Rabu, 7 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tiga bulan RM3j

Posted: 06 Nov 2012 09:36 AM PST

SERDANG: Baru tiga bulan bergiat aktif, sekumpulan penyamun mampu mengaut keuntungan kira-kira RM3 juta hanya dengan menyamun 11 kediaman di sekitar daerah Serdang sejak Ogos lalu.

Kumpulan berkenaan bagaimanapun akhirnya tumpas apabila polis menahan dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun selepas terserempak dengan mereka yang berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 10 malam di Jalan Bandar 3, di Puchong, dekat sini, Khamis lalu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dua lelaki terbabit menaiki sebuah kereta Proton Wira dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Dua suspek terbabit bagaimanapun enggan memberhentikan kereta walaupun diarah, sebaliknya terus memecut ke arah Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) sebelum dipintas kereta peronda polis.


"Berlaku sedikit pergelutan antara anggota dan suspek terbabit, namun mereka berjaya diberkas," katanya.


Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, lima lagi suspek termasuk tiga wanita warga asing iaitu dua warga Thailand dan seorang Indonesia ditahan di sebuah kondominium di Jalan Putra Mas, Kuala Lumpur, kira-kira jam 6.30 pagi.

Katanya, hasil tangkapan kedua, pihaknya membuat serbuan ketiga di sebuah hotel di Off Jalan Klang Lama, di Puchong dan berjaya menahan tiga lelaki kira-kira jam 1 pagi, Sabtu lalu.


"Semua yang ditahan berusia antara 22 dan 45 tahun serta mempunyai rekod jenayah lampau bersabit pelbagai kes antaranya samun, pecah rumah dan dadah.

"Turut ditahan, seorang lelaki berusia 46 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pembeli barangan yang disamun kumpulan berkenaan di sebuah kedai membaiki televisyen di Puchong Jaya, dekat sini, kelmarin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07


RM40,000 lesap, RM3,000 ‘disedut’

Posted: 06 Nov 2012 09:33 AM PST

SHAH ALAM: Terpedaya dengan janji bakal memperoleh keuntungan RM320,000, seorang usahawan wanita dari Seksyen 7, di sini, mendakwa ditipu dan dipukau sekumpulan lelaki mengakibatkan kerugian RM40,000, Ogos lalu.

Tidak cukup setakat itu, ahli perniagaan terbabit, Azizah Che Meh, 29, berdepan pula kehilangan wang kutipan perniagaan lebih RM3,000 dipercayai 'disedut' menggunakan sihir selepas kejadian itu hingga dia trauma dan terpaksa mendapatkan bantuan pengamal perubatan Islam.


Azizah ketika ditemui berkata, semua masalah itu berpunca apabila tiga lelaki menghubunginya pada 28 Ogos lalu yang kononnya mahu mendapatkan perkhidmatan katering syarikatnya bagi satu majlis membabitkan kos ratusan ribu ringgit.

"Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Alias datang berjumpa saya di sebuah restoran di Padang Jawa, di sini dan pada pertemuan itu, Alias bersama dua rakannya itu pada mulanya berbincang mengenai perkhidmatan katering itu.


"Selepas itu mereka mula bercerita mengenai penjualan tanah di Meru, Klang yang didakwa boleh mendatangkan keuntungan. Alias meminta saya menjadi ejen kerana tanah itu akan dibeli seorang yang dikenali sebagai Datuk Syed yang bersedia membayar RM920,000 dan mereka akan memperoleh keuntungan RM320,000," katanya.


Azizah yang memiliki tiga restoran di Seksyen 7, Padang Jawa dan TTDI Jaya, di sini, berkata, pada pertemuan kali kedua di Subang Jaya, dia menyerahkan RM40,000 kepada seorang lelaki didakwa menantu pemilik tanah berkenaan selepas dipujuk Alias.

Menurutnya, dia kemudian diberikan satu dokumen surat kuasa bagi urusan penjualan tanah itu manakala Alias pula meyakinkannya sebahagian lagi wang yang perlu dibayar kepada pemilik asal tanah sudah dijelaskannya.


Katanya, dia langsung tidak merasa apa-apa, tetapi hanya keesokannya selepas Subuh, baru dia berasa tidak sedap hati dan membuat pemeriksaan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Selepas diperiksa, dua nama dalam surat kuasa itu memang wujud, tetapi nombor kad pengenalan palsu. Lebih menyedihkan, pemeriksaan terhadap tiga nombor telefon yang menghubungi saya juga semuanya menggunakan kad pengenalan palsu," katanya yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07


Tiada ulasan:

Catat Ulasan