Selasa, 4 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Dedah taktik terbaharu DAP

Posted: 04 Jun 2013 10:58 AM PDT

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN
pengarang@utusan.com.my

R. RAMANAN
Naib Pengerusi Strategik MIC

KUALA LUMPUR 4 Jun - DAP mungkin berdepan dengan satu lagi kemelut dalam kalangan ahlinya sendiri berikutan keputusan 'tergesa-gesa' kepemimpinan tertinggi untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) setiap cawangan parti itu sejak dua minggu lalu.

Seorang pemimpin kanan DAP yang enggan namanya disiarkan mendakwa, AGM itu dipercayai bagi 'mencantas' mana-mana cawangan yang bertindak lantang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan cara pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada Disember lepas.

Jelasnya, setiap Pengerusi Negeri telah diberi arahan untuk segera mengadakan AGM di negeri masing-masing dengan segera namun yang menjadi persoalan ialah ramai ketua cawangan masih samar-samar dengan keputusan itu.

"Sejak pemilihan CEC lepas, banyak cawangan yang tampil mengkritik kepemimpinan parti selain menyoal kesahihan pemilihan tersebut melalui media dan pemimpin tertinggi DAP itu sendiri. Kumpulan ini terlampau lantang mendedahkan kepincangan parti kepada umum.

"Mungkin dengan mengadakan pemilihan di peringkat negeri dan cawangan, beberapa cawangan akan dicantas atau diturunkan dari gred 'A' kepada 'B' supaya tidak boleh mengundi jika pemilihan semula CEC diadakan dalam masa terdekat. Mengikut peraturan parti, hanya cawangan gred A sahaja layak mengundi pada pemilihan parti.

"Antara alasan yang akan diberikan kepada cawangan-cawangan ini ialah yuran tahunan tidak dijelaskan atau tidak membuat AGM dalam tempoh ditetapkan, walhal mereka sebenarnya tidak diberikan notis untuk mengendalikan AGM di cawangan masing-masing. Saya sendiri tidak tahu apa akan berlaku andainya perkara ini terjadi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu pemilihan CEC DAP menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh ahlinya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 perwakilan untuk mengundi pada pemilihan tahun lalu, selain timbul kemusykilan insiden memalukan iaitu salah kira undi.

Berdasarkan Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966, ROS tidak memberikan pengiktirafan kepada pemegang-pemegang jawatan DAP yang dibentuk semasa pemilihan CEC parti itu pada 15 Disember tahun lalu dan mengarahkan pemilihan semula diadakan.

Menurut pemimpin itu lagi, AGM cawangan yang terakhir diadakan pada 2010 dan terpaksa ditunda bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini.

Tambah beliau, sebelum ini beberapa pemimpin tertinggi telah cuba 'memujuk' Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya segera mengadakan pemilihan semula berikutan desakan pelbagai pihak termasuk ROS kerana imej parti semakin buruk namun tidak diendahkan.

"Saya tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh beliau, mungkin baginya ini bukan satu perkara yang besar walaupun sudah terlalu ramai tampil mendesak. Mungkin juga beliau mempunyai 'rancangan' lain untuk menangani kemelut ini," ujarnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan mendakwa, Guan Eng berterusan bermain 'tarik tali' berhubung pemilihan semula CEC kerana dikatakan mempunyai agendanya sendiri.

"Mengapa sehingga hari ini beliau masih enggan mengadakan pemilihan semula? Jika benar telus dan bersih, mengapa masih hendak memanjangkan isu ini? Apakah sebenarnya motif beliau dan bapanya, Lim Kit Siang?

"Kit Siang pernah berdrama sehingga mengalirkan air mata sebelum PRU lepas, kemudian anaknya, Guan Eng pula manipulasi isi kandungan ROS selain 'membuang masa' selama satu jam pada pertemuan beliau dengan Pengarah ROS dengan bercakap tentang perkara yang tiada kaitan dengan CEC, apakah niat mereka sebenarnya?" katanya.

Ramanan turut melahirkan rasa hairan dengan tindakan Guan Eng yang asyik mengulangi dakwaannya bahawa ROS berniat untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

"Daripada gaya beliau bercakap, seolah-olah beliau mahu partinya dibatalkan.ROS tidak pernah kata hendak batalkan pendaftaran.

"Adakah dengan membatalkan pendaftaran parti, maka cita-cita Guan Eng untuk 'menutup' segala kekotoran parti itu tercapai? Mengapa beria-ia benar beliau mahu partinya dibatalkan?," ujarnya.

Tindakan pengecut Ketua Menteri Pulau Pinang alih isu Red Bean Army

Posted: 04 Jun 2013 10:58 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Jun - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng cuba mengalihkan isu yang mengaitkan parti itu dengan tentera siber, Red Bean Army disifatkan sebagai pengecut.

Setiausaha Agung Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia, Zulkifli Sharif berkata, Guan Eng tidak perlu takut untuk mengakuinya jika beliau berpegang kepada kebenaran.

Menurutnya, sikap Guan Eng mengecam Utusan Malaysia menggunakan sentimen perkauman itu turut menunjukkan sikap sebenar pemimpin pembangkang tersebut yang berdolak-dalik.

"Guan Eng tidak perlu menafikan hakikat penglibatan DAP sebagai penaja Red Bean Army kerana sudah ramai tampil dan membuktikannya.

"Hentikan sikap 'baling batu sembunyi tangan', sebagai seorang pemimpin, beliau sepatutnya malu terhadap sikap tidak bertanggungjawab terhadap tindakannya sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng seolah-olah cuba menutup kaitan parti itu dengan pergerakan Red Bean Army dan mengalih isu sebenar dengan mengecam Utusan Malaysia kononnya mengaitkan isu tersebut dengan sentimen perkauman.

Sambil menunjukkan laporan akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan Sabtu dan Ahad lalu, Guan Eng menegaskan, laporan-laporan tersebut sangat bahaya dan mampu merugikan negara kerana melibatkan keyakinan pelabur asing.

Zulkifli menambah, operasi tentera siber itu yang sering menimbulkan kemarahan, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu perlu dikenakan tindakan segera oleh pihak berkuasa.

"Ini demi keselamatan negara serta keamanan penduduk supaya tidak timbul isu perkauman yang sering dilaung-laungkan mereka," katanya.

Sementara itu, Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, Guan Eng tidak menyedari tindakannya yang cuba untuk menipu rakyat akan memakan diri sendiri.

Jelasnya, sikap tersebut tidak sepatutnya dimiliki oleh seorang pemimpin yang bercita-cita untuk mengetuai rakyat di negara ini.

"Guan Eng seperti cuba menutup bangkai gajah, tindakan itu tidak mampu menyembunyikan perbuatannya," kata beliau.

0 ulasan:

Catat Ulasan