Jumaat, 7 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Pahang tanggung sebahagian rawatan bayi hidap hipoglisemia

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

MARAN 7 Jun - Kerajaan negeri bersetuju membiayai sebahagian kos rawatan bayi berusia lima bulan, Muhammad Asyraf Zaili yang menghidap penyakit hipoglisemia atau gejala kekurangan gula bagi mendapat rawatan pakar di Jerman pada 16 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, jumlah yang akan disumbangkan adalah sekurang-kurangnya RM50,000 dengan kos rawatan keseluruhan dijangka mencecah RM250,000.

Menurut beliau, sumbangan orang ramai yang berjaya dikumpul setakat ini pula sebanyak RM110,000 tetapi masih belum mencukupi bagi membiayai rawatan yang diperlukan keluarga ini.

Penyakit yang amat jarang dilaporkan ini boleh mengancam nyawa penghidapnya kerana kandungan gula dalam darah boleh jatuh secara mendadak yang membawa komplikasi kerosakan saraf dan maut.

Justeru, kerajaan negeri sangat prihatin dengan penderitaan Asyraf dan rakyat keseluruhan sekali gus akan membantu mana-mana individu yang memerlukan bantuan," katanya selepas menziarahi keluarga bayi itu di nombor 7, Lorong DJ 15, Taman Desa Jaya 2, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, dekat sini semalam.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga tiada halangan untuk membiayai rawatan susulan Asyraf di hospital kerajaan mahupun swasta dan pada masa sama orang ramai masih digalakkan menghulurkan bantuan bagi menampung kos rawatan dan perbelanjaan ibu bapa bayi itu semasa di Jerman.

Sementara itu, ibu bapa bayi malang ini, Zaili Dollah, 47, dan Rasidah Ardani,41, sangat terharu dengan sokongan pelbagai pihak yang membolehkan anak keenam mereka itu dibawa mendapat rawatan pakar di Jerman.

Menurut Zaili, dia dan isteri akan berangkat ke Jerman pada 16 Jun ini dan dijangka berada di negara itu antara sebulan hingga tiga bulan berdasarkan kepada kejayaan rawatan.

Kami sekeluarga sangat terhutang budi kepada para pemimpin kerajaan, penderma seperti Pusat Zakat, Majlis Belia Felda, Felda, UMNO, Wanita UMNO, Majlis Belia Pahang dan lain-lain, katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Menurutnya, penyakit anaknya sudah berada di tahap kritikal dan meskipun jagaan rapi diberikan, Asyraf kadang kala tetap diserang penyakitnya itu.

Katanya, apabila penyakitnya datang, dia akan menangis, mukanya menjadi pucat dan kepalanya berpeluh, selain akan muntah sehingga mengeluarkan semua susu yang diminum.

Tambah beliau, jika pembedahan tidak dilakukan segera, anak keenam mereka itu mungkin mengalami masalah kegagalan otak yang boleh menyebabkan perkembangannya lebih perlahan berbanding kanak-kanak lain.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke dalam akaun Maybank, Rasidah Ardani bernombor 156141307260 atau akaun Zaili Dollah di CIMB 06050004165201 atau menghubungi mereka di talian 0199321566 atau 0199882647.

Atlet emas terima RM3,000

Posted: 07 Jun 2013 12:11 PM PDT

Oleh FANSURINA ABDULLAH
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 7 Jun - Atlet yang menyumbangkan pingat dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 bermula pada 28 Jun hingga 7 Julai ini di ibu negara bakal menerima insentif tambahan daripada kerajaan negeri.

Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Datuk Nik Nasaruddin Mohd. Zawawi berkata, selain dapat meningkatkan moral, insentif itu sebagai tanda penghargaan kepada atlet yang berjaya mencatat kecemerlangan.

Beliau berkata, insentif sebanyak RM3,000 akan diberikan kepada atlet yang berjaya menyumbang pingat emas dalam temasya sukan tahunan itu bagi acara individu.

"Selain penyumbang pingat emas, penyumbang pingat perak dan gangsa juga akan mendapat insentif masing-masing sebanyak RM2,000 dan RM1,000 bagi penyertaan individu.

"Bagi penyumbang pingat dalam acara berpasukan pula akan menerima insentif RM1,000 seorang untuk pingat emas, RM600 bagi pingat perak dan RM400 untuk pingat gangsa," katanya.

Beliau berkata, kontinjen negeri itu akan menyertai 16 daripada 20 acara yang dipertandingkan dengan penyertaan atlet seramai 264 orang iaitu 154 lelaki dan 110 wanita.

Dalam pada itu katanya, Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Pahang, Datuk Dr. Omar Othman sekali lagi dilantik sebagai Ketua Kontinjen Negeri selepas menyandang tanggungjawab sama pada tahun 2011.

Sebelum berangkat ke ibu negara, kontinjen negeri itu akan menyertai kem motivasi dan pemantapan atlet Sukma di Cherengin Hill Convention, Janda Baik selama empat hari bermula 20 Jun ini.

Beliau berkata, simbolik penyerahan bendera kontinjen Sukma 2013 juga akan diadakan pada 23 Jun di lokasi sama sebelum berlepas ke Kuala Lumpur untuk pemburuan pingat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan