Ahad, 4 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


32 murid trauma

Posted: 03 Nov 2012 04:38 PM PDT

NILAI: Kegembiraan 32 murid dan guru menghabiskan cuti hujung minggu dengan mengikuti rombongan ke Perak berakhir tragedi apabila bas dinaiki terbabit dirempuh lori di Jalan Batang Benar-Nilai berhampiran Stesen Komuter Batang Benar, di sini, semalam.

Kejadian jam 8.30 pagi itu menyebabkan dua murid berusia 11 tahun parah, manakala tiga guru dan pemandu bas yang membawa 29 murid cedera di beberapa anggota badan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).


Difahamkan, bas itu antara empat bas yang dalam perjalanan membawa 112 murid tahun tiga hingga enam Sekolah Kebangsaan (SK) Petaseh, Kuala Klawang mengikuti rombongan sehari ke Perak.

Mangsa, Mohd Zamzurkarnain Kudus, 9, berkata, ketika kejadian dia berbual dengan rakannya di dalam bas sebelum ternampak sebuah lori dipandu laju keluar dari simpang.


"Tiba-tiba lori berkenaan melanggar bahagian depan kiri bas hingga menghasilkan bunyi dentuman kuat, menyebabkan saya dan rakan tercampak dari tempat duduk.


"Sebaik bas berhenti, saya menyedari telinga kiri berdarah dipercayai terkena kaca sebelum kami semua diarah turun," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan HTJS, di sini, semalam.

Murid tahun lima, Amirul Naim Abu Suffian berkata, dia yang lena tidur di bahagian depan bas terkejut sebaik mendengar bunyi hon.


"Saya tersedar apabila mendengar bunyi hon berterusan sebelum bas bergegar, menyebabkan saya tercampak ke depan.

"Kepala saya bengkak akibat terhantuk di cermin dan saya berasa trauma untuk menaiki bas lagi," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu lori membawa batu yang mahu keluar simpang untuk ke Nilai hilang kawalan sebelum merempuh badan bas.


"Pemandu lori berusia 25 tahun itu cedera ringan dan kini ditahan bagi membantu siasatan. Saksi kejadian diminta datang ke balai polis berhampiran atau hubungi talian 06-7991222 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Anak bertukar penyayang, pendiam

Posted: 03 Nov 2012 04:34 PM PDT

JASIN: "Baru semalam (kelmarin), saya membaca akhbar mengenai kisah kematian empat sekeluarga di Alor Setar, Kedah dan hari ini (semalam) ia berlaku kepada anak kami pula yang maut bersama dua rakannya."

Begitu kata Noriah Md Dim, 62, ibu kepada Hairul Nizam Alias, 34, yang terbunuh dalam kemalangan negeri mengorbankan empat nyawa di Kilometer 38.5 Jalan Air Panas-Kesang, di sini, malam kelmarin.


Kemalangan jam 11.15 malam membabitkan dua kenderaan itu turut mengorbankan dua sahabat mangsa, iaitu Mohd Shahir Mat Sahat, 27, dan Mohammad Izzuddin Usop, 21, serta remaja bawah umur, Mohd Hafiz Helmi, 14.

Menurut Noriah, anak ketiga daripada lima beradik itu berubah sikap sejak beberapa bulan lalu dengan menjadi lebih pendiam.


"Saya melihat perubahan itu sejak dia membawa saya ke Langkawi, Kedah beberapa bulan lalu kerana dia menjadi sangat penyayang dan pendiam.


"Malah, lebih mengejutkan semalam (kelmarin), sebelum keluar rumah, arwah tidak langsung memandang muka saya, sedangkan biasanya dia salam saya setiap kali keluar dan balik rumah," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Jasin, di sini, semalam.

Beliau berkata, biarpun terkejut dengan kejadian yang meragut nyawa Hairul Nizam, dia dan keluarga menerimanya dengan reda.


"Arwah sanggup berhenti kerja sebagai pemandu orang kenamaan di Kuala Lumpur untuk menjaga saya dan suami, Alias Wahab, 66, namun ternyata Allah lebih sayangkannya," katanya.

Sementara itu, Alias berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh jiran yang datang ke rumahnya di Felda Bukit Senggeh, di sini, tidak lama selepas kejadian.


Katanya, dia tidak sempat bertegur sapa dengan arwah yang tergesa-gesa meninggalkan rumah sebelum kejadian.


"Arwah balik daripada kerja jam 10.30 malam dan tergesa-gesa keluar rumah apabila rakannya datang menjemput sehingga kami tidak sempat berbual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Tiada ulasan:

Catat Ulasan