Sabtu, 1 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Utamakan keselamatan penumpang

Posted: 01 Jun 2013 11:58 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

JERANTUT 1 Jun - Tragedi bot ekspres karam di Belaga, Sarawak baru-baru ini perlu dijadikan iktibar oleh pengusaha bot di Sungai Tembeling di sini supaya mengutamakan keselamatan penumpang yang mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Razak berkata, peringatan itu perlu diambil perhatian pengusaha terlibat dengan menjadikan keselamatan penumpang sebagai faktor utama.

"Soal keselamatan penumpang perlu diberi keutamaan kerana jika berlaku kemalangan akan memerlukan masa panjang untuk mencari dan menyelamat.

"Kemalangan di kawasan sungai tidak seperti kemalangan di darat kerana memerlukan gerakan mencari secara menyeluruh membabitkan pelbagai pihak," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Wan Amizan berkata, air Sungai Tembeling yang deras dan kadang kala melimpahi tebing berikutan hujan lebat di kawasan hulu boleh mengundang bahaya kepada pengguna sungai tersebut.

"Soal keselamatan perlu diberi keutamaan kerana pelancong terutama dari Eropah masih lagi gemar menaiki bot penumpang untuk ke Taman Negara walaupun jalan darat boleh dilalui dengan kenderaan," ujarnya.

Beliau turut menasihati pengusaha bot supaya tidak membawa penumpang berlebihan bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan yang tidak diingini.

"Walaupun belum lagi berlaku kemalangan sungai di daerah ini, namun kita perlu berwaspada untuk mengelakkan daripada berlaku," tegasnya.

Katanya, pengusaha bot perlu menyediakan jaket keselamatan dan memastikan bot mereka berada dalam keadaan baik serta selamat digunakan untuk membawa penumpang.

Pengusaha pelancongan, pengamal media Perancis lawat Taman Negara

Posted: 01 Jun 2013 11:58 AM PDT

ROMBONGAN pengusaha pelancongan dan pengamal media massa dari Perancis bersama-sama Christope Dieme (berdiri, dua dari kanan) dan Nathan Vaithi (berdiri, kiri) gembira ketika mengunjungi Taman Negara di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

JERANTUT 1 Jun - Sebanyak 21 pengusaha pelancongan dan pengamal media massa dari Paris, Perancis mengadakan lawatan ke Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) di Kuala Tahan di sini baru-baru ini.

Kehadiran mereka selama dua hari itu diadakan di bawah program Le Grand Voyage Eductour Malaisie 2013 dengan kerjasama syarikat penerbangan Air France KLM.

Mereka berada di Kuala Lumpur dan Melaka selama seminggu dan kemudian ke Taman Negara di sini serta Terengganu sebelum berlepas pulang ke Paris.

Kumpulan itu diketuai oleh Christope Dieme yang juga Ketua Pegawai Penyelaras Pelancongan Malaysia-Perancis dan turut dihadiri Pengurus MTNR, Nathan Vaithi.

Dieme ketika ditemui pemberita berkata, lawatan itu merupakan usahasama Pejabat Pelancongan Malaysia di Paris bertujuan meninjau pengurusan hospitaliti MTNR dan keindahan alam sekitar di sini.

"Kami hanya melihat dan menyelami Taman Negara Kuala Tahan menerusi laman sesawang, laman sosial dan risalah di Pejabat Pelancongan Malaysia di Paris.

"Kunjungan ini memberi gambaran cukup menarik serta mampu melebarkan kerjasama dalam kalangan pemain industri ini antara kedua-dua negara," katanya.

Menurut beliau, rombongan itu teruja melihat keindahan hutan tropika Taman Negara, selain berpuas hati dengan pengurusan hospitaliti MTNR yang disifatkan sebagai bertaraf antarabangsa.

"Makanan tradisional Melayu di sini sedap dan keunikan alam sekitar sepanjang menyusuri Sungai Tahan serta kegiatan berenang menyeronokkan sekali gus mendekatkan kami dengan penduduk tempatan," ujarnya.

Dalam pada itu Nathan berkata, sebagai tuan rumah kepada tetamu pihaknya menyediakan kemudahan hospitaliti yang sempurna dan kegiatan rekreasi di sekitar taman itu sepanjang lawatan itu.

"Kami bersyukur kerana pengurusan hospitaliti MTNR diiktiraf terbaik sama seperti penginapan di Barat dan memberi impak yang besar dalam industri pelancongan negara," katanya.

Menurutnya, pengurusan MTNR akan berkerjasama dengan semua ejen pelancongan dari seluruh dunia dengan memperhebatkan promosi di samping menjadi tuan rumah lawatan pengusaha berkenaan untuk memacu sektor pelancongan negeri ini di peringkat antarabangsa.

Cabaran Paip bekal air terawat

Posted: 01 Jun 2013 11:58 AM PDT

ROSLAN Abdul Rahman (tiga dari kanan) bersama Amir Khan Ayub Mohamed (dua dari kanan) dan Redzuan Abdul Latif (tengah) ketika meninjau proses merawat air di Loji Bekalan Air Seberang Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

TEMERLOH 1 Jun - Keadaan sumber bekalan air yang mengandungi mendapan melebihi 1,000 NTU menjadi cabaran buat Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) untuk memproses serta membekalkan bekalan air paip bersih dan terawat kepada pengguna di negeri ini.

Pengurus Besar Operasi Paip, Ir. Roslan Abdul Rahman berkata, mendapan dalam sumber bekalan air belum dirawat di negeri ini semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini ekoran aktiviti penerokaan hutan.

Tambahnya, masalah air sungai yang keruh menyebabkan sumber bekalan tersebut mengandungi mendapan tinggi dan tidak boleh dirawat.

"Tugas kita (Paip) hanya merawat dan membekalkan air dirawat kepada pengguna. Jika soal pembangunan ia melibatkan pihak lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Air peringkat negeri di Loji Air Seberang Temerloh di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Korporat Paip, Ir. Amir Khan Ayub Mohamed dan Pengurus Daerah Paip Temerloh, Redzuan Abdul Latif.

Dalam perkembangan sama Roslan berkata, Pahang masih mencatatkan kadar kehilangan air tertinggi di Malaysia iaitu pada kadar 54 peratus berbanding 46 peratus air dirawat yang disalurkan kepada pengguna.

Tambahnya, peratusan itu merupakan satu jumlah yang jauh daripada piawaian kebangsaan iaitu hanya 35 peratus bekalan air dirawat yang hilang.

"Kehilangan air berlaku daripada pelbagai faktor antaranya ialah masalah saluran paip air pecah dan bacaan meter tidak tepat," katanya.

Menurut Roslan, Hari Terbuka Loji Air diadakan bagi memberi peluang kepada orang awam melihat sendiri kaedah pemprosesan air mentah hingga ia dirawat.

Katanya, pada hari biasa Paip tidak membenarkan orang ramai memasuki loji berkenaan tetapi melalui program itu mereka melihat sendiri kaedah rawatan sebelum disalurkan kepada pengguna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan