Rabu, 7 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Imam ditemui mati dipukul dalam surau Tanah Merah

Posted: 07 Nov 2012 03:08 AM PST

TANAH MERAH: Seorang imam, yang hendak melaungkan azan Subuh, mati akibat dipukul di surau Kampung Gual Petai Lima, Gual Ipoh di sini, hari ini.

Abdullah Nawang, 77, yang cedera parah di leher dan kepala, mati di unit kecemasan Hospital Tanah Merah.

Sehubungan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun di sebuah kedai kopi di Kampung Kulim, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian pada jam 7 pagi tadi, kata Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superitendan Abdul Aziz Mahmud.

Bercakap kepada pemberita di sini, Abdul Aziz berkata suspek yang tinggal tidak jauh dari surau itu pernah mendapat rawatan di Wad Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

"Polis percaya Abdullah dipukul menggunakan senjata tumpul atau objek keras, dan polis sedang mencari senjata yang digunakan suspek yang dipercayai dibuang tidak jauh dari tempat kejadian," katanya.

Isteri mangsa, Ramlah Ahmad, 67, yang ketika kejadian berada di ruang solat wanita di surau itu, berkata beliau terdengar bunyi bising seperti orang terjatuh di dalam surau.

"Apabila melihat ke bahagian solat lelaki, saya nampak suami dalam keadaan berlumuran darah di atas sejadah.
"Ketika itu, saya sedang memakai telekung untuk menunaikan solat Subuh. Arwah tidak sempat melaungkan azan," katanya sambil memberitahu bahawa setiap pagi suaminya akan mengimamkan solat Subuh di surau itu.

Abdullah yang menoreh getah di kampung itu meninggalkan seorang isteri dan empat anak serta 20 cucu.

Mayat Abdullah dibedah siasat di Hospital Tanah Merah sebelum diserah kepada keluarga untuk dikebumi.

- BERNAMA

Pihak keluar kenyataan sentuh sensitiviti boleh dipenjara: Mashitah

Posted: 07 Nov 2012 02:58 AM PST

KUALA LUMPUR: Mereka yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti masyarakat termasuk yang mengelirukan sehingga membawa perpecahan dan sebagainya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara dua hingga lima tahun jika mereka disabitkan kesalahan.

"Selain itu peruntukan itu turut merangkumi kesalahan memudaratkan atau cuba memudaratkan keadaan harmoni dan bersatu atau alasan keagamaan di antara orang atau kumpulan orang yang menganuti agama yang sama atau berlainan," katanya hari ini.

Beliau menjawab soalan Amran Ab Ghani (PKR-Tanah Merah) mengenai langkah yang diambil kerajaan dalam pengeluaran fatwa oleh individu tidak diiktiraf, pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Mashitah berkata, seseorang individu tidak boleh menyalah guna kebebasan bersuara untuk mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensiviti masyarakat terutama berkaitan agama sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading), Mashitah berkata walaupun tidak ada peruntukan undang-undang khusus terhadap orang Islam yang membuka ruang kepada seorang Islam lain memilih agama sendiri, mereka yang melakukannya masih boleh dikenakan tindakan kerana menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.
Mohamed ingin tahu tindakan yang boleh dikenakan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa kebebasan beragama wajar meliputi semua termasuk orang Melayu.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata setiap negeri juga mempunyai enakmen masing-masing untuk mengambil tindakan terhadap kes sedemikian.

Ada enakmen negeri yang memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya kepada mereka yang secara lisan atau bertulis mempersenda Islam atau menyebabkan Islam dihina, katanya.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan