungai Melaka menerusi internet

Posted: 01 Jun 2013 11:58 AM PDT

MELAKA 1 Jun — Kerajaan Melaka akan mempromosikan keindahan Sungai Melaka menerusi internet dan media baharu bagi menarik lebih ramai pelancong luar mengunjungi sungai bersejarah itu.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, hasil promosi berterusan sungai itu berjaya menarik lebih sejuta pengunjung tahun lepas dan usaha itu akan dilakukan berterusan.

"Saya mahu momentum dan transformasi Sungai Melaka sebagai tarikan pengunjung terutama pelancong asing berterusan bersandarkan kaitan sejarah sungai ini pada satu ketika dulu dan keindahannya pada masa kini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sungai Melaka Antarabangsa 2013 anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPS, Datuk Ahmad Husaini Sulaiman.

Idris berkata, sungai itu yang kini memasuki fasa kedua projek pengindahan dan pembersihan membabitkan kos RM285 juta akan dibangunkan mengikut konsep safari iaitu menggabungkan elemen tumbuhan, haiwan serta flora dan fauna yang dilancarkan Mei tahun lepas. — Bernama

Tingkatkan keselamatan bot Melaka River Cruise

Posted: 01 Jun 2013 11:58 AM PDT

Mohd. Khalil Yaakob menerima cenderamata yang disampaikan oleh Idris Haron (tiga dari kanan) ketika merasmikan Seminar Sungai Antarabangsa Sempena Festival Jemputan Sungai Melaka 2013 di Dataran Sungai, Banda Hilir, Melaka, semalam.

MELAKA 1 Jun - Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) diarah mempertingkatkan aspek keselamatan penggunaan bot Melaka River Cruise bagi menjamin keselamatan pengunjung pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, peningkatan tahap keselamatan itu adalah sejajar menjadikan perkhidmatan bot Melaka River Cruise bertaraf dunia.

"Aspek keselamatan pengguna serta bot yang digunakan adalah penting, sebab itu perbadanan perlu memberi perhatian kepada hal itu.

"Walaupun setakat ini kita tidak menghadapi sebarang masalah dari segi keselamatan, namun ia tidak boleh diambil mudah dan ini sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ini termasuklah mewajibkan pemakaian jaket keselamatan kepada setiap pengunjung dan bot-bot yang digunakan juga perlu dilengkapi dengan alat pemadam api," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Sungai Antarabangsa Sempena Festival Jemputan Sungai Melaka 2013 di Plaza Ramada, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Menurut beliau, jumlah pengunjung Melaka River Cruise sepanjang tahun lalu mencecah angka 1 juta orang dengan jumlah kutipan tiket RM8.1 juta.

Jumlah itu meningkat seramai 200,000 orang berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 800,000 orang dengan kutipan tiket sebanyak RM6.8 juta.

Kata Idris, peningkatan tahap keselamatan Melaka River Cruise diyakini mampu menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini tahun ini.

Kerajaan negeri menetapkan sasaran kedatangan 14 juta pelancong dari dalam dan luar negara tahun ini berbanding 13.71 juta orang tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan