Jumaat, 7 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


MCA boleh tarik balik tidak terima jawatan Kabinet menerusi EGM

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

ALOR SETAR 7 Jun - Keputusan MCA tidak menerima sebarang jawatan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan boleh dibatalkan menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) sebelum mesyuarat agung tahunannya hujung tahun ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, EGM bagi membincangkan isu penting berkenaan bagaimanapun hanya boleh diadakan jika diminta oleh satu pertiga daripada kira-kira 2,400 perwakilan Pusat parti tersebut.

"EGM itu bergantung pada perwakilan MCA Pusat. Kalau mereka minta dan turunkan tandatangan baharu kita boleh bermesyuarat. Usul yang telah diputuskan dalam parti tidak boleh dibatalkan sesuka hati," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan malam MCA Kedah di sini hari ini.

Para pemimpin MCA telah memutuskan tidak menerima sebarang jawatan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah lebih buruk daripada prestasi Pilihan Raya Umum 2008.

Dalam PRU-13 pada 5 Mei lalu, MCA hanya menang tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 15 kerusi Parlimen dan 32 DUN yang dimenanginya pada 2008.

Namun kerajaan negeri seperti Kedah tetap bercadang mahu melantik wakil parti itu dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi mewakili masyarakat Cina.

Kerajaan Kedah secara tradisinya mempunyai 10 anggota Exco tetapi pada 15 Mei lalu hanya lapan orang yang dilantik ke jawatan itu tanpa wakil daripada masyarakat Cina dan India.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir meminta MCA membuat keputusan segera berhubung cadangan melantik wakil parti tersebut kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah Kedah, masyarakat Cina tidak mempunyai wakil dalam barisan Exco bagi membantu kerajaan negeri.

Menurut Soi Lek, jika tiada EGM dibuat, MCA kekal dengan pendirian enggan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri serta perlu menunggu mesyuarat agungnya bagi membincangkan perkara berkenaan.

Beliau berkata, tempoh untuk mengadakan mesyuarat agung tersebut iaitu pada hujung tahun ini adalah tidak lama.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Mukhriz kerana memperuntukkan jawatan Exco kepada wakil MCA.

Ditanya apakah yang akan berlaku jika Mukhriz tetap melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) MCA Kedah sebagai Exco dalam tempoh terdekat, katanya, beliau akan menjawab soalan itu selepas pelantikan tersebut dibuat.

Pembangkang masih membisu salur dana politik ke akaun parti

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Idris Jala

PUTRAJAYA 7 Jun - Kerajaan masih menunggu maklum balas daripada pembangkang untuk turut bersetuju mengikut langkah Barisan Nasional (BN) yang terus menyalurkan sumbangan dana politik ke akaun rasmi parti berbanding akaun individu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, langkah itu penting bagi membanteras sebarang salah laku dan penyelewengan sekiranya dana tersebut disalurkan terus ke akaun individu tanpa diaudit dan direkodkan.

Beliau berkata, pihaknya telah menjemput pembangkang untuk turut serta menjayakan inisiatif di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 itu, namun sehingga sekarang masih belum mendapat jawapan.

"Kita sekarang sedang berbincang dan meyakinkan mereka untuk bersetuju terhadap inisiatif ini supaya setiap dana politik yang disalurkan dapat diaudit dan direkodkan.

"Langkah ini sama seperti dilaksanakan di Amerika Syarikat dan Perancis yang menetapkan peraturan setiap sumbangan politik disalurkan terus ke akaun parti," katanya selepas merasmikan Konvensyen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari lalu mengumumkan sebarang pembiayaan politik di peringkat Pusat mahu pun negeri perlu disalurkan terus ke akaun parti bagi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan politik.

Menurut Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menandatangani ikrar tersebut bagi pihak BN.

Katanya, inisiatif tersebut yang telah dimulakan sejak GTP 1.0 merupakan salah satu daripada tiga inisiatif di bawah GTP 2.0 untuk memperhebatkan pembanterasan terhadap rasuah.

Katanya, dua lagi inisiatif iaitu pemberian rasuah dan perolehan rasuah akan turut digerakkan bersama bagi membanteras rasuah di semua peringkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan