Sabtu, 1 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Pembangunan lebih sistematik

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) diiringi Ahmad Phesal Talib (kanan) melihat bangunan contoh dalam majlis Pelancaran Tatacara Baharu Kelulusan Kebenaran Pembangunan (KL Is BesT) dan MoU Intergrity Pack di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 31 Mei - Proses permohonan kebenaran merancang melalui kaedah yang dikenali sebagai 'KL IS BEST' dilihat mampu meningkatkan aspek kawalan pembangunan agar lebih sistematik, efisien dan cepat.

Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, inisiatif yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu secara tidak langsung dapat menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang berdaya saing, cekap dan maju seiring dengan negara maju.

Menurutnya, usaha itu juga selari dengan hasrat kementerian dan DBKL sendiri yang mahu melihat ibu kota ini ditingkatkan ke satu tahap yang lebih tinggi dan baik dalam aspek 'berurusan dengan permit pembinaan'.

"Antara usaha yang perlu diambil kira oleh DBKL bagi menjayakan kaedah baharu ini termasuklah meningkatkan perkhidmatan bandar agar persekitaran bandar bersih dan kemas serta meningkatkan rangkaian pengangkutan dan tempat pejalan kaki yang selesa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Tatacara Baharu Kelulusan Kebenaran Pembangunan (KL IS BEST) dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Integrity Pack antara DBKL dengan 10 pemaju.

DBKL diwakili Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib manakala pemaju terdiri daripada Tetuan RSP Architects Sdn. Bhd., Tetuan NRY Architects Sdn. Bhd., Tetuan Design Collective Architects, Tetuan Perunding Alam Bina Sdn. Bhd. dan Tetuan Retro Highland Sdn. Bhd.

Turut terlibat Tetuan SS Planning & Consult, Tetuan MAA Sdn. Bhd., Tetuan I&P Group Sdn. Bhd., Tetuan GDP Architects Sdn. Bhd. dan Tetuan Twin Pavilion Sdn. Bhd.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata, sistem tersebut akan memastikan keperluan-keperluan teknikal, aspek keselamatan, keselesaan, kesejahteraan, reka bentuk dapat dinilai serentak.

"Ini berbeza dengan sistem terdahulu iaitu pelan pembangunan dikemukakan serentak tetapi dalam bentuk berasingan.

"Akibatnya berlaku percanggahan dan pertindihan di antara satu set pelan permohonan dengan set permohonan yang lain," katanya.

Mengulas mengenai MoU berkenaan Ahmad Phesal berkata, ia bertujuan memastikan semua pihak yang terlibat dengan aspek kawalan pembangunan menjaga profesionalisme masing-masing.

"Termasuklah aspek integriti yang mantap supaya setiap pembangunan yang diluluskan adalah berkualiti," katanya.

Kerja naik taraf Jalan Genting Klang ke JLT2 bermula

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Mohd. Khir Abd. Rahman (empat dari kanan) bersama kontraktor melihat pelan kerja-kerja naik taraf Jalan 1/27A, Jalan Genting Klang hingga ke persimpangan Jalan Lingkaran Tengah 2 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 31 Mei - Kerja-kerja menaik taraf Jalan 1/27A, Jalan Genting Klang hingga ke persimpangan Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) di sini kini bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2015.

Ia melibatkan pelebaran sebahagian Jalan Genting Klang sepanjang 1.5 kilometer (KM) daripada empat lorong menjadi enam lorong.

Projek tersebut yang bermula sejak 15 Mei lalu itu bertujuan bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang dialami pengguna jalan raya sejak sekian lama.

Tinjauan Utusan Malaysia ke tapak projek berkenaan hari ini mendapati, pihak kontraktor giat menjalankan kerja-kerja pembersihan, penandaan sempadan tanah dan pengesanan kabel utiliti di bawah tanah.

Jurutera Projek Jabatan Kejuruteraan dan Saliran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ir. Mohd. Khir Abd. Rahman berkata, ia merupakan kerja-kerja peringkat awal sebelum kerja-kerja pelebaran jalan dan pembinaan sistem perparitan dilaksanakan.

"Kerja-kerja tersebut berjalan lancar dan baru lima peratus dijalankan. Ia mengambil sekurang-kurangnya seminggu untuk diselesaikan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khir, kabel-kabel utiliti itu melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan lain-lain.

"Kita akan mengalihkan kabel-kabel berkenaan sekiranya ia terlibat dengan kerja-kerja pelebaran jalan bagi mengelakkan kerosakan atau masalah lain," jelasnya.

Katanya, pihak DBKL turut berbincang dengan wakil-wakil penduduk dan kolej berdekatan bagi memberikan penerangan kepada mereka mengenai projek ini selain mendengar pandangan dan mengambil kira kehendak penduduk.

Sementara itu, Pengarah Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL, Ir. Tan Keng Chok berkata, projek tersebut bakal memberi impak kepada para pengguna demi keselesaan mereka.

"Projek yang melibatkan kos sebanyak RM27 juta itu akan mengatasi masalah kesesakan jalan raya ketika waktu puncak di situ. Sudah tiba masanya untuk melebarkan jalan tersebut dalam memastikan para pengguna selesa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, pihak DBKL turut membina dua buah jejantas pejalan kaki di persimpangan Taman Bunga Raya dan persimpangan masuk ke Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) di Wangsa Maju.

Pihak kontraktor yang dilantik juga dipertanggungjawab untuk menjajar dan membina semula longkang sepanjang lima kilometer di jalan tersebut.

Kerja-kerja tanah termasuk menanam cerucuk dan membina tembok penahan di sebelah kawasan hijau dan cerun Pusat Latihan Polis Tentera (Pulapot) juga akan dilakukan.

Penduduk Shah Alam merungut MBSA naikkan caj letak kereta

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

SHAH ALAM 31 Mei - Kenaikan kadar caj letak kereta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) daripada 40 sen sejam kepada 60 sen sejam terus mengundang kritikan masyarakat bandar raya ini.

Ini kerana kebanyakan mereka merasakan kenaikan caj letak kereta itu sebagaimana yang diumumkan oleh Datuk Bandar, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan kelmarin, membebankan rakyat.

Seorang pekerja swasta di Seksyen 9 di sini, Jamaluddin Hussain, 38, berkata, sebaiknya kerajaan negeri amnya dan MBSA khususnya meneliti cadangan tersebut kerana kenaikan tersebut membebankan pengguna sepertinya yang bekerja dari 8 pagi hingga 6 petang.

"Walaupun caj letak kereta naik hanya 20 sen, ia tetap membebankan. MBSA sepatutnya memperbaiki infrastruktur di kawasan ini sebelum membuat keputusan menaikkan caj tersebut.

"Jalan-jalan di sini perlu diperbaiki atau dinaik taraf, kerana turapan jalan yang dibuat oleh kontraktor MBSA sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dibuat secara sambil lewa dan menyebabkan bahu jalan menjadi tinggi," katanya.

Kata-kata Jamaluddin senada dengan seorang peniaga dari Setia Alam, Saiful Ahmad, 28,.

Dia menganggap kenaikan caj tersebut dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil kira pandangan rakyat yang memilih kerajaan negeri semasa.

Katanya, kerajaan negeri perlu mengutamakan kebajikan rakyat dan tidak menjadikan caj letak kereta sebagai sumber pendapatan utama pihak MBSA.

"Bukan semua tempat di bandar raya ini mempunyai masalah letak kereta hingga perlu dikenakan caj yang tinggi bagi mengurangkan masa penggunaannya.

"Shah Alam bukan seperti Subang Jaya mahupun Ampang, yang mana apabila kita dapat letak kereta seperti mendapat harta karun. Di Seksyen 7 ini pun petak letak kereta banyak, 40 sen sejam sudah memadai," tegasnya.

Seorang guru dari Seksyen 18, Khairunisa Md.Yunos, 26, berpandangan, walaupun kadar 60 sen dianggap berpatutan namun rakyat berhak dimaklumkan sebab-sebab khusus kenaikan tersebut terpaksa dilakukan.

"Kenapa caj letak kereta 60 sen ingin dilaksanakan secara mendadak selepas PRU-13, MBSA perlu telus dalam memberi justifikasi kepada kenaikan tersebut.

"Jika MBSA tetap mahu menaikkan caj tersebut, bandar raya ini perlu mempunyai jalan yang berkualiti dan perlu disenggara lebih kerap. Apa guna petak letak kereta cantik tetapi jalan raya ke petak tersebut berlubang di sana sini," ujarnya.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari mengucapkan 'tahniah' kepada kerajaan negeri kerana mereka berjaya membuktikan betapa 'berkebajikannya' mereka.

"Semasa berkempen dalam PRU-13, mereka mahu menghapuskan tol dan memberi pendidikan tinggi percuma, tetapi apabila diberi kuasa kembali terus menaikkan caj letak kereta daripada 40 sen kepada 60 sen. Memang cakap tidak serupa bikin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan