Sabtu, 1 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


FAMA disaran tingkat imej pasar tani

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Usahawan baharu, Othman Husinm (kanan) menerima replika kunci motor tiga roda yang disampaikan Hasan Abdul Rahman sempena majlis penutupan Karnival Sihat & Segar di tapak pasar tani di pusat UTC, Melaka, kelmarin.

MELAKA 31 Mei - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri disaran mengkaji cara berkesan dalam usaha meningkatkan imej pasar tani supaya mampu berdaya saing di samping melahirkan usahawan tani dapat memasarkan produk mereka ke luar negara.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, pasar tani dilihat memberi impak besar yang memberi peluang kepada usahawan tani menjana pendapatan dan memperkenal produk mereka kepada pengguna.

"Kita mencadangkan FAMA mengkaji semula peranannya dari segala aspek antaranya imej pasar tani yang berkonsepkan khemah yang perlu diberi perubahan dan penambahbaikan terhadap imej yang lebih sesuai dengan gambaran pasar tani di negeri maju di samping menambah bilangan pengunjung.

"Kita juga perlu cari kaedah lain dengan mengubah suai pasar tani supaya lebih maju bukan sahaja sebagai lokasi usahawan tani berniaga tetapi menjana pendapatan tinggi," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penutupan Karnival Sihat & Segar di tapak pasar tani di Pusat Transformasi Bandar (UTC), sini semalam.

Yang hadir sama, Pengarah FAMA negeri, Mohd. Nawi Othman dan Pengerusi Pasar Tani negeri, Jamaluddin Muhd. Arshad.

Dalam majlis itu, sebanyak tiga usahawan baharu turut menerima kunci motosikal tiga roda dan seorang bagi program AgroBazaar Kedai Rakyat.

Sementara itu, Mohd. Nawi berkata, sebanyak lapan menu istimewa dilancarkan di Pasar Tani UTC dengan tawaran harga lebih rendah dan menggunakan bahan-bahan berasaskan produk FAMA.

"Antara menu itu ialah Nasi Ayam Tempayan, Asam Pedas Tok Raja, Mee Kuah Castelo, Bihun Sup Utara, yong tau foo, coconut shake, aiskrim double, jus markisa dan ABC special," katanya.

Tambahnya, pelbagai program dirancang dan diadakan dari semasa ke semasa untuk menggalakkan kedatangan pengunjung ke pasar tani selain memperkenal makanan tempatan kepada pelancong luar.

Cadang elaun ahli JKKK naik daripada RM50 kepada RM100

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

MELAKA 31 Mei - Kerajaan negeri akan memohon kenaikan elaun ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada RM50 kepada RM100 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri esok untuk mendapat kelulusan.

Menurutnya, jika mesyuarat itu menyokong penuh cadangan kenaikan elaun tersebut, keputusan itu akan dipanjangkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

''Saya mendapat pandangan daripada akar umbi sebanyak 4,638 ahli JKKK yang merayu agar elaun bulanan RM50 yang diterima sebelum ini dinaikkan sebanyak RM100.

''Mereka berpendapat jumlah itu dapat diseimbangkan dengan elaun Pengerusi JKKK yang mendapat RM800 sebulan dan Setiausaha sebanyak RM200 sebulan," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Naza di sini baru-baru ini.

Hasan berkata, di peringkat kerajaan negeri ada rasionalnya elaun itu mendapat pertimbangan daripada kementerian untuk mengkaji dan memperhalusi suara di peringkat akar umbi.

Menurutnya, setiap tahun kementerian memperuntukkan sebanyak RM4.9 juta bagi elaun pengerusi, setiausaha dan AJK di negeri ini.

Beliau berpendapat elaun tersebut wajar dinaikkan bagi memperkasakan tugas ahli JKKK dalam situasi yang semakin mencabar khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pada masa ini katanya, terdapat sebanyak 526 buah kampung di seluruh negeri dengan kampung-kampung kecil berjumlah 1,342 buah membabitkan 267 JKKK yang telah dilantik.

Di samping itu, beliau turut mencadangkan agar geran tahunan pentadbiran JKKK di negeri ini daripada RM600 dinaikan kepada RM2,000 setahun.

''Saya melihat ada kewajaran geran tahunan pentadbiran JKKK dinaikkan kepada RM2,000 setahun bagi memudahkan sebarang urusan harian JKKK terbabit," ujarnya.

Ujarnya, geran pentadbiran JKKK ditanggung oleh kerajaan negeri dengan peruntukan setiap tahun adalah sebanyak RM384,600.

Mengulas mengenai peletakan jawatan JKKK daripada wakil MCA, Hasan berkata, jawatan tersebut tidak akan diisi buat sementara waktu.

Beliau berkata, jawatan itu dikosongkan sehingga satu keputusan dibuat oleh MCA Pusat berhubung resolusi yang telah diputuskan sebelum ini.

''Jawatan itu adalah dikhususkan untuk mewakili masyarakat Cina dan tidak ada sebab ia perlu diisi oleh pihak lain. Kaum Cina akan tetap dilantik ke jawatan ini," katanya.

Tiada lagi harga tapak bazar Ramadan cecah RM20,000

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

MELAKA 31 Mei - Penjualan tapak bazar Ramadan di Taman Cempaka yang dilaporkan mencecah sehingga RM20,000 setiap kali bulan Ramadan tidak akan berlaku lagi selepas ini.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, kerajaan negeri telah mengambil keputusan penjualan lesen tapak bazar Ramadan di Taman Cempaka akan dikawal sepenuhnya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tanpa melibatkan pihak lain yang cuba mengaut keuntungan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius pengambilan untung secara berlebihan berhubung penjualan tapak di kawasan berkenaan hingga menimbulkan rungutan peniaga dan pengunjung.

"Bila harga tapak mencecah sehingga RM20,000 secara tidak langsung membebankan pengunjung apabila peniaga terpaksa menaikkan harga yang begitu tinggi.

"Tahun ini, keadaan itu tidak akan berlaku lagi dan jika kerajaan negeri menerima laporan berlaku penjualan tapak melalui pihak lain, lesen itu akan ditarik balik dan diberikan kepada peniaga lain.

"Exco berkaitan telah diarahkan memantau keadaan itu bagi memastikan lesen tapak bazar Ramadan dijual kepada peniaga dan bukan pihak kedua yang kemudiannya menjual kepada peniaga lain dengan mengenakan kadar yang sangat tinggi," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, kata Idris, kerajaan negeri memutuskan penjualan makanan dan pakaian sepanjang bulan Ramadan di beberapa tapak bazar terutama di bandar raya ini akan diasingkan.

Beliau berkata, tidak ada lagi tapak bazar Ramadan yang akan menjual makanan dan pakaian di satu tempat yang sama seperti berlaku sebelum ini.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Rabu lalu mengambil keputusan lesen yang akan dikeluarkan di bazar Ramadan di Taman Cempaka dikhususkan untuk menjual makanan sahaja.

"Bagi peniaga yang menjual pakaian dan pelbagai barangan menyambut Aidilfitri mereka boleh memohon lesen yang akan dikeluarkan di lokasi baharu di Jalan Hang Tuah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, MBMB dan pihak polis akan berbincang bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang dijangka berlaku di sepanjang laluan di jalan Hang Tuah.

Katanya, melalui perubahan tersebut, jalan Hang Tuah yang dulunya sepi sepanjang bulan Ramadan akan kembali meriah dengan keputusan menempatkan peniaga menjual pakaian dan barangan sambutan Aidilfitri di kawasan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan