Khamis, 8 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Jangan kata DBKL kejam’

Posted: 07 Nov 2012 02:27 PM PST

KUALA LUMPUR: "Bila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ambil tindakan, mereka kata kerajaan kejam sedangkan tindakan mereka menyewakan rumah awam DBKL kepada orang lain telah menutup peluang lebih 38,000 lagi pemohon.

"DBKL sudah batalkan perjanjian dengan 50 penyewa kerana menyewakan rumah dan sedang mengenal pasti 450 penyewa lagi untuk dikenakan tindakan undang-undang," kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.


Menurut beliau, penyewa di kira-kira 56,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) yang disewa daripada DBKL dengan bayaran RM124 sebulan tidak sepatutnya mengaut untung mudah.

Raja Nong Chik berkata, ada segelintir penyewa PPR dan PPA menyewakan semula rumah berkenaan pada harga lebih tinggi, iaitu antara RM600 hingga RM700 bergantung kepada lokasi.


"Sepatutnya, jika sudah tidak tinggal lagi di rumah terbabit, mereka perlu serahkannya semula kepada DBKL untuk disewakan pula kepada kira-kira 38,000 pemohon yang layak sejak 2005.


"Jangan nanti bila DBKL ambil tindakan, mereka kata kita kejam, sedangkan mereka yang melanggar undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Deepavali kepada 450 keluarga miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Keramat Mall, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Sukiman Surahman.


Sukiman dalam pada itu berkata, DBKL akan mengeluarkan notis 30 hari kepada kepada 450 penyewa PPR dan PPA sebelum mengunci rumah itu dalam tempoh 14 hari dan merampasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


Kebakaran kilang perabot awal pagi bongkar rahsia

Posted: 07 Nov 2012 02:27 PM PST

SUBANG JAYA: Kebakaran besar membabitkan dua kilang perabot di Subang 4, Zon Industri USJ 1, di sini, awal pagi semalam, membongkar rahsia pemilik premis itu tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba, Mohd Khairi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.27 pagi sebelum api berjaya dikawal kira-kira dua jam kemudian.


Menurutnya, dua jentera bersama 20 anggota masing-masing dari balai Subang Jaya dan Seksyen 7, Petaling Jaya serta jentera tangki air dari Shah Alam digegaskan ke tempat kejadian.

"Kebakaran disedari seorang pekerja warga Indonesia yang menghuni di kawasan berhampiran selepas ternampak asap tebal keluar dari kilang yang terbakar.


"Dia kemudian menghubungi pihak bomba dan tindakan pantasnya itu membolehkan kami sampai tepat pada masanya dan dapat mengelak kebakaran lebih besar berlaku berikutan kedudukan premis di situ yang rapat antara satu sama lain.


Mohd Khairi berkata, ketika kejadian tiada sesiapa dalam kawasan itu, namun kilang yang menjadi tempat menghasilkan perabot musnah terbakar 100 peratus "Bahagian tingkat satu yang menempatkan ruang pejabat kilang runtuh dan api marak berjaya dikawal 30 minit selepas itu.

"Kami percaya kebakaran bermula dari sebuah kilang sebelum merebak ke unit terletak bersebelahan. Kerja pemadaman dilakukan pantas bagi mengelak api merebak ke premis lain," katanya.


Katanya, Jabatan Forensik Bomba sudah melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian, malah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan. "Siasatan awal mendapati kilang terbabit tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bomba ketika ia dibina dan dipercayai beroperasi secara haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


Tiada ulasan:

Catat Ulasan