Sabtu, 3 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Berterusan dilanda bah

Posted: 02 Nov 2012 12:43 PM PDT

KLANG: Hampir 600 keluarga di Kampung Johan Setia, Kampung Sri Nadi, Kampung SC, Kampung Bukit Naga, Kampung Baru Dua, Kampung Baru Satu dan Taman Malindo, di sini, bagaikan tidak sempat bernafas kerana banjir kilat yang melanda Rabu lalu, berulang lagi petang semalam berikutan hujan lebat tanpa henti lebih tiga jam.

Nasib malang penduduk kawasan itu berterusan kerana pada 19 Oktober lalu, rumah mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter. Hujan lebat bermula jam 5 petang yang mengakibatkan banjir kilat itu menenggelamkan hampir keseluruhan laluan masuk dan padang Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, di sini, sehingga pelajar dan guru terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang selepas tamat sekolah sesi petang.


Penduduk, Anuar Aziz, 41, ketika ditemui berkata, banjir kilat menjadi ancaman biasa di kalangan penghuni di kawasan itu.

"Dalam keadaan ini perlu saling membantu kerana kebanyakan jiran kami yang menjadi mangsa sedang bekerja," katanya.


Penduduk lain, Kholik Suharno, 50, pula mendakwa banjir kilat semalam antara yang terburuk dalam tempoh 10 tahun.


"Kami tahu hujan tidak boleh dihalang, tetapi pihak berkenaan perlu memastikan semua sistem pengairan seperti parit mengalirkan air selepas hujan lebat. Sesiapa pun tak boleh tahan kalau banjir sentiasa melanda kerana ia menyebabkan kami sentiasa kerugian," katanya.

Seorang lagi mangsa, Samsi Sarmin, 52, dari Kampung Baru Dua, berkata, banjir kilat kali ini antara terburuk kerana sebelum ini air tidak memasuki rumahnya.


Katanya, walaupun parit utama berdekatan sudah diselenggara, air melimpah dan memasuki rumah walaupun beliau mengeluarkan ribuan ringgit membina tembok di tepi parit berkenaan.

"Air baru sahaja surut semalam (kelmarin), tetapi hujan terlalu lebat menyebabkan air parit melimpah. Kami terpaksa mengalihkan kenderaan ke tempat lebih tinggi bagi mengelak kejadian tidak diingini, tambahan pula hujan belum reda," katanya.


Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang berkata, kawasan paling teruk terjejas ialah di Kampung Johan Setia dan Kampung SC yang membabitkan hampir 200 rumah.


Menurutnya, beberapa pegawai JKM membantu menguruskan pendaftaran mangsa banjir dan menasihatkan mereka supaya segera berpindah ke tempat selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/03


47 keluarga terima bantuan wang tunai

Posted: 02 Nov 2012 12:40 PM PDT

KLANG: Sebanyak 47 keluarga mangsa banjir di Kampung Bukit Naga dan Kampung Seri Gambut di sini, pada 19 Oktober lalu, lega apabila menerima bantuan wang tunai daripada Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Raja, baru-baru ini.

Semua keluarga terbabit menerima bantuan wang berdasarkan nilai kerosakan pada rumah masing-masing yang disampaikan Pengerusi BN Parlimen Kota Raja, Kamaruzzaman Johari.


Mangsa banjir, Maimunah Ali, 37, berkata, bantuan yang diterima itu amat dihargai keluarganya kerana setiap kali banjir kilat, dia dan suami terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membaiki struktur rumah selain menggantikan peralatan yang rosak.

"Kejadian banjir yang sering berlaku di kampung kami menyusahkan keluarga yang tidak berkemampuan. "Setiap kali hujan lebat, kampung kami dilanda banjir kilat dan keadaan ini mengundang bahaya kepada warga emas atau anak kecil. Kehidupan harian kami juga terganggu selain anak tidak dapat bersekolah," katanya.


Seorang lagi penduduk, Mohd Hassan Omar, 50, berkata, dia bersyukur dengan bantuan itu memandangkan kejadian banjir yang kerap berlaku mengakibatkan dia mengalami kerugian tanaman hampir RM4,000.


Mohd Hassan berkata, tanaman sayuran-sayuran yang diusahakannya musnah ditenggelami banjir selain tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan.

Katanya, walaupun pelbagai cara sudah dilakukan seperti membuat longkang besar dan menambak kawasan tanaman supaya menjadi tinggi, namun kawasan itu masih ditenggelami air.


Sementara itu, Kamaruzzaman berkata, bantuan yang diberikan itu memastikan mereka yang memerlukan terbela selain mengurangkan beban ditanggung.

Katanya, pihaknya melalui kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sudah mengumpul data serta maklumat semua mangsa dalam usaha memastikan keluarga terbabit banjir menerima bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/03


Tiada ulasan:

Catat Ulasan