Jumaat, 7 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


UIAM sambut baik, sedia jumpa

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Jun - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyambut baik tawaran Kumpulan Masgenuine - I Berhad untuk memperbaiki kerosakan alam sekitar yang teruk di kampus induk UIAM di Gombak.

Begitupun tawaran tersebut tidak akan membuatkan mereka membatalkan hasrat untuk mengambil tindakan termasuk undang-undang dan meminta campur tangan kerajaan pusat jika masalah itu berlarutan dan tidak ditangani secara profesional oleh pihak berkaitan.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat universiti tersebut, Prof. Madya Dr. Baharuddin Aziz berkata, UIAM sangat menghargai dan menyambut baik tawaran pihak pemaju yang bersedia untuk memulihkan kerosakan alam sekitar di UIAM.

"Walaupun ada sedikit ragu-ragu mengenai tawaran tersebut, namun jika mereka benar-benar serius, kami berhasrat untuk bertemu dengan pihak pemaju tersebut bagi sama-sama menangani masalah ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tawaran dari syarikat pemaju perumahan hartanah rizab Melayu, Kumpulan Masgenuine - I Berhad hari ini yang bersedia memperbaiki kerosakan alam sekitar di UIAM yang antaranya berpunca daripada kerja-kerja pembukaan tanah oleh pihaknya di kawasan berdekatan.

Punca-punca pencemaran lain yang memburukkan lagi keadaan alam sekitar di sekitar universiti itu termasuklah kegiatan mengorek pasir yang dipercayai dilakukan secara haram oleh operator pasir persendirian dan masalah pembuangan sisa bahan-bahan binaan dalam skala besar sehingga menyebabkan aliran Sungai Pusu tersekat dan tercemar.

Dr. Baharuddin berkata, beliau berharap pihak pemaju tersebut segera mengotakan janji-janji mereka kerana jika masalah berlarutan mereka tidak teragak-agak untuk meneruskan apa sahaja tindakan yang difikirkan wajar.

"Saya berharap masalah ini ada jalan penyelesaiannya secara tuntas lebih-lebih lagi sebelum UIAM bakal menerima kehadiran Presiden baru, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Menteri Pendidikan tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, pihak pemaju hari ini sekali lagi memberikan jaminan bahawa mereka akan mengotakan janji itu kerana dalam masa yang sama mereka perlu memperbaiki tembok sangkar batu yang telah runtuh di kawasan tapak projek mereka di Kampung Sungai Pusu itu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Masgenuine - i-Berhad, Rosianiza Rosly berkata, tembok sangkar batu itu melibatkan kawasan lain yang telah mereka buka sebelum ini dan pihaknya akan memperbaiki tembok tersebut bersekali dengan kerja pemulihan Sungai Pusu yang mengalir masuk ke kampus UIAM.

"Sebelum itu, kami sememangnya berhasrat untuk bertemu dengan pihak UIAM sendiri mengenai perkara ini," katanya.

Lorong khas bas 'diceroboh'

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusan.com.my

PENCEROBOHAN ke atas laluan khas bukan sahaja berlaku ketika jalan sesak pada waktu puncak, bahkan semasa jalan lengang seperti yang dilakukan oleh dua pemandu ini yang dirakamkan di Jalan Raja Laut.

KUALA LUMPUR 6 Jun - Biarpun tanda BAS, TEKSI SAHAJA dicat dengan jelas dengan warna kuning di atas permukaan jalan raya, peringatan tersebut masih gagal mendidik pemandu kenderaan persendirian daripada menceroboh laluan khas yang diwujudkan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi yang mempunyai laluan tersebut mendapati, bukan sedikit pengguna yang tidak mengendahkan larangan itu dan dengan selamba mengekori teksi atau bas yang berada di laluan terbabit.

Di Jalan Raja Laut berdekatan kompleks beli-belah Sogo dan Bangunan Medan Mara misalnya, ramai pemandu kenderaan persendirian yang menceroboh laluan khas itu sebagai jalan mudah untuk mengelak kesesakan di laluan mereka.

Pemandu-pemandu terbabit kerap kali dilihat menggunakan lorong khas itu ketika berhenti untuk menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Sikap tersebut ternyata menyusahkan pemandu teksi dan bas bandar yang mahu berhenti di hentian sepanjang jalan itu.

Selain itu, terdapat juga pengguna yang memberhentikan kenderaan mereka sesuka hati di bahu jalan untuk melakukan urusan masing-masing.

Malah, sikap pemandu bas pelancong dan bas yang bukan mengambil dan menurunkan penumpang di hentian berdekatan memburukkan lagi keadaan.

Bas tersebut dilihat berhenti dalam tempoh terlalu lama di hentian itu sehingga mengganggu operasi teksi atau bas bandaran.

Difahamkan, perbuatan itu berlaku kerana kurang atau boleh dikatakan tiada pemantauan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak-pihak berwajib.

Jika begini sikap masyarakat kota dan pihak berkuasa yang tidak mengambil serius, sampai bila pun usaha untuk menjadikan kenderaan awam sebagai pengangkutan utama di Kuala Lumpur tidak akan berjaya.

Ini kerana bas terutamanya lambat sampai ke destinasi kerana laluannya diganggu manakala tambang teksi akan meningkat walaupun tayar tidak bergolek.

Sementara itu, tinjauan di Jalan Ampang dan beberapa lokasi lain turut menemui masalah yang sama apabila pengguna jalan raya tidak mengambil serius kewujudan lorong khas tersebut.

Tidak kurang juga yang memandu di laluan tersebut sambil menggunakan telefon bimbit tanpa kit bebas tangan.

Kenaikan caj tempat letak kereta hasil kajian mendalam - MBSA

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

SHAH ALAM 6 Jun - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini menjelaskan cadangan kenaikan caj letak kereta daripada 40 sen kepada 60 sen sejam di kawasan pentadbirannya dibuat mengikut prosedur dan kajian mendalam.

Menurut Timbalan Pengarah Komunikasi dan Korporat, Shahrin Ahmad, cadangan tersebut telah dibentang di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Kelima, MBSA yang dihadiri Ahli-ahli Majlis MBSA pada 22 Mei lepas.

"Hasil daripada perbincangan di dalam mesyuarat tersebut, Ahli-ahli MBSA telah bersetuju supaya usul kenaikan kadar caj tempat letak kereta tersebut dibentang bagi mendapat kelulusan pada mesyuarat penuh MBSA.

"Pada 29 Mei lalu, dalam mesyuarat penuh MBSA, usul tersebut telah diluluskan untuk pelaksanaan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Shahrin berkata, ketetapan untuk menaikkan kadar caj tempat letak kereta itu dibuat berdasarkan kadar caj semasa telah diguna pakai sejak 15 tahun lalu.

Jelasnya lagi, kadar caj yang dikenakan pada masa ini amat rendah dan tidak sesuai dengan situasi semasa serta cajnya amat berbeza dengan caj tempat meletak kereta di kawasan majlis bandar raya lain di negeri ini dan negeri lain.

"Sebagai contoh, bagi caj sejam, MBSA masih mengenakan 40 sen, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 50 sen, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 60 sen, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 60 sen dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 60 sen.

"Dalam kajian tersebut, MBSA juga telah membuat perbandingan kadar caj letak kereta yang diuruskan oleh pihak swasta di tempat letak kereta awam dan kompleks beli-belah, didapati bahawa kadar caj yang diguna pakai oleh MBSA masih lagi dianggap rendah berbanding kadar caj yang diuruskan oleh pihak swasta iaitu di antara RM1 hingga RM4 sejam," jelasnya.

Beliau menambah, sebagai perbandingan, Hotel Bluewave Shah Alam mengenakan caj RM4 sejam pertama dan jam berikutnya RM3 sejam, manakala caj di Kompleks PKNS ialah RM1.50 untuk sejam pertama dan setiap sejam berikutnya RM1.

Alasan yang diberikan oleh MBSA untuk menaikkan kadar caj ini sebelum ini mendapat kritikan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menganggap MBSA berfikiran konservatif.

Katanya, MBSA sepatutnya berbangga jika dapat mengekalkan kadar lebih murah dan tidak mengikuti kenaikan caj di tempat lain.

0 ulasan:

Catat Ulasan