Rabu, 7 November 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Naik gred tanpa temu duga

Posted: 07 Nov 2012 03:40 PM PST

Guru cemerlang berijazah dilantik terus DG41 tahun depan

Seremban: Guru, guru besar dan pentadbir cemerlang yang memiliki ijazah sarjana muda akan dilantik terus ke gred DG41 tanpa temuduga mulai tahun depan.

Kumpulan itu yang memperoleh ijazah melalui pengajian separuh masa atau pengajian jarak jauh (PJJ) boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran SPP untuk dikecualikan daripada ditemuduga.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan SPP itu bertujuan menyokong usaha Kementerian Pelajaran meningkatkan latihan dalam perkhidmatan kumpulan pendidik di negara ini.

Cepat proses kenaikan pangkat

"Langkah ini dibuat bagi mempercepatkan proses kenaikan gred kerana mereka terbukti cemerlang," katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam ucapan perasmiannya pada Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi SPP, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, SPP turut mengecualikan temu duga bagi pelantikan guru baru yang cemerlang dalam akademik dan ikhtisas dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Katanya, SPP mula mengenal pasti calon terbabit ketika pemilihan awal bakal guru.

Sehubungan itu, katanya semakan semula sistem pelajaran dan organisasi IPGM dan IPT perlu dibuat bagi melahirkan warga pendidik berkualiti dan cemerlang.

2,960 orang kelompok pertama

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kajian Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKPT) mendapati hanya 50 peratus pengajian disampaikan dengan berkesan atau memuaskan.

Bulan lalu, beliau mengumumkan calon guru yang bakal dipilih ialah 30 peratus di kalangan mereka dengan keputusan 9A dan berminat dalam bidang perguruan.

Beliau berkata, seramai 2,960 orang kelompok pertama graduan IPGM dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan sebelum 1 Julai, ditempatkan sementara oleh Kementerian Pelajaran mulai 16 Oktober.

Katanya, calon berijazah selepas Jun seramai 7,755, perlu mengemukakan permohonan kepada SPP mulai 1 November secara online, melalui portal SPP (untuk calon IPGM) atau JobsMalaysia (calon IPTA).

PUsH realisasi 3 gergasi ICT

Posted: 07 Nov 2012 03:32 PM PST

Inisiatif permudah usaha gabung syarikat kecil Bumiputera

Kuala Lumpur: Inisiatif Pemangkin Usahawan (PUsH) yang dilancarkan semalam, mampu merealisasikan sasaran mewujudkan tiga syarikat gergasi dalam bidang teknologi maklumat (ICT) dan multimedia menjelang 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia menjadi landasan untuk menggabungkan syarikat kecil ICT Bumiputera terpilih yang terkemuka, berjaya serta berkaliber dengan syarikat gergasi itu.

Beliau berkata, ia dapat dilaksanakan menerusi program penggabungan dan pengambilalihan syarikat ICT kecil dan sederhana menerusi pembabitan agensi kerajaan iaitu Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP).

"Daripada RM50 juta dana awal penubuhan Yayasan Usahawan Baru, MAVCAP memperuntukkan RM30 juta untuk program penggabungan dan pengambilalihan syarikat ICT kecil menerusi inisiatif PUsH ini," katanya berucap melancarkan PUsH dan yayasan di Menara TM, di sini, semalam.

Inisiatif PUsH membabitkan kerjasama yayasan dan Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera yang menyediakan landasan bagi program latihan dan bimbingan untuk usahawan ICT Bumiputera negara.

Antara program yang bakal dilaksanakan bulan depan termasuk peningkatan kemahiran pembangunan kandungan digital, latihan peningkatan inovasi, pembelajaran sepanjang hayat, direktori Bumiputera ICT, jaringan kandungan pemasaran kreatif, kluster pengisian berasaskan industri dan dialog usahawan tekno Bumiputera.

Semua teknokrat Bumiputera dipelawa

Program yang terbuka kepada semua teknokrat Bumiputera tempatan ini membabitkan kerjasama beberapa agensi seperti Multimedia Development Corporation (MDeC), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), MAVCAP, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Turut hadir Ketua Eksekutif MDeC, Datuk Mohd Badlisham Ghazali; Ketua Eksekutif MAVCAP, Jamaludin Bujang; Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa; Ketua Eksekutif AIM, Mark Rozario dan Pengerusi yayasan, Ashran Ghazi.

Perdana Menteri berkata, PUsH juga akan memberi tumpuan ke arah membangunkan 40 peratus syarikat ICT Bumiputera yang mencatatkan perolehan terendah, supaya lebih berdaya maju di arena antarabangsa.

"Inisiatif PUsH ini jauh berbeza dengan program lain seumpamanya kerana walaupun ia masih menerima sokongan kerajaan, projek ini dikendalikan sepenuhnya industri ICT menerusi yayasan dan persatuan terbabit," katanya yang memuji usaha pihak terbabit yang merancang dan melaksanakan inisiatif ini dalam tempoh kurang lima bulan.

Beliau berkata, program berkenaan hasil sesi dialog Jun lalu yang memutuskan kerajaan boleh membantu, tetapi industri ICT perlu melakukannya sendiri.

Industri ICT berkembang

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, laporan industri Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) 2010 menunjukkan industri ICT berkembang walaupun menghadapi kemelesetan ekonomi dunia.

Sementara itu, Ashran berkata, kaji selidik hasil kerjasama yayasan dan MDeC mendapati antara 2,000 hingga 2,500 syarikat ICT Bumiputera beroperasi di negara ini membabitkan jumlah pekerja Bumiputera antara 16,000 hingga 20,000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan