Sabtu, 3 November 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Anggota tentera rempuh pondok bas, pokok

Posted: 02 Nov 2012 12:56 PM PDT

ALOR GAJAH: Seorang anggota tentera terselamat apabila kenderaannya terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Tanjung Bidara, awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kereta Toyota Avanza mangsa dirempuh sebuah Proton Wira yang turut dipandu anggota tentera berusia awal 30-an dari arah sama.


Sumber berkata, kereta mangsa hilang kawalan selepas bergesel dengan Proton Wira berkenaan yang dipercayai mulanya cuba memotong dari sebelah kanan tetapi gagal.

"Akibat pergeseran itu, kereta mangsa berpusing dan terbabas ke kanan jalan lalu merempuh pondok menunggu bas dan sebatang pokok "Kereta Proton Wira yang datang dari arah Pengkalan Balak sebelum itu berada di belakang kenderaan mangsa dan cuba memotongnya tetapi gagal," kata sumber itu, semalam.


Seorang penduduk, Bakar Rahmat, 51, berkata, dia yang berada di masjid berdekatan terdengar dentuman kuat dan bergegas memeriksa sebuah kereta yang berhenti atas jalan.


"Saya mendapati pemandu Proton Wira itu cedera pada dahinya sebelum melihat seorang lagi pemandu Toyota Avanza sedang merangkak keluar dari keretanya.

"Saya segera meminta bantuan jiran untuk menghubungi bantuan kecemasan dan pemandu Proton Wira itu kemudian dihantar ke Hospital Terendak untuk rawatan lanjut," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Saharuddin mengesahkan kejadian dan berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian membabitkan dua kenderaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/03


Patah paha di hospital

Posted: 02 Nov 2012 12:56 PM PDT

PORT DICKSON: Seorang wanita tidak menyangka tindakan suaminya mendapatkan rawatan penyakit sukar tidur malam di Wad Psikiatri Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini, berakhir tragedi apabila patah tulang paha selepas terjatuh dari katil hospital, 20 Oktober lalu.

Habibah Mohd Ali, 53, berkata dia sedih kerana suaminya, Arsad Dol, 58, pergi ke hospital itu dengan harapan dapat pulih, namun kini menanggung kesakitan selain tulang paha terpaksa dimasukkan besi.


Menurutnya, dia difahamkan kejadian berlaku jam 3 pagi, 20 Oktober lalu apabila suaminya terjaga dari tidur untuk membuang air.

"Suami mengatakan keadaan wad gelap lalu memanggil jururawat membantu, namun tiada siapa datang.


"Takut terbuang air atas katil, dia memanjat katil yang mempunyai penghadang tepi sebelum terjatuh menyebabkan tulang pahanya patah," katanya kepada Harian Metro, semalam.


Katanya, dia langsung tidak dimaklumkan kejadian itu oleh hospital dan mendakwa jika petugas hospital tidak lalai dan menjaga pesakit dengan baik, kejadian itu dapat dielak.

"Saya terkejut sehari selepas kejadian apabila melawat suami di wad, dia menggunakan kerusi roda untuk bergerak membuatkan saya berfikir kemungkinan kejadian buruk berlaku.


"Apabila bertanyakan hal berkenaan, pihak hospital tidak mengaku dan tidak mahu bertanggungjawab. Saya kecewa dengan kejadian itu kerana suami tidak dapat bergerak dan bekerja seperti dulu," katanya.

Katanya, pesakit psikiatri memerlukan penjagaan khusus berikutan ubat dimakan kuat dan sepatutnya petugas hospital perlu lebih bertanggungjawab menjaga pesakit.


Sementara itu, Pengarah HTJS, Dr Jaafar Che Mat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu dan tindakan sewajarnya akan dilakukan dengan menghantar pesakit berkenaan untuk rawatan lanjut, sekali gus menyiasat perkara itu. Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin turut mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/03


Tiada ulasan:

Catat Ulasan