Selasa, 4 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


10 tahun hadapi banjir kilat

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

RUMAH penduduk di Kampung Batu Satu, Temerloh kerap dinaiki air selepas hujan lebat.

TEMERLOH 4 Jun - Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dan Majlis Daerah Temerloh (MDT) digesa menyelesaikan masalah banjir kilat di Kampung Batu Satu di sini yang dialami sejak 10 tahun lalu sehingga mengalami kerugian harta benda.

Selain itu, penduduk terbabit mahu kedua-dua pihak berkenaan membuat satu laluan baharu saliran air yang disifatkan boleh menyelesaikan masalah banjir di kampung tersebut.

Menurut salah seorang penduduk, Aminurashid Mohd. Norwawi, 63, punca sebenar banjir di kampung tersebut disebabkan laluan air bawah tanah berhampiran Jalan Bahagia kira-kira 200 meter dari kampung berkenaan tersumbat.

"Bila MPT dan agensi kerajaan berkaitan menggantikan pembentung lama ia tidak menyelesaikan masalah kerana laluan air bawah tanah yang tersumbat di tempat lain tetapi dikorek tempat lain.

"Saya bersetuju dengan cadangan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) yang dibuat lapan tahun lalu supaya satu laluan baharu dibuat bagi menggantikan laluan air sedia ada yang didapati tidak lagi sesuai digunakan," kata Aminurashid kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Lani, 58, berkata, cadangan JPS itu hanya tinggal begitu sahaja tanpa ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa seperti MPT dan MDT.

"Kedudukan Kampung Batu Satu sebenarnya dekat dengan Sungai Semantan dan jika cadangan JPS tersebut dilaksanakan ia lebih praktikal supaya air hujan daripada kampung kami mengalir ke sungai tersebut dengan lebih cepat.

"Masalah banjir yang berlaku sejak 10 tahun lalu sehingga sekarang menyebabkan kehidupan harian kami terjejas setiap kali hujan," ujarnya.

Bagi seorang pengusaha restoran, Izudin Mohd. Norwawi, 55, dia tidak membuka restoran miliknya sejak dua bulan lalu berikutan masalah yang dihadapi itu.

Menurutnya, masalah tersebut telah diajukan kepada pihak berkaitan namun masih tiada penyelesaian sebaliknya maklum balas diterima menyakitkan hati dan menuding jari menyalahkan pihak lain.

"Saya pergi MPT dia cakap bidang kerja JPS. Saya pergi sana dia cakap sini, macam mana nak selesai," katanya yang mengalami kerugian lebih RM5,000 kerana tidak dapat berniaga disebabkan kerap kali ditenggelami akibat banjir kilat.

Giatkan program inap desa Hulu Tembeling

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

Ahmad Nazlan Idris (enam dari kanan) bersama-sama sebahagian peserta projek inap desa dari Sarawak, Sabah dan Labuan sempena penyerahan keluarga angkat di Kuala Tahan, semalam.

JERANTUT 4 Jun - Penduduk, pengusaha pelancongan dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta menggiatkan program inap desa di Hulu Tembeling dan Taman Negara Kuala Tahan untuk merancakkan sektor pelancongan di samping dapat meningkatkan pendapatan para peserta.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, inap desa antara usaha menambah pendapatan penduduk yang boleh dikaitkan dengan kegiatan eksplorasi alam sekitar di Taman Negara manakala budaya masyarakat Melayu termasuk Orang Asli juga dapat dieksploitasi menerusi sektor berkenaan.

Beliau berkata, Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling antara destinasi persinggahan pelancong dari seluruh dunia yang memacu transformasi ekonomi negeri ini berasaskan bidang ekopelancongan.

"Usahawan sektor ini diminta menggiatkan lagi usaha menerusi aspek promosi dan pengurusan hospitaliti termasuk aset khazanah alam sekitar dan kesenian baharu yang boleh menarik minat pelawat ke sini.

"Bagi penduduk Kuala Tahan dan Hulu Tembeling, peranan ini juga boleh digerakkan dengan menggiatkan program inap desa di samping mengetengahkan produk makanan termasuk kraf tangan yang boleh menjana pendapatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Inap Desa dan Keluarga Angkat, di Kuala Tahan, dekat sini semalam.

Sempena majlis berkenaan, Ahmad Nazlan menyerahkan sebanyak 80 peserta dari negeri Sarawak, Sabah dan Labuan kepada 40 keluarga angkat menerusi projek inap desa penduduk Kuala Tahan, dekat sini.

Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntuk jumlah yang besar untuk menaik taraf pelbagai prasarana termasuk membina landskap di Kuala Tahan yang menjadi pintu masuk Taman Negara bagi merancakkan sektor berkenaan di negeri ini.

"Kemudahan ini antara hasrat kerajaan menggalakkan penduduk di sini merebut peluang keusahawanan menerusi bidang tertentu berasaskan pembangunan hospitaliti, pertanian dan produk lain untuk merancakkan sektor ini.

"Penglibatan keusahawanan bukan sahaja di Kuala Tahan, malah penduduk di bandar Jerantut sendiri perlu mencari peluang menambah pendapatan menerusi sektor pelancongan di sini," ujarnya.

Terdahulu, beliau berkata, lawatan peserta dari Sarawak, Sabah dan Labuan menerusi projek inap desa boleh mengeratkan perpaduan antara penduduk tempatan dengan negeri berkenaan.

"Jalinan hubungan ini sewajarnya dikekalkan menerusi pertukaran lawatan dan peluang keusahawanan yang boleh dizahirkan menerusi pasaran produk tempatan antara kedua pihak," katanya.

Beliau menambah, projek itu juga signifikan untuk penduduk Kuala Tahan dan peserta berkongsi dan mengenali budaya dan kesenian masing-masing tanpa mengira etnik dan kepercayaan.

Kemahiran keibubapaan dipertingkat

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

MARAN 4 Jun - Kerajaan Pahang akan melaksana program pembangunan keluarga menerusi kursus dan aktiviti keibubapaan dan kekeluargaan yang boleh meningkatkan tahap pengetahuan serta kemahiran ibu bapa di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, aspek kemahiran keibubapaan dan kekeluargaan perlu diberi penekanan berikutan cabaran hebat ibu bapa dalam mewujudkan keluarga berkualiti.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti sedia ada dan baharu diatur membabitkan golongan wanita yang berperanan membentuk masyarakat kukuh, sihat dan berilmu.

"Negara memerlukan institusi keluarga yang kukuh, berwawasan dan mampu melahirkan individu yang berakhlak, berbudi dan dapat memikul amanah dengan berkesan.

"Ini kerana kecemerlangan dan kesinambungan kemajuan negara yang dirintis pemimpin sekarang bergantung kepada kualiti generasi baharu hari ini," katanya.

Shahaniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas program ziarah 'Kami Prihatin' di Hospital Jengka, di sini kelmarin.

Jelas beliau, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang akan berperanan secara holistik bagi membantu usaha kerajaan meningkatkan martabat wanita di negeri ini.

Beliau mengakui institusi keluarga yang kukuh sahaja dapat membentuk sebuah keluarga dan masyarakat yang dapat menangani cabaran hebat pada zaman globalisasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan