Sabtu, 3 November 2012

Berita Harian: Nasional

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Nasional


NUTP kemuka 15 resolusi tingkat pembelajaran

Posted: 03 Nov 2012 02:32 PM PDT

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengemukakan 15 resolusi kepada kerajaan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran, termasuk penambahbaikan segera kelemahan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Permintaan lain ialah menggubal segera jadual gaji baru pegawai perkhidmatan pendidikan dan dilaksanakan pada Januari depan dan mengehadkan 1,000 pelajar di setiap sekolah.

Kesatuan juga meminta kepemimpinan pengurusan serta pentadbiran peringkat kementerian, jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah dan sekolah mesti mempunyai latar belakang pendidikan dan perguruan.

Resolusi diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Presiden NUTP, Hashim Adnan, bersama barisan kepemimpinan tertingginya pada majlis dihadiri 5,000 ahli kesatuan semalam yang turut berikrar melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Menurut resolusi itu, kelemahan PBS perlu diperbaiki kerana ia antara isu utama guru dan dianggap membebankan, manakala cadangan mengehadkan jumlah pelajar bagi membolehkan kawalan kualiti pelajar serta guru secara berkesan oleh pentadbir sekolah.

Laksana segera peraturan

Kementerian juga diminta melaksanakan segera peraturan yang sudah dipinda bagi memantapkan disiplin pelajar sekolah dengan jelas dan tepat.
Muhyiddin dalam ucapannya menyifatkan resolusi khas itu sebagai penting dan memberi jaminan kementerian akan berbincang dengan NUTP dalam tempoh dua minggu sebelum laporan diserahkan kepadanya.

Katanya, cadangan yang munasabah akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk pertimbangan sewajarnya.

"Sejak dulu kita komited melihat profesion keguruan sentiasa hebat. Kita perlu memastikan sistem pendidikan dapat menjana modal insan lebih cemerlang dan sebahagian besarnya terletak atas tanggungjawab guru. Justeru, kita sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan guru," katanya.

Mengenai isu PBS, beliau berkata, ia diperkenalkan berikutan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai anjakan mengubah sistem pendidikan negara yang terlalu menjurus kepada pencapaian dalam peperiksaan awam.

Langkah penambahbaikan

"Ia mungkin memerlukan beberapa langkah penambahbaikan. Saya sedar kerana mendapat maklum balas kesulitan guru. Bagaimanapun, saya yakin apabila sudah diatasi, ia tidak menjadi masalah. Mungkin pada peringkat awal, ia dianggap beban kerana kerja baru," katanya.

Pada sidang media kemudian, Muhyiddin berkata, kementerian mengamalkan sikap terbuka kepada pandangan atau tuntutan.

Mengenai sama ada perkara yang dibangkitkan NUTP akan ditambah dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, beliau berkata ia akan dilaksana berdasarkan keperluan.

Resolusi lain

  • Mewujudkan segera jawatan pembantu guru Gred N17 di semua sekolah bagi mengatasi masalah urusan pentadbiran inventori dan pengurusan data serta maklumat pelajar.
  • Struktur majlis permuafakatan kesatuan/persatuan guru dikaji supaya lebih demokratik dan berkesan berdasarkan bilangan keahlian dan peraturan rasmi.
  • Peruntukan kewangan mencukupi bagi pembayaran gaji guru ganti diturunkan ke JPN/PPD pada awal tahun bertujuan mempermudah pengambilan guru ganti, termasuk guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT)
  • Setiap program membabitkan guru mesti mengambil kira peruntukan kewangan standard dan mencukupi bagi melancarkan pelaksanaan secara berkesan dan berkualiti menjurus kemenjadian murid.
  • Mewujudkan perjawatan dan peluang naik pangkat lebih cerah di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara.

SPAD galak orang ramai beri cadangan

Posted: 03 Nov 2012 02:22 PM PDT

Petaling Jaya: Orang ramai masih boleh mengemukakan cadangan, pendapat dan komen kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) sebelum Pelan Induk Pengangkutan Darat Nasional dilaksanakan.

Ketua Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPAD, Dr Prodyutt Dutt, berkata selain forum awam, masyarakat digalakkan berbuat demikian menerusi laman web SPAD mengenai cara meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam dalam negara.

"Kita sentiasa mementingkan pendapat rakyat kerana mereka yang akan menggunakan perkhidmatan terbabit dan sebolehnya kita akan mantapkan lagi khidmat sedia ada dengan lebih cekap, pantas dan mudah," katanya pada forum pengangkutan awam anjuran Kumpulan Kerja Mengenai Pengangkutan Awam di Malaysia, di sini, semalam.

Pelan ambil kira keadaan semasa

Menurutnya, SPAD belum meletakkan tempoh masa bagi pengumpulan cadangan itu dan orang ramai boleh berbuat demikian sehingga tarikh akhir diumumkan kelak.

Katanya pelan induk itu mengambil kira keadaan semasa mengenai tahap pengangkutan awam di samping mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri, pihak berkepentingan dan persatuan.
Sementara itu, penyelaras forum, Simon Karunagaram, berkata inisiatif mengadakan forum awam adalah untuk membolehkan masyarakat berinteraksi secara terus dengan pihak berkaitan.

"Ini kali kedua kita menganjurkannya. Pada Mac lalu, kita mengadakan perbincangan berhubung perkara ini tetapi hanya bersama pihak pelaksana. Inisiatif ini akan diteruskan ke seluruh negara bagi mendapat lebih banyak pembabitan dan pandangan orang awam," katanya.

Antara perkara yang dikemukakan pada forum itu adalah kemudahan kepada orang kelainan upaya (OKU), masyarakat luar bandar serta ketepatan jadual pengangkutan. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan