Khamis, 8 November 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Sekolah pondok dipertahan

Posted: 08 Nov 2012 01:49 PM PST

Ampang: Institusi pondok di negara ini masih relevan kerana ia menjadi benteng mempertahankan identiti Melayu-Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata institusi ini perlu dipertahankan kerana ilmunya boleh diguna dan dirujuk untuk menangani pelbagai serangan ilmiah serta trend pascamodenisme yang sedang berlaku.

Beliau berkata, sistem pondok memenuhi maqasid syariah meliputi hal agama, akidah, kemanusiaan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan keamanan.

"Banyak buku karya besar diambil daripada teks pondok, malah ia turut dibaca oleh orientalis Barat dan musuh Islam," katanya berucap pada majlis pelancaran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di Masjid Taman Bukit Indah di sini, semalam.

Beliau berkata, ulama dan intelek Islam perlu berdiri satu saf untuk melahirkan pemikiran Islam yang kukuh dan mantap serta meyakinkan bagi menghadapi musuh Islam.

"Bagi menghadapi isu kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had, sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama, maka hujah daripada teks pondok sangat mantap.

"Banyak kitab lama seperti karangan Sheikh Nuruddin al-Raniri, Sheikh Abdul Qadir al-Patani dan Sheikh Zainal Abidin al-Patani mengandungi penerangan jelas mengenai pelbagai hal agama serta worldview bangsa Melayu," katanya.
Sementara itu, Najib berkata, perlu disedari liberalisme dan pluralisme antara ancaman terbesar umat Islam di negara ini, malah fahaman itu sedang menular dan menggugat keharmonian serta kestabilan kehidupan beragama dan bermasyarakat.

Katanya, ada pihak jelas silap konsep kemajmukan sehingga melihat semua agama sama, sedangkan soal akidah mesti dipertahankan tanpa kompromi walaupun wujud nilai sejagat yang dikongsi bersama antara agama.

Beliau berkata, sungguh malang apabila golongan mengamalkan fahaman silap itu disokong pihak berkepentingan yang bersekongkol dengan mereka.

"Mutakhir ini, banyak tuduhan dan kenyataan tidak bertanggungjawab dibuat mengenai agama Islam dan amalannya di negara kita. Majoritinya tidak berdasarkan ilmu dan dibuat bagi memenuhi agenda pihak tertentu.

"Malangnya lagi, pengikut orang yang mengeluarkan pendapat itu juga kurang pengetahuan, lalu mudah mempercayainya.

"Mereka hanya mengulangi apa yang didengar tanpa memahami konsep sebenar dan tidak mampu membuat penilaian secara objektif.

"Mereka berdebat serta mempertikai tanpa memahami asal-usul perkara itu secara mendalam atau berdasarkan ilmu pengetahuan secukupnya, malah sewenang-wenang menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang benar," katanya.

Najib berkata, agama, bahasa, pendidikan dan tempat ibadat adalah isu sensitif, justeru masyarakat jangan terbawa-bawa dengan sikap liberal melampau tanpa mengambil kira perasaan atau sensitiviti dan ketegangan kaum ketika membicarakannya secara terbuka dan bebas.

Berita lanjut pada muka 6 dan 7 akhbar BH hari ini

Anugerah diraja hargai Chong Wei, Pandelela

Posted: 08 Nov 2012 01:43 PM PST

Kuala Lumpur: Majlis Raja-Raja Melayu semalam memutuskan untuk menganugerahkan Pingat Emas Jaya Kecemerlangan kepada pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg.

Anugerah itu bagi menghargai sumbangan mereka mengharumkan negara pada temasya Sukan Olimpik London Ogos lalu. Chong Wei menggondol pingat perak dalam acara badminton, dan Pandelela merangkul gangsa dalam acara 10 meter platform individu wanita.

Ini kali pertama Majlis Raja-Raja Melayu menganugerahkan pingat itu kepada olahragawan, olahragawati dan ahli sukan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan berkata, sebelum ini, anugerah itu hanya diberikan kepada siswazah cemerlang yang dipilih oleh universiti awam tempatan iaitu dua pingat bagi setiap universiti.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri turut membiayai beberapa pelajar praijazah melalui Dana Biasiswa yang diwujudkan pada 1949, yang diisi dengan sumbangan peribadi setiap Sultan dan Raja dan setiap seorang TYT sehingga kini.

Syed Danial berkata, bagi tahun akademik 2012/2013, 16 siswazah termasuk empat calon simpanan diluluskan untuk menerima biasiswa Yang di-Pertuan Agong melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah dan sarjana.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-230 yang dipengerusikan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengiringi baginda ke mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat itu juga membincangkan mengenai agama Islam dan pelantikan termasuk pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Atasan. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan