Ahad, 2 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Lembah Harimau di Temerloh

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

Mohd. Sharkar

TEMERLOH 2 Jun - Daerah ini bakal menjadi daya tarikan pelancongan apabila cadangan membuka kawasan Lembah Harimau di Hutan Simpan Krau di sini akan dibuka tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, satu kawasan berdekatan Kampung Kuala Gandah, Lanchang di sini telah dikenal pasti bagi melaksanakan projek tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan awal itu di peringkat permulaan dan kajian akan dilakukan secara menyeluruh termasuk soal keselamatan.

Menurutnya, hutan simpan tersebut yang berkeluasan lebih 72,000 hektar dan bersempadan dengan Raub dan Jerantut merupakan kawasan habitat haiwan seperti harimau, gajah, tapir, rusa, pelanduk, kancil, gajah dan lain-lain selain ditumbuhi pelbagai tumbuhan herba untuk perubatan.

"Sekiranya menjadi kenyataan, kawasan tersebut akan menjadi satu lagi daya tarikan pelancong negeri ini kerana pelancong berpeluang melihat harimau secara terbuka selain gajah yang dipelihara di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah," katanya di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang memberitahu, kerajaan negeri akan meningkatkan prasarana di pusat pelancongan dan riadah negeri ini selain mengadakan lebih banyak promosi keluar negara dalam usaha menarik lebih ramai pelancong asing ke Pahang.

Tambahnya, ia penting kerana pelancong hanya akan melawat jika terdapat daya tarikan istimewa di sesuatu destinasi tersebut kepada mereka.

"Sehubungan itu, saya berharap rakyat yang mahir dan berpengalaman dalam bidang pelancongan tampil memberi pandangan serta cadangan bagi membantu kerajaan Pahang meningkat industri pelancongan negeri ini," katanya.

Pesakit tibi di Pahang meningkat kepada 890 kes tahun lalu

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

TEMERLOH 2 Jun - Jumlah kes penyakit tibi di negeri ini pada tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 890 kes berbanding 788 kes yang dilaporkan pada 2011.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Norhizan Ismail berkata, sebanyak 112 penghidap penyakit tersebut meninggal dunia tahun lalu berpunca daripada batuk berpanjangan dan pelbagai faktor lain termasuk penularan jangkitan kuman HIV.

Menurut beliau, penghidap HIV berisiko mengaktifkan penyakit itu selain berpunca daripada kencing manis, masalah buah pinggang dan dipercayai turut dibawa oleh tenaga kerja asing.

"Penyakit ini perlu dikawal kerana boleh merebak kepada masyarakat melalui ahli keluarga dan orang sekeliling jika mereka yang menghidapnya tidak dikesan lebih awal.

"Kakitangan Jabatan Kesihatan juga antara orang berisiko dijangkiti tibi kerana berada paling hampir dengan mereka yang menghidap penyakit ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Tibi Sedunia peringkat negeri di tanah rancangan Felda Lakum di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 1.4 juta orang meninggal dunia sepanjang 2011 akibat penyakit tibi daripada 8.7 juta kes baharu yang dikesan pada tahun sama.

Jelasnya, sejak tahun 2000, negeri ini berjaya mencapai kadar pengesanan yang disarankan oleh WHO iaitu 70 peratus dan ia berjaya ditingkatkan kepada 85 peratus pada 2011 dan kini 95 peratus sepanjang tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau berharap kempen bertemakan 'Bergerak Bersama Membanteras Tibi: Hidup Tanpa Tibi' dapat memberi kesedaran kepada rakyat menghindari risiko jangkitan penyakit tersebut.

"Kementerian Kesihatan menyasarkan 2015 untuk mengawal penyakit tersebut melalui aktiviti pengesanan terutama di kalangan penduduk berisiko tinggi seperti penghidap HIV, kakitangan jabatan kesihatan, penghuni penjara, pusat serenti, pesakit diabetis, warga emas dan pesakit lain," ujarnya.

Padang Tengku, Merapoh bakal jadi hab perniagaan, destinasi pelancongan

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

KUALA LIPIS 2 Jun - Pekan Padang Tengku dan Merapoh di sini merupakan lokasi pertumbuhan baharu sekali gus menjadi hab perniagaan serta destinasi pelancongan yang memberi kelebihan kepada masyarakat tempatan di daerah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, potensi itu berasaskan pembangunan tanah yang diusahakan untuk produk makanan termasuk projek dusun buah-buahan komersial.

Menurut beliau, projek jajaran Jalan Lingkaran Tengah (CSR) antara Kuala Lipis ke Merapoh sejauh 60 kilometer bernilai RM175 juta yang sedang dalam pembinaan antara pemacu pertumbuhan pekan Padang Tengku dan Merapoh.

"Inilah antara usaha menerusi transformasi kerajaan negeri mengubah kawasan berstatus pedalaman kepada lokasi separuh bandar yang lengkap dengan semua kemudahan asas.

"Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan melaksanakan projek premis perniagaan iaitu pasar, pusat pengumpulan hasil pertanian, stesen bas, dewan dan gerai berdekatan dengan laluan utama Lipis ke Merapoh," katanya kepada pemberita di Merapoh, kelmarin.

Menurut beliau, pembangunan itu memberi peluang penduduk bergiat aktif dalam sektor pertanian dan dua kawasan tersebut menjadi hab berbelanja bagi kalangan penduduk Padang Tengku termasuk Orang Asli.

"Kemudahan jalan raya yang menghubungkan daerah ini dengan Gua Musang, Kelantan antara faktor kawasan ini berkembang maju serta berfungsi sebagai transit kepada semua jenis kenderaan", katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri merancang membangunkan lebih banyak premis di kawasan baharu iaitu Relong, Kechau, Pagar Sasak, Chegar Perah dan Merapoh.

Beliau berkata, projek premis membabitkan lokasi berdekatan jalan raya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku akan dibina bagi memberi peluang peniaga kecil memasarkan hasil kampung termasuk kraftangan dan makanan.

Katanya, pembangunan di kawasan tersebut membuktikan keazaman kerajaan Pahang menaik taraf kehidupan masyarakat desa sekali gus menjadi contoh pembangunan luar bandar berjaya dan berdaya saing di negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan