Rabu, 5 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Jenice mohon keahlian DAP dikembalikan

Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT

Oleh SUWARNI MOKHTAR dan SAIFULIZAM MOHAMAD

Jenice Lee berbincang dengan peguamnya bagi memfailkan saman terhadap DAP di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 5 Jun - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee hari ini memfailkan saman terhadap DAP di Mahkamah Tinggi di sini bagi memohon perisytiharan supaya keahliannya dalam parti itu dikembalikan.

Jenice atau nama sebenarnya Lee Ying Ha, 33, memfailkan saman tersebut menerusi firma guaman, Tetuan Harjit Sandhu dengan menamakan DAP sebagai defendan melalui Lim Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung parti itu.

Menurut writ saman tersebut, Jenice yang merupakan ahli DAP sejak 2001 menyatakan, pada Disember 2012 defendan telah mengadakan pemilihan Eksekutif Jawatankuasa Pusat (CEC).

Bagaimanapun, pemilihan tersebut didapati tidak teratur dan aduan dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pada 20 April lalu, Jenice yang pada ketika itu merupakan Setiausaha Publisiti Selangor telah mendapati melalui pihak media bahawa keahliannya telah dilucutkan oleh CEC.

Pada masa sama, ROS turut mendapati bahawa pemilihan CEC itu tidak dijalankan mengikut perlembagaan parti.

Oleh itu, Jenice selaku plaintif menuntut agar keahliannya dikembalikan serta-merta selain kos dan relif-relif lain yang sesuai.

Sementara itu, Jenice ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini berkata, tujuannya mengemukakan saman tersebut semata-mata mahu mendapatkan keadilan memandangkan sehingga kini beliau tidak menerima surat rasmi menyatakan pemecatannya sebagai ahli DAP.

Beliau berkata, segala maklumat mengenai pemecatannya hanya diketahui melalui media bukannya daripada sumber parti.

''Saya masih sayangkan parti ini dan sebab itu saya menuntut hak untuk mendapatkan keadilan. Oleh itu, saya amat berharap mahkamah akan mengekalkan saya sebagai ahli DAP. Inilah hasrat saya sebelum dan selepas pilihan raya umum,'' katanya.

Pada 22 April lalu, Pengerusi DAP, Karpal Singh mengumumkan pemecatan Jenice daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta selepas bekas ADUN itu tidak mengundurkan diri bertanding atas tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Teratai dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pemecatan itu dibuat dalam tempoh 24 jam selepas DAP memberi amaran kepada ahlinya yang bertanding atas tiket Bebas dalam PRU-13 supaya menarik diri atau bakal dikenakan tindakan disiplin.

DAP terbukti amal perkauman - Mohd. Puad

Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT

KUALA LUMPUR 5 Jun - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh UMNO sebagai parti perkauman kerana menolak cadangan semua parti komponen di bawah Barisan Nasional (BN) bergabung menjadi sebuah parti tunggal dilihat bertujuan menutup imej sebenar DAP.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, DAP sebenarnya lebih terbukti sebagai parti perkauman selepas berjaya menambah kerusi melalui tsunami Cina dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berbanding Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"DAP tidak menang pun sebarang kerusi di kawasan majoriti Melayu, bahkan tidak berani bertanding di kawasan tersebut.

"Malah, melalui monopoli undi Cina, DAP berjaya membantu PKR menewaskan calon UMNO yang bertanding di kerusi yang peratus pengundi Melayu dan Cina hampir seimbang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng melalui artikel yang disiarkan di laman webnya di www.limguaneng.com baru-baru ini.

Artikel itu menyebut, keengganan UMNO menjadi parti tunggal yang inklusif atau berbilang kaum menunjukkan parti itu berterusan mahu memecah-belahkan rakyat negara ini mengikut kaum demi memelihara kekuasaan mereka.

Menurut Mohd. Puad, DAP resah selepas isu tsunami Cina diperbesarkan kerana bimbang orang Melayu akan menjauhkan diri daripada parti itu apatah lagi perkara tersebut boleh menjejaskan hubungan mereka dengan Pas.

Perkara itu, kata beliau, turut menjelaskan mengapa DAP bersungguh-sungguh membantah penayangan filem Tanda Putera kerana mahu menutup sejarah dan cuba membohongi rakyat tentang sikap perkauman mereka.

"DAP sebenarnya berjaya menghasut pengundi muda Cina bahawa sosial kontrak tidak bermanfaat dan perlu dibatalkan.

"Sedangkan sosial kontrak yang membantu negara menangani masalah kaum di negara ini termasuk mewujudkan sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),'' katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata, walaupun UMNO hanya untuk orang Melayu tetapi parti itu komited dengan dasar yang inklusif.

"Dasar itu menjadi dasar utama BN sedangkan pembangkang sehingga hari ini gagal didaftarkan kerana terhalang dengan dasar kecinaan DAP yang tidak serasi dengan dasar Islam Pas yang juga sebuah parti hanya untuk orang Islam," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan