Rabu, 5 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


MBSA berfikiran konservatif - Khalid

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
kota@utusan.com.my

SHAH ALAM 4 Jun - Alasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menaikkan kadar caj tempat letak kereta daripada 40 sen satu jam kepada 60 sen melambangkan pihak berkuasa tempatan itu (PBT) mempunyai satu bentuk pemikiran konservatif, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Ahli Parlimen daripada Pas itu, yang membantah langkah kenaikan itu berkata, alasan MBSA itu adalah suatu yang tidak munasabah kerana PBT itu sepatutnya berbangga jika dapat mengekalkan caj sedia ada dalam tempoh yang lama.

Beliau berkata, MBSA sewajarnya melihat kepentingan orang ramai terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan termasuk mengekalkan perkhidmatan yang baik dengan kos yang rendah.

"Lainlah sekiranya MBSA terpaksa menaikkan kadar caj tersebut kerana PBT itu berhadapan dengan kenaikan kos perkhidmatan sehingga menyebabkan mereka menanggung rugi.

"MBSA memberikan hujah bahawa kadar lama telah diperkenalkan sejak tahun 1998 selain membandingkan kadar tersebut dengan di bandar raya lain di Selangor.

"Bagi saya, itu bukan alasan yang semestinya diguna pakai, perkara itu menunjukkan satu pemikiran yang konservatif.

"MBSA kita harapkan mempunyai satu pemikiran yang kreatif dengan memperkenalkan pelbagai kaedah baru bagi membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang baik, dalam masa sama mengekalkan kos yang terendah," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 29 Mei lalu, MBSA mengumumkan bakal menaikkan kadar bayaran tempat letak kereta di kawasan pentadbirannya tidak lama lagi.

Pengumuman kenaikan kadar bayaran tempat letak kereta daripada 40 sen sejam kepada 60 sen sejam itu diumumkan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MBSA baru-baru ini.

Menurut Mohd. Jaafar, kenaikan itu wajar memandangkan kadar 40 sen satu jam telah diperkenal sejak 1998 selain menganggap kadar itu juga masih terendah berbanding pihak berkuasa lain di Selangor yang mengenakan kadar antara 50 sen hingga 60 sejam.

Kerajaan Selangor jangan main wayang, tunai manifesto segera - GPRS

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Jun - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didesak tidak lagi bermain wayang dalam menunaikan manifesto yang dijanjikan pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kesemua manifesto itu harus dilaksanakan segera sebagai tanda menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan menghormati hak rakyat negeri tersebut.

"Sebagai permulaan, PKR Selangor perlu menunaikan janji pada 2008 dengan membantu setiap rakyat mendapatkan kediaman sendiri, memberi bantuan RM75 sebulan pada setiap anak yang dihantar ke nurseri, memberi bantuan RM50 sebulan untuk pendidikan prasekolah, memberikan bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga dan sebagainya.

"Selepas itu, kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menunaikan janji terbaharunya antaranya bantuan wang tunai RM500 kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan kali pertama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sohaimi berkata, rakyat Selangor juga akan menagih janji pengwujudan Biasiswa Menteri Besar untuk pelajar ijazah lanjutan dengan bon kerajaan negeri sebagai usaha membentuk sebuah Bank Pemikir Negeri Selangor.

Oleh itu, jelasnya, Abdul Khalid tidak boleh memandang sepi setiap manifesto yang dijanjikan sebelum ini kerana rakyat Selangor enggan mendengar alasan seperti 'manifesto bukan janji'.

Beliau berkata, tiada alasan lagi bagi PKR untuk 'mengelat' daripada menunaikan manifesto mereka yang kononnya mengandungi empat teras iaitu Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat, Rakyat Menerusi Aktiviti Keagamaan dan Kebudayaan serta Kerajaan Rakyat.

Katanya, rakyat Selangor ingin menyaksikan kerajaan negeri menunaikan janji untuk mempertingkat kecekapan memproses urusan pemilikan tanah serta meneruskan tawaran bagi pemilikan geran tanah persendirian kepada pemohon yang layak, termasuk mereka yang menghuni lebih 12 tahun.

Jelas beliau, selain itu, rakyat turut menanti Abdul Khalid memperluaskan 'Polis Komuniti' yang dibiayai kerajaan negeri, memberi pemeriksaan percuma kanser testis dan prostat untuk kaum lelaki.

"Rakyat kali ini akan serius dalam memastikan kerajaan negeri melunaskan janji-janji mereka, tiada lagi peluang akan diberikan kepada Abdul Khalid sekiranya gagal lagi menunaikan janji tersebut," tegasnya.

Pembeli boleh berasa lega

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Ahmad Phesal Talib (dua, kiri) bersama beberapa penduduk meninjau keadaan jalan di Taman Rowther, Kuala Lumpur sempena lawatannya semalam manakala gambar kanan adalah sebahagian daripada rumah yang terbengkalai yang akan disempurnakan pembinaannya oleh DBKL.

KUALA LUMPUR 4 Jun - Pembeli rumah berkembar dua setengah tingkat dan tiga tingkat di Taman Rowther boleh menarik nafas lega kerana projek pembinaan yang tergendala sejak tujuh tahun lalu itu bakal siap selewat-lewatnya hujung Julai depan.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, melalui perjumpaan pihaknya dengan penduduk terlibat serta pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 18 Disember tahun lalu, DBKL telah mengambil keputusan untuk meneruskan projek berkenaan.

"Sebanyak 48 unit rumah daripada 207 unit masih terbengkalai manakala tiga laluan iaitu Jalan Amzil, Jalan Batu Jauhar dan Lorong Sisi akan dilebarkan. Kos keseluruhan adalah RM700,000.

"Pihak KPKT bersetuju menyerahkan deposit pemaju sebanyak RM200,000, manakala selebihnya iaitu RM500,000 ditanggung oleh DBKL," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai cadangan kerja-kerja projek terbengkalai itu di sini hari ini selepas melawat kawasan perumahan itu hari ini.

Jelas Ahmad Phesal, daripada jumlah RM500,000 itu, sebanyak 40 peratus akan dibayar semula oleh pembeli melalui cukai pintu masing-masing dalam tempoh yang dipersetujui.

"Pembeli akan membayar kembali baki kos pembiayaan projek ini yang didahulukan oleh DBKL," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Phesal berkata, pihaknya mengambil inisiatif menyiapkan projek berkenaan kerana telah hampir siap.

"Sebahagian pembeli telah memasuki rumah (yang telah siap).

"Selain itu, pemaju sebelum ini telah menyerahkan sebahagian tanah untuk tujuan pembinaan jalan raya yang akan diserahkan kepada DBKL," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan