Isnin, 5 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Ulat Arab’ terus rakus

Posted: 04 Nov 2012 02:07 PM PST

KUALA LUMPUR: Kerakusan ulat teksi Arab di Bukit Bintang, di sini, mendapatkan mangsanya berterusan biarpun pelbagai usaha dijalankan pemandu tempatan membasmi masalah berkenaan.

Malah, kebanyakan mereka mengorbankan cuti hujung minggu semata-mata mahu mencekup ulat teksi kerana bimbang sekiranya ia dibiarkan, perkara itu menjejaskan periuk nasi mereka selain menjejaskan ekonomi Malaysia.


Harian Metro 12 Oktober lalu melaporkan terdapat 300 ulat teksi Arab di kawasan itu yang menawarkan pakej perjalanan 'eksklusif' kepada pelancong Timur Tengah dengan caj RM5,000 bagi percutian ke pusat peranginan.

Tinjauan Harian Metro baru-baru ini di beberapa kawasan seperti Jalan Kampung, Jalan Kamunting dan Jalan Bukit Bintang mendapati ulat teksi terbabit masih wujud dan aktif menawarkan pelbagai pakej kepada pelancong. Presiden Persatuan Pemandu Teksi Bestari, Mohammed Asharaf Abdullah berkata, beliau semakin tertekan mengenangkan masalah berlarutan sejak 10 tahun yang tiada penyelesaian biarpun banyak laporan diajukan kepada agensi bertanggungjawab.


"Apa lagi boleh kami buat melainkan turun padang dan menghalau ulat teksi Arab. Kami (pemandu) mengharapkan bantuan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), namun tiada penyelesaian," katanya.


Menurut Mohammed Asharaf, punca lambakan ulat teksi itu disebabkan wujud banyak perniagaan milik warga Arab di Bukit Bintang dan di situ tempat kebanyakan pelancong Timur Tengah berkumpul.

"Ketika kunjungan pelancong ke restoran, ulat teksi terbabit hadir mengedarkan kad niaga selain memburuk-buruk pemandu tempatan. Antara faktor lain ialah isu komunikasi dan bahasa," katanya.


Menurutnya, setiap hujung minggu beliau mengarahkan beberapa ahli untuk mencekup ulat teksi terbabit sebelum diserahkan kepada polis.

"Kami tidak menipu kerana setiap tangkapan diserahkan kepada polis. Ketika tangkapan dibuat, kami turut menghubungi SPAD, namun mereka hanya menerima laporan dan tidak mengambil tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Siasatan cubaan hidup semula al-Arqam selesai

Posted: 04 Nov 2012 01:17 PM PST

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap cubaan beberapa individu menghidupkan ajaran al-Arqam pada satu perhimpunan tengah malam, Jumaat lalu sudah selesai.

Sumber Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, siasatan terhadap perkara itu sudah dilakukan dan Jais dijangka mengadakan sidang media hari ini bagi memberi penjelasan lanjut.


"Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin akan mengadakan sidang media esok (hari ini) berhubung perkara itu," katanya yang dihubungi, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan serbuan dilakukan di sebuah padang tempat berlangsungnya acara dikenali sebagai 'kenduri mega dan doa selamat' sambutan ulang tahun kelahiran Ashaari Muhammad yang dihadiri lebih 3,500 orang dari seluruh Malaysia. Turut ditahan ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrulamin Bahron yang hadir pada program itu.


Mereka ditahan selepas disyaki melanggar Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana mengembangkan ajaran 'Aurad Muhammadiah'. Badrulamin dan 19 yang lain dibebas dengan jaminan selepas kenyataan mereka direkodkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Tiada ulasan:

Catat Ulasan