Selasa, 6 November 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Ibu bapa dapat potongan cukai

Posted: 06 Nov 2012 03:45 PM PST

̌ Ampang: Kerajaan menimbang memberi potongan cukai kepada ibu bapa sebagai insentif mendorong anak-anak mereka belajar dalam aliran sains.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelajar yang memilih aliran sains juga akan dicadangkan diberi biasiswa atau dermasiswa.

Beliau berkata, langkah itu untuk meningkatkan jumlah pelajar sains yang masih rendah dan jauh daripada sasaran.

Katanya, kerajaan menumpukan kepada bidang sains kerana subjek itu amat penting untuk melahirkan pakar dan profesional seperti dalam bidang kejuruteraan dan kedoktoran untuk mencapai status negara maju.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu media selepas meninjau perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kosas, di sini, semalam.

Beliau berkata, kementerian mahu meningkatkan jumlah pelajar sains kepada 60 peratus, termasuk menerima pakai 15 cadangan daripada jawatankuasa kumpulan pakar dianggotai universiti dan ahli akademik.

Katanya, jawatankuasa itu membentangkan hasil kajian dan cadangan mereka kepada beliau kelmarin dan daripada laporan itu mengesahkan pelajar aliran sains merosot.
"Kita nak supaya dalam tempoh empat atau lima tahun ini lebih ramai pelajar Tingkatan Empat dan Lima mengambil bidang sains.

"Saya jangka mulai 2014 kita boleh tingkatkan sekurang-kurangnya 10 peratus bilangan pelajar aliran sains daripada apa yang ada sekarang (kurang 20 peratus)," katanya.

Muhyiddin berkata, kemerosotan jumlah pelajar mengambil mata pelajaran sains sepatutnya tidak berlaku kerana dasar pengambilan adalah 60 peratus sains dan teknikal serta 40 peratus sastera atau nisbah 60:40.

Kajian itu mendapati antara punca kemerosotan ialah masalah tenaga pengajar, tiada dorongan atau perhatian ibu bapa dan kemudahan seperti makmal tidak lengkap dan bilik darjah tidak dapat menampung bilangan pelajar yang besar.

Semakan mendapati guru mencukupi, cuma mungkin perlu diberikan latihan tambahan untuk meningkatkan kaedah pengajaran, iaitu jika sekarang hanya mengajar dari segi teori tanpa amali, akan datang hendaklah membuat amali.

Maut disambar petir selepas kebumi mayat

Posted: 06 Nov 2012 03:41 PM PST

Penampang: Seorang pengurus mayat, maut disambar petir ketika berlindung di sebuah pondok selepas melakukan kerja pengebumian di tanah perkuburan di Taman Century di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Daniel Rodie, 34, dari Kampung Nagapas di sini, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi ahli keluarga mayat yang dikebumikan di situ, turut cedera.

Difahamkan, kejadian ketika hujan renyai-renyai itu berlaku sejurus selepas mangsa menjawab panggilan telefon ketika berteduh di pondok terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 4.25 petang.

Seorang lagi ahli keluarga turut cedera

"Sepasukan anggota kemudian ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan dan mendapati seorang lelaki dipercayai pengurus mayat mati disambar petir.

"Seorang lagi lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an yang juga ahli keluarga mendiang yang dikebumikan di situ turut cedera dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk rawatan lanjut," katanya.
Jauteh berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke QEH 1 untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk proses pengebumian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan