Isnin, 3 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Rumah terbiar jadi 'port' dadah

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusan.com.my

Omar Awang menunjukan kesan terbakar yang dipercayai akibat perbuatan penagih dadah yang menjadikan rumah ini sebagai tempat melepaskan ketagihan.

AMPANG JAYA 2 Jun - Sebuah rumah yang terbiar dan dipenuhi semak-samun di Taman Permai Jaya dekat sini menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kawasan itu kerana menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian.

Rumah teres dua tingkat yang bagaikan terletak di dalam hutan rimba itu dipercayai ditinggalkan pemiliknya lebih 10 tahun lalu dan turut menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, terdapat kesan terbakar di tingkat atas rumah tersebut yang didakwa penduduk akibat perbuatan 'mat gian'.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Jaya Fasa 2, Basri Yahaya berkata, penagih dadah kebiasaannya mengunjungi rumah tersebut bermula pada waktu petang sehingga lewat malam.

"Kami tidak dapat mengenal pasti pemilik rumah tersebut yang sudah lama membiarkan rumah terbabit sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk," katanya di sini hari ini.

Tambah Basri, faktor keselamatan menjadi keutamaan kepada mereka kerana bimbang sesuatu yang buruk akan menimpa penduduk rumah berdekatan.

"Malah, kecurian turut berlaku sejak akhir-akhir ini dan terbaharu saya menjadi mangsa apabila tong gas yang memang diletak di luar rumah hilang ketika saya pulang ke kampung minggu lalu," ujarnya.

Penduduk, Datuk Omar Awang berkata, mereka pernah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebelum ini dan pihak berkuasa tempatan itu hanya datang untuk menebas semak-samun.

"Tindakan itupun sudah lama dilakukan dan kami pasti MPAJ memiliki rekod pemilik rumah ini dan mungkin boleh mengambil tindakan selanjutnya demi keselesaan penduduk.

"Penduduk yang membayar cukai pintu berhak mendapatkan perkhidmatan yang terbaik daripada MPAJ termasuk faktor keselamatan kawasan kejiranan," katanya.

Seorang lagi penduduk, S. Mariamuthu, 49, berkata, dia pernah mengejar dua lelaki yang melarikan pintu pagar rumahnya yang sedang diubah suai.

Akibat kejadian itu, Mariamuthu yang merupakan jiran paling hampir dengan rumah terbiar itu risau akan menjadi mangsa kecurian yang lebih besar selepas ini.

"Kalau boleh MPAJ lakukan sesuatu kerana saya bimbang, apatah lagi apabila jika terpaksa meninggalkan isteri dan tiga orang anak di rumah," katanya.

Kencing tikus: MBSA hentikan operasi peniaga pengotor

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

SHAH ALAM 2 Jun - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak akan teragak-agak menutup mana-mana restoran dan gerai makanan MBSA yang mengendalikan makanan dalam suasana persekitaran yang kotor.

Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd.Jaafar Mohd.Atan, pihaknya bertindak sedemikian bagi menghalang penularan penyakit seperti penyakit kencing tikus atau leptospirosis di kawasan pentadbiran MBSA.

"Baru-baru ini, kami mendapat laporan kes leptospirosis di negeri ini daripada Jabatan Kesihatan dan kami tidak mahu penyakit sedemikian yang jarang berlaku di Shah Alam menjadi satu wabak.

"Oleh sebab itu, dalam Kempen Zon Bersih Mega MBSA hari ini, saya telah menasihatkan operator-operator makanan di Seksyen 2, Seksyen 3 dan Seksyen 4 untuk beroperasi dalam keadaan bersih, agar tikus tidak membiak dan berkeliaran di dalam longkang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Zon Bersih Mega 2013 di Dewan MBSA Seksyen 4, di sini hari ini.

Mohd. Jaafar berkata, beliau turut memberi sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada Jabatan Perkhidmatan Bandar (JPB) untuk menutup dua restoran mahu pun gerai makan setiap minggu jika peniaga-peniaga tersebut masih bersikap pengotor.

"Tiada alasan untuk pengusaha makanan tidak mahu beroperasi secara bersih, kerana di negara berpenduduk padat seperti Indonesia, restorannya bersih, bilik airnya amat bersih dan ada ruang untuk menunaikan solat pula.

"Malah di negara Vietnam yang baru beberapa tahun membangun pengendali makanannya mengamalkan nilai-nilai kebersihan dalam penyediaan makanan hingga kita tidak risau untuk makan di restoran di negara terbabit," jelasnya.

Mengulas mengenai program tersebut, Mohd. Jaafar berkata, sambutan amat menggalakkan daripada penduduk di ketiga-tiga seksyen dan program sama akan diadakan pada 7 Julai depan di kawasan sama dengan kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Penduduk Shah Alam merungut MBSA naikkan caj letak kereta

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

SHAH ALAM 2 Jun - Kenaikan kadar caj letak kereta di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) daripada 40 sen sejam kepada 60 sen sejam mengundang kritikan masyarakat bandar raya ini.

Ini kerana kebanyakan mereka merasakan kenaikan caj letak kereta itu sebagaimana yang diumumkan oleh Datuk Bandar, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan minggu lalu, membebankan rakyat.

Seorang pekerja swasta di Seksyen 9 di sini, Jamaluddin Hussain, 38, berkata, sebaiknya kerajaan negeri amnya dan MBSA khususnya meneliti cadangan tersebut kerana kenaikan tersebut membebankan pengguna sepertinya yang bekerja dari 8 pagi hingga 6 petang.

"Walaupun caj letak kereta naik hanya 20 sen, tetap membebankan. MBSA sepatutnya memperbaiki infrastruktur di kawasan ini sebelum membuat keputusan menaikkan caj tersebut.

"Jalan-jalan di sini perlu diperbaiki atau dinaik taraf, kerana turapan jalan yang dibuat oleh kontraktor MBSA sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dibuat secara sambil lewa dan menyebabkan bahu jalan menjadi tinggi," katanya.

Kata-kata Jamaluddin senada dengan seorang peniaga dari Setia Alam, Saiful Ahmad, 28, yang menganggap kenaikan caj tersebut dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil kira pandangan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri perlu mengutamakan kebajikan rakyat dan tidak menjadikan caj letak kereta sebagai sumber pendapatan utama pihak MBSA.

"Bukan semua tempat di bandar raya ini mempunyai masalah letak kereta hingga perlu dikenakan caj yang tinggi bagi mengurangkan masa penggunaannya.

"Shah Alam bukan seperti Subang Jaya mahupun Ampang, yang mana apabila kita dapat letak kereta seperti mendapat harta karun.

"Di Seksyen 7 ini pun petak letak kereta banyak, 40 sen sejam sudah memadai," tegasnya.

Seorang guru dari Seksyen 18, Khairunisa Md.Yunos, 26, berpandangan, walaupun kadar 60 sen dianggap berpatutan namun rakyat berhak dimaklumkan sebab-sebab khusus kenaikan tersebut terpaksa dilakukan.

"Kenapa caj letak kereta 60 sen ingin dilaksanakan secara mendadak selepas PRU-13, MBSA perlu telus dalam memberi justifikasi kepada kenaikan tersebut.

"Jika MBSA tetap mahu menaikkan caj tersebut, bandar raya ini perlu mempunyai jalan yang berkualiti dan perlu disenggara lebih kerap. Apa guna petak letak kereta cantik tetapi jalan raya ke petak tersebut berlubang di sana sini," ujarnya.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari mengucapkan 'tahniah' kepada kerajaan negeri kerana mereka berjaya membuktikan betapa 'berkebajikannya' mereka.

"Semasa berkempen dalam PRU-13, mereka mahu menghapuskan tol dan memberi pendidikan tinggi percuma, tetapi apabila diberi kuasa kembali terus menaikkan caj letak kereta daripada 40 sen kepada 60 sen. Memang cakap tidak serupa bikin," katanya ketika dihubungi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan