Isnin, 5 November 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Banjir empat negeri makin buruk

Posted: 05 Nov 2012 03:31 PM PST

10 kampung di Dengkil yang jarang dinaiki air turut terjejas

Kuala Lumpur: Banjir di empat negeri - Selangor, Johor, Perak dan Melaka bertambah buruk semalam, dengan 3,556 mangsa dipindahkan ke 33 pusat pemindahan.

Di Selangor, sekurang-kurangnya 10 kampung dan taman perumahan di Dengkil dan kawasan sekitarnya yang sebelum ini hanya menghadapi banjir kilat, kini terjejas teruk apabila dinaiki air antara satu hingga dua meter.

Kawasan berkenaan ialah Kampung Sri Tanjung, Kampung Kelinsing, Kampung Cemperai, Taman Amenis, Taman Emas, Taman Kristal 2, Taman Permata, Taman Baiduri, Taman Sri Tanjung dan Taman Delima.

Berada pada paras bahaya Dua kawasan lain yang sering dilanda banjir ialah Kampung Semarang dan Kampung Revolusi Hijau.

Sungai Langat malam tadi mencatatkan paras bahaya 9.52 meter di stesen pengukur Kampung Sungai Labu, Salak Tinggi, berbanding tujuh meter normal.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, ketika dihubungi berkata pihaknya menempatkan anggota di kawasan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Katanya, pemantauan turut dilakukan di beberapa lokasi lain sekitarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Sehingga jam 7.30 malam tadi, 1,238 penduduk dipindahkan ke lapan pusat pemindahan di Dengkil dan Sepang berikutan paras air Sungai Langat yang terus meningkat akibat hujan lebat sejak tengah hari kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Marsum Paing, berkata banjir di daerah itu dijangka bertambah buruk selepas paras air Sungai Langat tidak surut sehingga petang semalam.

Tambak tebing sungai

Bercakap kepada media selepas melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Dengkil, di sini semalam, beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merancang mendalamkan serta menambak tebing Sungai Langat sebagai penyelesaian jangka panjang.

Di JOHOR, 2,042 mangsa banjir dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sehingga jam 8 malam tadi manakala beberapa pusat pemindahan baru sedia untuk dibuka bagi menghadapi keadaan yang dijangka bertambah buruk.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor berkata, kawasan terjejas teruk ialah Batu Pahat dengan 14 pusat pemindahan dibuka sehingga kini termasuk dua di Kluang dan satu di Ledang.
"Kawasan dinaiki air termasuk Kampung Baru Sri Gading, Kampung Sri Gading dan Kampung Jawa Parit Kuari di Batu Pahat, Kampung Sialang (Ledang), Kampung Sungai Linau dan Kampung Kolam Air (Kluang)," katanya.

Banjir sedalam satu meter

Di PERAK, 258 mangsa banjir daripada 70 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Surau Jalan Wak Siam Selabak dan Dewan Serbaguna Sungai Manik Chikus, Teluk Intan selepas kediaman dinaiki air 0.5 hingga satu meter sejak Sabtu lalu.

Laluan utama di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Chepor Dalam yang menghubungkan Taman Bertuah, Desa Seri Chemor dan Batu 6 terputus disebabkan tanah mendap selepas air Sungai Klebang melimpah.

Di MELAKA, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri, Mejar Jafri Mohamed, berkata 115 mangsa dari 27 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Tehel, Jasin.

Katanya, 108 orang ditempatkan di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Tehel manakala tiga di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Kesang Barat.

Pelaburan emas haram: 142kg emas, RM101j disita

Posted: 05 Nov 2012 03:28 PM PST

Kuala Lumpur: Sebanyak 142.7 kilogram emas dan RM101.92 juta dalam akaun bank serta tunai disita daripada empat syarikat yang terbabit dalam skim pelaburan haram menggunakan emas.

Jumlah itu dinyatakan dalam kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), semalam.

Belum terima emas

Siasatan mendapati, sebahagian besar pelabur emas belum menerima emas daripada beberapa syarikat pelaburan yang diserbu BNM sehingga lebih lima bulan menunggu.

"Siasatan mendapati, syarikat berkenaan mempunyai kelemahan dari segi simpanan rekod, gagal menyimpan semua rekod transaksi perniagaan dan kewangan dengan baik.

"Malah, syarikat itu juga mempunyai simpanan rekod kewangan dalam pelbagai versi dan tujuan yang berbeza, selain gagal mengemukakan akaun untuk diaudit SSM, sejak beberapa tahun lalu mengikut undang-undang sepatutnya," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, empat syarikat diserbu iaitu Pageantry Gold Berhad yang beroperasi di Taman Danau Kota, Setapak; Worldwide Far East Berhad (Bandar Baru Seri Petaling); Caesar Gold Sdn Bhd (Jalan Klang Lama) dan Genneva Malaysia di Kuchai Lama selepas disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas.
Mengulas lanjut, pihaknya menyedari kesukaran yang dialami pelabur dan sedang berusaha untuk mengesan penyimpanan wang dan aset syarikat itu.

Siasatan antarabangsa

"Satu pasukan khas ditubuhkan untuk mengesan aliran wang dan aset lain serta firma perakaunan antarabangsa sudah dilantik secara sepenuh masa untuk membantu siasatan yang menjurus kepada siasatan antarabangsa.

"Agensi penguatkuasaan bekerjasama secara aktif dengan rakan sejawat di luar negara untuk mendapatkan bukti di beberapa negara lain bagi membantu siasatan," katanya.

Kenyataan itu menyebut, setiap perniagaan terutama membabitkan bilangan pelabur dan jumlah yang besar, penyimpanan rekod transaksi perniagaan yang baik serta tepat penting bagi mengelak berlakunya kesilapan pengurusan kewangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan